Home » » Tip Melabur (Pelaburan): Lebih tinggi ganjaran lebih tinggi risiko

Tip Melabur (Pelaburan): Lebih tinggi ganjaran lebih tinggi risiko

Apabila melabur, semua orang mahukan keuntungan dan tiada yang mahu menanggung kerugian.

Sebenarnya, produk pelaburan berbeza mempunyai tahap risiko yang berbeza. Hakikatnya mudah - lebih tinggi potensi ganjaran ditawarkan sesuatu produk pelaburan, maka lebih tinggi risikonya dan sebaliknya, jika risiko sesuatu produk pelaburan itu rendah, maka ganjaran juga rendah.

Pelaburan

Antara soalan sering diajukan termasuk, 'Bolehkah saya melabur tanpa mengalami sebarang kerugian?

Jawapannya mudah - Tidak. Ini kerana semua perkara terdedah kepada risiko. Contohnya, menyimpan wang di bawah tilam juga mempunyai risiko kehilangan wang itu jika berlaku kebakaran atau kecurian. Jika anda menyimpan wang dalam bank, kadar faedahnya mungkin tidak cukup tinggi untuk menampung kadar inflasi menyebabkan kuasa beli semakin berkurangan pada masa depan. Jika melabur wang dalam sesuatu produk pelaburan, pasti ada pelbagai risiko pelaburan berkaitan produk berkenaan.

Sebagai pelabur, anda tidak boleh menghapuskan risiko. Walau bagaimanapun, risiko pelaburan tidak seteruk mana sekiranya anda tahu menanganinya. Langkah pertama ialah menentukan berapa banyak risiko mampu dihadapi. Setiap individu mempunyai kesediaan menghadapi tahap risiko berbeza. Ada yang bersedia mengalami kerugian lebih banyak berbanding orang lain. Untuk mengetahui berapa banyak risiko yang anda mampu hadapi, ikuti petua mudah ini:

Jika anda tidur tidak lena dan sering resah, gelisah selepas membeli sesuatu produk pelaburan, maknanya pelaburan itu terlalu berisiko untuk anda.

Satu lagi cara untuk menangani risiko melalui teknik 'mempelbagaikan' bermaksud anda tidak seharusnya melaburkan semua wang dalam satu produk pelaburan. Contohnya, jika semua wang dilaburkan dalam satu pelaburan saja seperti saham, anda boleh kehilangan semua wang itu jika nilai saham jatuh. Bagi meminimumkan risiko pelaburan, sebaik-baiknya pelbagaikan produk pelaburan anda dengan melabur dalam beberapa produk pelaburan.

Mempelbagaikan bertujuan mencampurkan pelaburan berisiko tinggi dengan pelaburan berisiko rendah supaya kerugian sesuatu pelaburan dapat ditampung keuntungan daripada pelaburan lain. Walau bagaimanapun, jangan pula mempelbagaikan pelaburan secara keterlaluan kerana melaburkan terlalu sedikit wang dalam sesuatu pelaburan boleh mengurangkan pulangan pelaburan itu.

Setiap orang mempunyai daya ketahanan berbeza terhadap risiko. Sesetengah pelabur tahan menghadapi risiko pelaburan tinggi manakala sebahagian yang lain tidak mempunyai ketahanan sama. Ketahanan seseorang terhadap risiko mungkin berubah mengikut peringkat kehidupannya. Mereka yang bersedia mengambil risiko pelaburan tinggi ketika muda dan belum berkahwin, mungkin kurang bersedia menghadapi risiko sama selepas berusia dan mempunyai keluarga. Bagi menentukan ketahanan anda terhadap risiko, sila jawab beberapa soalan mudah berikut:

* Siapakah anda?

a) Saya dalam pertengahan umur dan hampir bersara

b) Saya masih muda dan perjalanan hidup saya masih jauh

* Berapa banyak wang simpanan yang anda ada?

a) Pendapatan saya cuma cukup untuk membayar bil dan tinggal sedikit baki untuk disimpan

b) Saya mempunyai sejumlah wang yang agak banyak untuk disimpan setiap bulan

* Apakah komitmen kewangan yang anda ada?

a) Saya mempunyai banyak komitmen

b) Saya tidak mempunyai banyak komitmen

* Berapa lama anda sanggup tunggu untuk pelaburan itu berkembang?

a) Saya boleh menunggu asalkan pelaburan itu memberikan keuntungan yang baik dan berterusan

b) Saya mahu mengaut keuntungan secepat mungkin

* Apakah yang anda harapkan apabila berhenti melabur?

a) Saya mahu sekurang-kurangnya jumlah sama yang telah saya laburkan

b) Saya mahu keuntungan sebanyak mana yang boleh

Jika kebanyakan jawapan anda ialah A, pelaburan yang berisiko tinggi mungkin tidak sesuai untuk anda. Anda lebih sesuai melabur dalam produk yang boleh memberikan pulangan munasabah dan berterusan dan pada masa sama, memelihara modal asal.

Jika kebanyakan jawapan ialah B, anda mungkin boleh menghadapi pelaburan yang lebih berisiko tinggi.

Semua soalan di atas hanya sebagai panduan dan setiap orang mungkin mempunyai pelbagai faktor lain bagi menentukan kadar risiko mampu dihadapi.

Ingat bahawa keupayaan menangani risiko saja tidak mencukupi kerana anda juga perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai pelaburan dan mengawasi pelaburan terbabit.

Elakkan diri daripada terperangkap dalam usaha mendapat keuntungan cepat tanpa mengetahui risiko bakal dihadapi!

Untuk maklumat lanjut mengenai Securities Industry Development Corporation (SIDC) terutama berkaitan pengurusan kewangan dan pelaburan bijak, sila layari laman web Pelabur Malaysia di alamat, www.min.com.my dan jika anda mahu berkongsi, menerbit atau mengedarkan artikel ini, sila e-mel kepada min@min.com.my.



 
Chatroom