Home » » Panduan Tip SEBELUM bercuti/melancong

Panduan Tip SEBELUM bercuti/melancong

Panduan Tip SEBELUM bercuti

Sebelum berangkat ke destinasi percutian idaman, pastikan anda sihat. Namun, apa berlaku pada masa akan datang, tiada sesiapa dapat menduganya dan ketika dalam perjalanan, anda sakit kepala, bersin dan demam.

Bagaimanapun, ada kalanya perubahan suhu antara tempat anda dengan destinasi yang dituju boleh menyebabkan keadaan itu berlaku.

Apa lagi jika bercuti di kawasan tanah tinggi dengan suhu yang sejuk atau ke luar negara dengan perbezaan musim.

Mencegah memang baik daripada mengubati tetapi jika senario buruk itu terjadi, mengubati adalah satu-satunya pilihan terbaik.

Justeru, panduan minggu ini mungkin dapat membantu anda jika ditakdirkan anda jatuh sakit ketika melancong.

Maklumkan keadaan anda kepada pramugari

Jika berasa sejuk dalam penerbangan ketika ke destinasi percutian, jangan raguragu memberitahu pramugari anda tidak sedap badan.

Ini dapat membantu kerana pramugari akan memberikan anda bantal, selimut atau ubat supaya anda rasa lebih selesa.

Banyak minum air kosong

Usahakan untuk meminum air kosong satu gelas setiap 15 minit. Ia cara terbaik kerana tubuh kita memerlukan air yang banyak.

Apabila air kurang dalam badan, kita mudah diserang penyakit terutama selesema, batuk dan demam.

Rehat yang cukup

Berehatlah selama beberapa jam ketika anda berasa kurang sihat. Jangan memaksa diri kerana percutian anda akan menjadi sia-sia jika badan terasa sakit.

Keadaan mungkin akan semakin teruk kerana kedegilan anda dan anda mungkin boleh pengsan ketika bersiar-siar atau dalam perjalanan.

Tidur

Tidur sangat baik untuk membantu mengembalikan kecergasan dan kesihatan. Ini kerana selepas bangun daripada tidur yang cukup, ada akan berasa lebih sihat.

Jika anda diserang selesema dan berasa tidak tahan dengan gejala dialami, minum ubat selesema atau demam sebelum tidur.

Beritahu pihak hotel

Pastikan pihak hotel penginapan anda mengetahui keadaan kesihatan anda yang sedang sakit. Ini kerana pihak hotel boleh membantu dari pelbagai aspek terutama membawa anda ke hospital atau klinik jika keadaan anda semakin teruk.

Sediakan ubat-ubatan

Ketika melancong, bawalah ubatubatan untuk mengubati sakit yang sering menyerang ketika melancong seperti ubat selesema, batuk, demam, ubat antimabuk dan yang bersesuaian.

Pastikan anda membawa baju panas atau jaket walaupun bercuti ke tempat yang tidak terlalu sejuk. Ini antara langkah berjaga-jaga terutama apabila anda selesema.

Ini kerana, badan biasanya menggigil ketika selesema walaupun tempat dikunjungi itu mempunyai suhu panas.

Berjumpa doktor

Apabila semua sudah dicuba seperti banyak minum air kosong, rehat dan tidur cukup serta mengambil ubat yang perlu tetapi masih juga tidak sihat, berjumpalah dengan doktor.

Dengan pemeriksaan doktor, anda pasti mendapat ubat yang sesuai dan terbaik untuk sakit dialami. Anda juga boleh mencegah sakit dialami berlarutan, sekali gus merosakkan keseluruhan percutian idaman anda.

Kebaikan insurans perjalanan

Insuran perjalanan biasanya sering diabaikan kerana ramai beranggapan ia tidak penting. Namun, apabila sakit ketika bercuti, ketika itulah perkhidmatan ditawarkan insurans sangat diperlukan.

Dengan adanya insurans, segala kos perubatan anda akan ditanggung.



 
Chatroom