Home » » Manfaat program kesihatan

Manfaat program kesihatan

Kesedaran pemeriksaan awal penyakit amat penting. Selain mengamalkan gaya hidup sihat, orang ramai perlu sedar tentang keperluan pemeriksaan penyakit untuk mengelakkan rawatan penyakit yang melibatkan kos yang tinggi.

Pemeriksaan payu dara sendiri (PSP) misalnya, mampu mengelakkan penyakit ini menjadi kronik hingga menyebabkan pesakit terpaksa melalui rutin rawatan yang melibatkan perbelanjaan yang banyak.

Kanser payu dara merupakan kanser yang lazim dihidapi wanita di Malaysia. Setiap tahun, lebih kurang 30 peratus daripada kes-kes baru kanser yang dikesan adalah kanser payu dara. Dianggarkan lebih 6000 kes baru kanser payu dara dikesan setiap tahun. ia juga merupakan jenis kanser yang lazim dalam kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Di Malaysia, setiap satu daripada 19 orang wanita akan menghidap kanser payu dara sepanjang hayatnya. Bukan semua jenis kanser boleh dicegah, namun terdapat faktor-faktor risiko kanser payu dara yang dapat dihindar. Terdapat beberapa kaedah terbukti untuk mengesan kanser pada peringkat awal. Kanser payu dara dapat dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan berkesan sekiranya anda mengenali faktor-faktor risiko kanser dan melakukan pemeriksaan teratur.

Sesetengah faktor risiko kanser payu dara dapat dielakkan iaitu mengurangkan kemungkinan kanser payu dara. Pada hakikat, semua wanita mempunyai risiko kerana sebagai wanita kita memiliki estrogen. Oleh itu, pemeriksaan peringkat awal merupakan pencegahan utama kanser payu dara. Kebiasaannya, tanda permulaan kanser payu dara adalah satu bonjolan. Kesakitan bukanlah tanda yang biasa. Pengesanan awal bermakna kejayaan rawatan dan penyembuhan.

Penyaringan merupakan kaedah yang terbaik untuk mengesan kanser payu dara. Ujian pengesanan kanser dilakukan ke atas seseorang yang sihat pada peringkat awal walaupun seseorang itu tidak mempunyai tanda-tanda.

Justeru itu, Biro Pembangunan Sosial dan Kebajikan Wanita UMNO menggunakan kesempatan perhimpunan agung baru-baru ini untuk menyedarkan ahli-ahli UMNO termasuk ahli lelaki parti itu tentang bahaya penyakit kanser dan kesannya kepada sesebuah rumah tangga.

Selain itu, khidmat nasihat dan pemeriksaan percuma untuk ahli UMNO turut diadakan termasuk kencing manis, kolestrol, mata, indeks jisim dan tekanan darah. Program Pemeriksaan Kesihatan dan Kempen Kesedaran Kanser ini diadakan di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 25 hingga 28 Mac lalu.

Selain Kementerian Kesihatan, program ini turut melibatkan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Majlis Aids Malaysia.

Menurut Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan, program ini telah memasuki tahun kelima dan tujuan utamanya ialah menyedarkan golongan lelaki dan wanita supaya sedar kepentingan pemeriksaan awal kanser.

"Penting bagi seorang suami memberi sokongan kepada isteri untuk melakukan pemeriksaan kesihatan khususnya yang berkaitan kanser. Bahkan, lelaki juga perlu diberi pengetahuan tentang kanser seperti prostat," katanya ketika ditemui di perhimpunan agung UMNO baru-baru ini.

Menurut Zuraidah, sejak kempen ini dijalankan, sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan hampir 500 orang mendaftar untuk pemeriksaan kanser setiap perhimpunan.

Walaupun saranan pemeriksaan kesihatan agak sukar diamalkan oleh masyarakat, namun dengan adanya kempen, ia memberi kesedaran kepada mereka.

"Selain orang ramai, pengalaman sukarelawan melalui perkongsian cerita mereka melawan penyakit juga memeriahkan program seperti ini. Pada masa akan datang, NCSM mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan terlibat," ujarnya.

Pada perhimpunan lalu, melalui program ini, sembilan wanita yang disyaki mempunyai simptom barah dan mereka dinasihatkan menjalani rawatan susulan.

"Kaum lelaki berbeza, mereka nampak seperti minat tetapi mungkin segan menyebabkan tidak ramai yang mahu mendapatkan khidmat nasihat," katanya.

Selain itu, penerangan kepada golongan lelaki berhubung penyakit kanser perlu kerana ramai di kalangan mereka tidak begitu mengambil berat berhubung soal kesihatan kerana terlalu menumpukan kepada usaha mencari nafkah.

Kebanyakan golongan lelaki ini agak malu apabila berdepan dengan persoalan seperti penyakit kanser prostat.

Menerusi ceramah kesihatan tentang prostat yang disampaikan perunding radiologi, Dr. Sulaiman Tamanang, ia dapat membantu golongan ini memahami kanser prostat.

"Seharusnya, program ini dilakukan di seluruh negara secara berperingkat untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya kesihatan," ujarnya.

Sementara itu, orang ramai juga boleh mengunjungi NCSM yang terletak di 66, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur untuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan awal kanser melalui penyaringan.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom