Home » » Dilema orang kidal

Dilema orang kidal

Tinggal di dalam dunia orang kanan memang banyak cabaran kepada individu kidal. Ketika di sekolah, kerap tangannya diketuk guru kerana menulis menggunakan tangan kiri.

Seorang rakan sekelas yang juga kidal turut menerima nasib sama. Tidak mahu terus didenda, mereka belajar menulis dengan tangan kanan walaupun prosesnya payah.

Ini antara pengalaman dilalui Pengasas Persatuan Kidal Malaysia, Chong Siew Chin ketika kecil. Malah, dia juga kerap dimarah kerana dianggap individu yang kelam kabut, kerap menimbulkan masalah dan tidak cermat atau terlalu perlahan apabila melakukan sesuatu kerja.

Boleh dikatakan semua individu kidal mengalami masalah ini. Inilah perkara yang perlu ditempuhi kerana mereka hidup dalam dunia yang didominasi orang menggunakan tangan kanan.

Malah sejak zaman dulu lagi individu kidal sering diketepikan, dipandang hina dan banyak kepercayaan yang menafikan hak mereka.

Kepercayaan Cina kuno mentafsirkan kiri sebagai tidak baik, tidak sopan atau tidak boleh diterima langsung. Di kalangan penduduk Norway, hasil kerja individu kidal dikelaskan sebagai ‘kerja yang tidak sempurna’ dan perkataan ‘keivhendt’ atau kiri membawa maksud salah tangan.

Pada kebanyakan bahasa di Eropah, perkataan ‘kanan’ bukan saja bermakna ‘betul’ tetapi ia juga menandakan kecantikan, keadilan dan kekuasaan.

Malah mengikut sejarah, individu kanan dianggap mahir manakala individu kidal pula dilabel sebagai kelam kabut. Perkataan Latin ‘sinestra’ yang asalnya bermakna kiri juga membawa maksud ‘jahat dan tidak bernasib baik’.

Dalam dunia yang moden ini pun masih ada yang beranggapan menjadi individu kidal itu kurang elok tanpa sebab munasabah.

Secara purata 85 peratus penduduk dunia adalah individu kanan dan hanya 15 peratus kidal. Kajian mendapati lebih ramai lelaki yang kidal berbanding perempuan.

Menulis menggunakan tangan kiri bukan petunjuk utama yang menentukan seseorang itu kidal kerana individu kidal juga boleh menulis dengan tangan kanan. Individu kidal adalah orang yang lebih banyak menggunakan tangan kiri dalam kerja seharian. Malah, tangan kiri mereka lebih cekap dan kuat berbanding tangan kanan.

Apa menyebabkan seseorang itu lebih cenderung menggunakan tangan kanan atau kiri? Kecenderungan penggunaan tangan ditentukan oleh otak. Ada banyak teori mengenai perkara ini, tetapi secara umumnya ia ditentukan oleh otak seseorang.

Otak kita mengawal bahagian badan yang bertentangan; iaitu pergerakan bahagian badan belah kiri dikawal otak kanan dan sebaliknya. Kajian membuktikan, pada individu kidal, pergerakan tangan mereka lebih banyak dikawal otak kanan.

Kidal bukan disebabkan keturunan walaupun ada kajian mengatakan ia ada kaitan dengan genetik. Biasanya dalam sesebuah keluarga hanya ada seorang yang kidal. Bagaimanapun, kata Chong, ibu bapa kidal mempunyai kecenderungan lebih tinggi mempunyai anak kidal.

Ia mungkin tiada kaitan dengan genetik, tetapi pengaruh ibu bapa yang lebih banyak menggunakan tangan kiri dalam kehidupan seharian. Pun begitu, ia bergantung juga kepada kecenderungan setiap anak untuk menjadi individu kanan atau kidal.

“Mengapa individu kidal sering dilabel sebagai kelam kabut? Mungkin ramai tidak sedar, mereka sebenarnya menghadapi masalah menggunakan peralatan yang sememangnya direka untuk kegunaan tangan kanan.

“Contohnya gunting. Jika individu kidal menggunting kertas, kertas berkenaan keronyok dan guntingannya mungkin tidak sebaik menggunakan tangan kanan. Ini kerana mata pisau gunting itu diletakkan untuk kegunaan tangan kanan. Jika dipegang dengan tangan kiri, mata pisau akan terbalik dan kita tidak dapat melihat garisan yang hendak dipotong.

“Individu kidal juga biasanya ada masalah apabila menulis. Bukan saja kertas, malah tangan juga menjadi comot kerana apabila menulis, tangan individu kidal terkena pada tulisan. Masalah lebih teruk jika seseorang itu kuat berpeluh.

“Malah, pandangan terhadap apa yang ditulis juga terhalang oleh tangan. Masalah ini tidak dihadapi individu kanan kerana kita menulis dari kiri ke kanan dan tangan tidak terkena pada tulisan,” katanya.

Antara masalah lain yang dihadapi ialah apabila:

# Menggunakan pengasah pensil (kerana kedudukan mata pisau)

# Membuka pintu khususnya jika tombol pintu berbentuk tangkai

# Menggunakan alat pembuka tin dan botol

# Menggunakan pembaris

# Garpu yang ada mata pisau (garpu kecil biasanya digunakan untuk sajian manisan)

# Pisau kek (jenis lama yang ada pemotong pada belah kiri)

# Bagi individu berbangsa Cina, kayu penyepit (jika makan menggunakan tangan kiri) berlaga dengan kayu penyepit orang yang duduk di sebelah kiri.

“Memang ada banyak masalah lain, tetapi kami belajar untuk lebih banyak menggunakan tangan kanan dan peralatan yang kebanyakannya direka bagi kegunaan individu kanan. Ketika proses pembelajaran dan penyesuaian inilah individu kidal biasanya dianggap kelam kabut.

“Kajian menunjukkan sesetengah individu kidal ada masalah disleksia (menulis huruf terbalik). Boleh dikatakan semua individu kidal boleh menulis secara terbalik — bukan saja huruf pada arah yang salah, tetapi perkataan ditulis dari belakang. Ia dipanggil tulisan cermin kerana jika dilihat dari dalam cermin, perkataan ditulis kelihatan normal,” katanya.

Walaupun menghadapi beberapa masalah, individu kidal sebenarnya ada kelebihan apabila mereka terpaksa menggunakan tangan dalam banyak pekerjaan seharian. Malah, secara umumnya individu kidal ada kemahiran dan kecenderungan lebih tinggi dalam seni dan bahasa.

Namun ini bukan bermakna mereka lebih baik daripada individu kanan.

Ada ibu bapa yang keliru dan tidak tahu untuk mengajar anak kidal. Ada beberapa panduan boleh diikuti seperti:

# Jika mahu mengubah kecenderungan penggunaan tangan si kecil, lakukannya dari awal iaitu ketika mereka masih kecil (dua atau tiga tahun). Jangan paksa anak kidal menjadi ‘normal’ kerana ia hanya mendatangkan banyak masalah dan kekeliruan. Sebaliknya, cari kelebihan anak dan beri galakan kepadanya.

# Walaupun kecenderungan penggunaan tangan ini boleh dilihat ketika kanak-kanak berumur tiga tahun, ia lebih ketara apabila meningkat umur lima tahun. Jika anda mengesyaki anak kidal tetapi masih tidak pasti, anda boleh lakukan ujian mudah untuk mengetahuinya. Letak satu objek di atas lantai dan minta anak mengambil dan membalingnya semula. Letakkan sudu di sebelah pinggan makannya dan lihat tangan mana yang digunakan untuk memegang sudu berkenaan dan makan.

# Untuk menulis, kertas atau buku perlu disengetkan ke kanan dan pastikan pensil (atau pen) dipegang dengan betul pada jarak sesuai (tangan tidak terlalu rapat dengan mata pensil).

Tidak perlu risau jika anak anda kidal kerana ia tidak menjejaskan pembelajarannya. Malah, menurut Chong, kini ada banyak peralatan direka khusus untuk kemudahan individu kidal seperti gunting, pengasah pensil, pembaris, pemegang pensil, pembuka tin dan buku. Semua barangan ini boleh diperoleh dari Persatuan Kidal Malaysia. Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.geocities.com/leftiesmalaysia atau emel ke leftiesmalaysia@yahoo.com.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



6 Komen:

Unknown berkata...

Kidal bukan disebabkan keturunan walaupun ada kajian mengatakan ia ada kaitan dengan genetik. Biasanya dalam sesebuah keluarga hanya ada seorang yang kidal.<--- pendapat ini x betul..

kidal mmg de kaitan ngn genetik...

dan sye rse xde la sesusah mner pown klu jd kidal.. klu dah Allah jdkan kita mcm tu nk wat mcm mner kan...

kena blaja gen resesif dlm alel di kromosom ni.. hehehe

anna ziki berkata...

i pon kidal,n xde msalah ape pon...alhamdulillah :) im proud being lefthanded person act..i bole tlis terbalik,tls tgn kanan pon bole,even my signature is reverse..:) Allah hny akn mberikan yg terbaik utk hambanya..believe it.

noor sabarina berkata...

sabrina : setakat ni tak de masalah jadi org kidal....ok je..wlupun dikelilingi oleh org tgn kanan...

Unknown berkata...

saya menulis tangan kiri.. tapi saya pegang sudu tangan kanan, saya pegang raket badminton tangan kanan, saya main boling menggunakan tangan kanan. kebanyakkan kerja saya gunakan tangan kanan. adakah saya juga kidal ?

Tanpa Nama berkata...

Saya juga sperti farah asyraf. Menggunakan tangan kanan. Even makn gitar pun tangan kanan strumming. Tangan kiri pegang string .

Tanpa Nama berkata...

salam bagaiman sy nak hubungi pengasas persatuan kidal...boleh email sy alamat di hatina@mediaprima.com.my

Catat Ulasan

 
Chatroom