Melihat raut wajah Lia Natalia yang cantik sudah pasti membuatkan ramai orang akan terpegun. Ditambah pula dengan senyuman manisnya yang tidak lekang di bibir ketika menyusun kata.Berkongsi tentang rahsia kecantikan, Lia sebenarnya seorang yang sederhana dalam menjaga penampilan.
Jadi, kecantikan luarannya banyak dibantu oleh kecantikan semula jadi di tambah pula dengan wajah kacukannya menambahkan ayu gadis ini. Kata Lia, nenek moyangnya berasal dari Australia.
Anak bongsu dari empat beradik ini hanya mengamalkan rutin kecantikan seperti biasa setiap hari di samping menggunakan beberapa produk tambahan.
“Saya baru menggunakan rangkaian produk Garnier terutama pencuci, penyegar dan krim pelembap sejak enam bulan lalu setelah berhenti menggunakan jenama produk lain yang menyebabkan kulit muka saya bertambah nipis.
“Saya memilih Garnier kerana fungsinya dirasakan sama seperti saya menggunakan produk lama setelah disarankan oleh abang saya.
“Selain itu, saya menggunakan kosmetik jenama 4U2 Cosmetics kerana sesuai dengan kulit saya,” katanya kepada OopStarz!.
Menyentuh tentang penjagaan badan, Lia sempat berkongsi tentang penggunaan krim pelangsing badan memandangkan tubuhnya semakin berisi dan berat badannya bertambah sebanyak 8 kilogram selepas memasuki PK2.
“Saya nak kurus semula dan menggunakan krim pelangsing untuk disapu di bahagian badan yang menggeleber seperti perut dan lengan tangan.
“Semasa menyertai PK2, saya lupa membawa krim itu, jadi sekarang saya mula menggunakannya semula. Saya sudah memakai krim tersebut sejak menyertai dunia peragaan kira-kira tiga tahun lalu.
“Saya turut mengamalkan minuman teh herba setiap kali selepas makan nasi untuk memudahkan proses nyah toksin dalam badan,” kata Lia lagi.
Tentang pemakanan, untuk memudah proses menurunkan berat badan, Lia cuba mengelak makan nasi dengan kuantiti banyak dan hanya mengambil nasi seminggu sekali.
Sebagai ganti nasi, sepupu kepada bekas “supermodel” Renee ini mengamalkan makanan seperti roti, biskut dan sayur-sayuran.
Naik dan turun tangga
Memandangkan dia berasal dari Tawau, Sabah, gadis ini juga bercerita tentang cara orang Sabah menjaga kecantikan kerana kebanyakan wanita di negeri itu memiliki raut wajah yang manis.
Kata Lia, kebanyakan wanita di sana banyak mengamalkan jamu seperti jus dalam botol yang boleh didapati di pasar kawasan Tawau.
“Jamu tersebut dijual dalam pelbagai jenis seperti untuk kecantikan kulit dan membuang lemak. Saya tidak mengamalkan jamu tetapi kakak saya biasa mengambil jamu.
“Bagaimanapun, saya mengetahui khasiatnya yang mampu mengekalkan kecantikan seseorang itu seperti awet muda dan menguruskan badan,” ceritanya.
Selain itu, Lia turut melakukan senaman turun dan naik tangga di rumahnya setelah merasakan senaman yang diamalkan sebelum ini kurang memberikan kesan kepadanya.
Senaman dalam bentuk tarian juga dirasakan amat berbaloi untuk dilakukan tambahan lagi Lia gemar menari apa sahaja jenis tarian termasuk tarian tradisional dan moden.
Lia pernah mengikuti kelas tarian sewaktu belajar di tingkatan tiga, empat dan lima di sekolah menengah.