Home » » Hati baik, badan sihat

Hati baik, badan sihat

Rasullullah s.a.w ada menegaskan dalam hadisnya bermaksud: "Sesungguhnya dalam jasad ada seketul daging. Jika ia baik dan sihat, sihatlah seluruh jasad dan jika ia rosak, rosaklah seluruhnya...sesungguhnya itulah dia kalbu."

Kalbu atau hati sifatnya cepat berubah. Ia diumpamakan titik sasaran, sentiasa menerima kesan lontaran dari setiap penjuru yang akan mengubah sifatnya.

Al-Quran menyatakan, maksudnya: "Dan Kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung." (al-An'am:110)

Nabi s.a.w sangat mengetahui mengenai sifat hati. Baginda selalu berdoa dengan lafaz seperti, "Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu."

Menurut Islam, hati manusia inilah yang menjadikan manusia itu hidup dengan kehidupan yang sebenar, malah hati jugalah yang menyebabkan manusia mati dalam hidupnya.

Berbeza dengan bukan Islam yang melihat kepada aspek fizikal semata-mata menunjangi kehidupan dan kerana itu, mereka tidak dapat melakukan penafsiran apabila jasad yang sihat kelihatan tidak bermaya dalam hidup.

Pakar perubatan moden mungkin mampu memberikan rawatan kepada segala bentuk penyakit yang menimpa jasad, tetapi tidak mungkin dalam persoalan berkaitan hati bersifat rohani.

Hatilah yang menjadikan hidup seseorang sejahtera atau sebaliknya. Kesihatannya memberi kesan kepada kesihatan jasmani seseorang. Begitulah juga sebaliknya, tetapi berapa ramai antara kita mempedulikannya?

Sebenarnya hati yang sejahtera ialah hati bersifat tenang (mutmainnah), iaitu sebati dengan zikrullah, mempunyai keyakinan iman di peringkat ainul yaqin, berjaya menghakikatkan konsep ubudiyah kepada Allah, menundukkan keinginan nafsu kepada iradah Allah dan bersih daripada sifat merosakkan.

Hati yang sihat ada sifat sentiasa kembali kepada Allah, iaitu mereka yang mempunyai sifat al-khasyah, penyerahan kepada Allah, tawakal dan tazakkur (mengingati ayat Allah).

Malah, hati yang sihat bersih daripada syirik dan segala bentuk penyembahan taghut serta bertakwa. Hati ini diterima Allah.

Setiap individu tidak akan mengenal Allah jika tidak melalui hati, bahkan gagal mendekatkan diri kepada-Nya dan berjalan menuju-Nya. Anggota badan hanyalah pengikut dan tidak lebih sekadar khadam yang setia kepadanya.

Hati jugalah yang menjadi punca kebahagiaan dan kekecewaan. Kebahagiaannya ialah dengan membersihkannya manakala kekecewaannya dengan memijak dan melumurinya dengan kekotoran.

Seorang yang mengenali hati akan mengenal dirinya. Seorang jahil dengan hatinya akan jahil terhadap dirinya. Oleh itu, sesiapa yang jahil terhadap hati dan dirinya, akan jahil terhadap Tuhannya.

Hati manusia seperti juga anggota fizikal, kesakitannya pelbagai tahap, dengan sesetengahnya di peringkat tenat, sehingga sukar diubati dan ada di peringkat sederhana yang senang dirawat.

Antara penyakit hati dan tandanya ialah kekufuran, sama ada kufur kerana jahil atau kerana semata-mata keingkaran, angkuh dan derhaka kepada hukum Allah, kesesatan, penyelewengan dan bidaah serta kemunafikan.

Keraguan kepada tanda kebenaran, kebesaran dan kesempurnaan Allah, muwalah atau memberi kesetiaan kepada orang kafir, enggan dan berat hati untuk berjihad di jalan Allah, rakus kepada maksiat dan derhaka kepada perintah Allah.

Hati yang sakit bersifat dengan sifat tercela seperti takbur, hasad dengki, riak, pemarah, bakhil, khianat, cintakan kedudukan dan harta, mengikut nafsu, buruk sangka dengan Allah, putus asa daripada rahmat Allah serta memusuhi dan membenci ulama yang soleh.

Pendek kata, hati diumpamakan seperti kaca diwarnai apa yang ada di dalam dan di sekelilingnya. Ia juga boleh diumpamakan bekas daripada kaca yang berwarna mengikut warna yang ada di dalamnya.

Nabi s.a.w, dilaporkan bersabda maksudnya: "Hati itu empat. Hati yang bersih, di dalamnya ada pelita bercahaya, itulah hati yang mukmin. Hati hitam dan songsang, itulah hati yang kafir. Hati yang tertutup dan terikat pada tutupannya, itulah hati yang munafik. Hati yang terbentang, di dalamnya mengandungi keimanan dan kemunafikan.

"Iman di dalamnya diumpamakan seperti sayur (kubis) yang mengandungi bahan air yang baik dan kemunafikan pula diumpamakan seperti pekung yang mengandungi air nanah. Mana-mana antara kedua-dua bahan ini yang lebih mengatasi, itulah yang menguasai (hati)nya."



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom