Home » » Penyakit anemia/penyakit kurang darah

Penyakit anemia/penyakit kurang darah

Penyakit Anemia
Anemia atau lebih dikenal masyarakat sebagai penyakit kurang darah, lazimnya sering dialami kebanyakan wanita dan remaja perempuan. Masalah kekurangan darah sering dilihat hanya sebagai penyakit ringan.

Bagaimanapun, apabila ini berlaku ia tidak harus dipandang remeh kerana keadaan berkenaan berpotensi menjejaskan sistem imun setiap wanita yang mengalaminya. Anemia akan menyebabkan seseorang mudah pitam, lesu, kurang cerdas dan cergas, mudah letih serta mengantuk manakala bagi yang masih belajar, khususnya remaja perempuan akan mengalami kurang daya tumpu dalam pelajaran.

Wanita dan remaja perempuan lebih berisiko mengalami anemia kerana kekurangan zat besi lebih banyak berbanding lelaki, sedangkan keperluannya dalam sehari adalah tinggi.

Dalam sehari, setiap wanita akan kehilangan kira-kira satu hingga dua miligram (mg) zat besi melalui perkumuhan secara normal. Ketika kedatangan haid, misalnya, kehilangan zat besi boleh bertambah hingga satu mg lagi.

Umumnya, apabila seseorang itu mengalami anemia, hemoglobin di dalam sel darah merah akan berkurangan. Hemoglobin adalah pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan.

Otak memerlukan oksigen dan zat makanan yang cukup untuk berfungsi dengan optimum.

Faktor lain yang menyebabkan wanita biasa mengalami anemia adalah pola makan. Dengan alasan takut gemuk, ada segelintir wanita atau remaja mengamalkan diet secara drastik. Golongan ini cenderung makan dalam jumlah yang kurang dan tidak mahu mengambil daging. Tanpa disedari, diet seumpama itu yang belum tentu membuatkan berat badan turun, boleh menyebabkan kurangnya pengambilan zat besi dari makanan.

Umumnya, setiap wanita ataupun remaja perempuan yang mengalami anemia, tidak akan sama antara satu dengan orang lain sebab berdasarkan jenis anemia dialami. Tetapi anemia boleh dikesan apabila ada tanda seperti pucat terutama di bibir dan kelopak mata, sering lesu dan mengantuk, mudah berdebar-debar, bentuk kuku berubah, rambut mudah gugur atau putus serta kerap pening atau pitam.

Bagi wanita hamil khususnya, anemia sangat bahaya kerana boleh menyebabkan tumpah darah semasa dan selepas bersalin, tekanan darah tinggi (eklampsia), keguguran dan kematian. Malah, anemia juga bahaya kepada bayi yang dikandung kerana boleh menyebabkan kematian janin, kelahiran bayi tidak cukup bulan dan kelahiran bayi kurang berat badan. Justeru, keperluan zat besi pada wanita juga meningkat saat kehamilan dan melahirkan. Ketika hamil, seorang ibu tidak saja dituntut memenuhi keperluan zat besi untuk dirinya, tetapi juga harus memenuhi keperluan zat besi untuk pertumbuhan janinnya.

Selain itu, perdarahan saat melahirkan juga dapat menyebabkan seorang ibu kehilangan lebih banyak lagi zat besi. Dengan alasan itulah, setiap ibu hamil disarankan mengambil zat besi tambahan.

Anemia boleh dicegah dengan mengambil kandungan zat besi. Banyak jenis makanan yang mengandungi zat besi. Beberapa makanan seperti hati, jantung, limpa, kuning telur, kerang, kekacang dan buah-buahan kering tertentu mengandungi zat besi dalam kadar cukup tinggi.

Zat besi dalam jumlah sederhana pula boleh diperoleh daripada daging, ikan, sayuran berwarna hijau seperti pegaga, pucuk paku, bayam, kailan dan bijirin.

Sumber zat besi daripada haiwan akan diserap lebih baik oleh tubuh daripada yang berasal daripada tumbuhtumbuhan. Bagi mengatasi masalah anemia, sebaik-baiknya perlu makan sekurang-kurangnya satu jenis makanan dari sumber haiwan yang kaya zat besi setiap hari.

Penyerapan zat besi dapat dibantu dengan mengambil vitamin C, misalnya meminum jus, buah-buahan dan sayuran lainnya, sebaliknya teh, kopi, susu, minuman berkarbonat, bercoklat mengandungi bahan yang dapat menghambat atau menghalang penyerapan zat besi.

Jika ingin mengambil makanan atau minuman seumpama itu, pastikan diambil waktu makan utama atau sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum waktu makan. Bagi remaja pula perlu minum satu atau dua gelas susu sehari untuk mendapat cukup kalsium. Jadi, minumlah susu segar atau susu tepung di antara waktu makan utama seperti semasa minum pagi, minum petang dan minum malam.

Pengamal vegetarian pula, perlu mengambil makanan daripada kombinasi beberapa jenis kekacang seperti kacang hijau, kacang soya dan kacang dal bersama makanan atau minuman yang tinggi kandungan vitamin C. Selain meningkatkan lagi pengambilan sayur-sayuran hijau, perlu juga makan pil hematinik mengikut arahan doktor.

Maklumat penyakit anemia

Anemia dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah kurang daripada 11g.

Untuk menentukan tahap anemia teruk atau tidak:

Paras Hb (g/dl) - Tahap anemia

< 6.9 - Sangat teruk

6.9 < 8.0 - Teruk

8.0 < 9.5 - Sederhana

9.5 -10.5 - Ringan

Berapa banyak satu sajian?

Susu dan produk tenusu

1 keping keju atau

1 gelas susu rendah lemak

atau 2/3 cawan susu sejat atau

4 sudu makan susu tepung

Ikan, ayam, daging dan kekacang

1 ketul kepak ayam atau

1 ekor ikan kembung atau

2 ketul daging tanpa lemak (7.5 cm x 9.0cm 0.5) atau

2 ketul hati ayam atau

1 cawan isi kerang atau

2 ekor sotong atau

2/3 cawan ikan bilis tanpa kepala atau

2 keping tempe/tauhu atau

2 biji telur atau

1 cawang kacang kuda/dal atau

1 cawan kekacang kering/panggang

Sayur-sayuran dan buah-buahan

Buah

1/2 biji jambu batu/pir atau

1 potong betik/nanas/tembikai atau

1 biji epal/lai/mangga/ciku atau

4 biji prun atau

1 sudu makan kismis

Sayur

1/2 cawan sayuran berdaun hijau dengan batang dimasak atau

1/2 cawan sayur-sayuran berbuah (dimasak) atau

1 cawan ulam

Nasi, mi, roti, bijirin, produk bijirin

2 senduk/1 cawan nasi atau

2 keping roti atau

2 keping roti bijirin penuh atau

1/12 cawan bihun direndam atau

2 cawan bubur nasi atau

1 cawan keledek/keladi/ubi kayu atau 6 keping biskut krim kraker atau

2 biji ubi kentang atau

2 keping putu mayang

Sumber: Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia



Affiliates

 
Chatroom