Home » » Tumbuhan menuetralkan radikal bebas

Tumbuhan menuetralkan radikal bebas

Marilah kita tarik nafas panjang… Aaaah, kan seronok mengisikan tubuh dengan oksigen yang menyara hidup? Maklumlah, setiap sel di dalam tubuh memerlukan oksigen untuk menghasilkan tenaga dan berfungsi dengan sempurna. Tetapi, berhati-hatilah kerana gas yang memelihara hidup ini boleh bertukar watak daripada rakan kepada lawan!

Pada tahun 1996, sebuah terbitan yang berjudul Oxidants, Antioxidants and Disease Prevention dikeluarkan oleh International Life Sciences Institute Europe dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam terbitan ini, penyelidik, L. Langseth melaporkan bahawa oksigen terlibat dalam tindak balas toksik dan manusia pula mempunyai mekanisme pertahanan yang kuat untuk meminimumkan kesan-kesan toksik tersebut.

Tindak balas yang menggunakan oksigen sentiasa berlaku di dalam tubuh. Apabila tubuh membakar oksigen, hasil sampingan yang dipanggil radikal bebas terbentuk. Radikal bebas ialah molekul yang kehilangan satu elektron dan justeru itu, ia tidak stabil.

Untuk menstabilkan dirinya, radikal bebas 'mencuri' elektron daripada sel tubuh, lalu merosakkan sel tersebut dan mencetuskan satu rangkaian tindakbalas di mana lebih banyak radikal bebas dibentuk.

Lama kelamaan, sel-sel tubuh dan tisu yang rosak akan membawa masalah kesihatan seperti penyakit jantung, katarak, kanser, artritis dan juga penuaan pra-masa.

Namun, bukan semua radikal bebas berbahaya. Malah, sistem imun juga menghasilkan radikal bebas untuk memusnahkan bakteria dan virus penceroboh.

Tambahan lagi, sesetengah radikal bebas diperlukan untuk pembentukan hormon dan ada yang terlibat dalam pengaktifan enzim serta penghasilan tenaga dalam tubuh. Jadi, masalah hanya timbul apabila terdapat terlalu banyak radikal bebas.

Persekitaran dan gaya hidup mungkin menambah radikal bebas di dalam tubuh. Bahan pencemaran seperti asap dari kenderaan dan rokok; pendedahan kepada radiasi dari matahari mahupun sinar-X; tekanan hidup dan diet yang tinggi lemak boleh menambahkan radikal bebas di dalam tubuh.

Walaupun radikal bebas mempunyai hayat yang pendek, iaitu tidak sampai sesaat pun, ia boleh menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki kepada tubuh. Dan tahukah anda bahawa tubuh anda diserang oleh hampir 10 juta radikal bebas setiap hari? Jadi, anda mesti menyingkirkannya.

Menentang musuh

Mujur setiap individu mempunyai sistem pertahanan untuk menangani masalah radikal bebas. Secara semula jadi, tubuh menghasilkan antioksidan (dalam bentuk enzim antioksidan) yang meneutralkan radikal bebas dengan menyumbangkan satu daripada elektronnya.

Dengan cara ini, antioksidan menukarkan radikal bebas kepada bahan buangan tidak berbahaya yang disingkirkan dari tubuh sebelum ia dapat menimbulkan masalah.

Akan tetapi, ada kalanya tubuh memerlukan bantuan apabila terdapat terlampau banyak radikal bebas. Tambahan pula, kebolehan tubuh untuk membentuk antioksidan akan berkurangan apabila usia semakin lanjut.

Jadi, dari manakah anda boleh memperolehi antioksidan tambahan? Jawapannya sedap didengar! Makanan, khususnya makanan daripada tumbuhan.

Menggunakan kuasa tumbuhan

Antioksidan didapati secara semula jadi dan dengan banyaknya dalam buah-buahan, sayuran, bijirin penuh, herba, kekacang, bijian, bunga, kulit kayu dan juga akar. Oleh itu, anda dapat menikmati pelbagai makanan tumbuhan yang menarik untuk memenuhi keperluan antioksidan.

Kita sudah biasa dengan vitamin dan mineral. Tumbuhan mengandungi banyak vitamin dan mineral.

Sesetengah vitamin berfungsi sebagai antioksidan, misalnya vitamin C, beta karotena (yang bertukar kepada vitamin A dalam tubuh) dan vitamin E.

Mineral yang bertindak sebagai antioksidan merangkumi selenium, zink dan kromium. Tetapi, ramai di antara kita tidak sedar bahawa tumbuhan mengandungi banyak nutrien lain yang dikenali sebagai fitonutrien, yang sebahagian besarnya bertindak sebagai antioksidan.

Satu kumpulan fitonutrien yang menakjubkan ialah sebatian fenol (juga dipanggil polifenol), yang bertindak sebagai antioksidan kuat, di samping mempunyai kesan anti-bakteria dan anti-radang.

Lebih daripada 4,000 jenis sebatian fenol telah dikenalpasti. Sebatian fenol didapati dalam banyak makanan termasuklah epal, oren, ubi kentang, bayam, cili, biji bunga matahari, koko dan biji kopi.

Kopi mengandungi antioksidan

Ingat kopi, ingat pula satu kajian oleh penyelidik M.Richelle dan rakan-rakannya pada tahun 2001. Kajian ini menunjukkan bahawa kopi mempunyai aktiviti antioksidan total yang lebih tinggi, berbanding dengan sumber-sumber antioksidan lain yang baik seperti teh hijau, teh hitam, teh herba dan juga koko.

Kemudian, pada tahun 2004, satu lagi kajian yang dijalankan di Norway oleh seorang penyelidik, Svilaas dan rakan-rakannya dan yang telah diterbitkan dalam Journal of Nutrition, mengesahkan bahawa kopi memang sumber antioksidan yang signifikan dalam diet kita.

Kopi amat kaya dengan asid klorogenik, iaitu sejenis antioksidan yang kuat. Dan tidak kira jenis kopi yang anda minum, antioksidan tetap diperoleh kerana kebanyakan jenis biji kopi mengandungi jumlah antioksidan yang lebih kurang sama.

Amatlah ketara bahawa antioksidan membantu memelihara kesihatan kita. Jadi, nikmatilah hasil semula jadi dari alam kita.

Makanlah buah yang segar, hayatilah salad yang lazat ataupun nikmatilah secawan kopi panas yang segar beraroma!



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom