Home » » Kebaikan probiotik untuk kesihatan (bakteria baik)

Kebaikan probiotik untuk kesihatan (bakteria baik)

Probiotik (bakteria baik) untuk kesihatan
Setiap kali anda menikmati hidangan selepas ini, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada bakteria baik di dalam sistem pencernaan anda.

Sistem gastrousus kita bukan sahaja mengandungi bakteria baik tetapi juga bakteria jahat (berbahaya dan membawa mudarat).

Kita memerlukan bakteria baik untuk menghalang atau mengehadkan pertumbuhan bakteria jahat yang tidak dikehendaki yang hidup di dalam
tubuh kita.

Kewujudan bakteria jahat boleh menyebabkan kita mengalami masalah kembung perut, sendawa, sindrom usus rengsa (IBS), sakit perut, cirit-birit, sembelit, alahan makanan dan melemahkan sistem imun badan.

Kajian menunjukkan bahawa probiotik memberikan perlindungan terhadap penyakit gastrousus seperti sindrom usus terganggu, penyakit Crohn, ulser kolitis, dan alahan makanan.

Kehadiran probiotik meningkatkan penyerapan vitamin dan mineral sambil melindungi sistem penghadaman dan menguatkan sistem imun badan.

Apa itu probiotik?

Probiotik ialah bakteria baik yang terdapat di dinding usus untuk menjadikan kita kuat dan sihat. Ia menggalakkan kesihatan yang baik, menghasilkan keseimbangan dan membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik.

Fakta yang anda perlu tahu mengenai sistem gastrousus anda:

*. Ekosistem yang kompleks terdiri daripada lebih 400 spesies bakteria

*. Terdiri daripada bakteria baik dan bakteria jahat

*. Bakteria baik ialah penghuni normal di dalam usus dan tidak membawa mudarat kepada badan. Ia membantu menggalakkan penghadaman dan penyerapan nutrien yang lebih berkesan ke dalam tubuh

*. Bakteria baik membantu menghalang atau mengawal pembiakan bakteria jahat yang tidak diingini atau patogen yang turut hidup di sana. Disebabkan wujudnya bakteria baik dan bakteria jahat di dalam perut kita, maka kita mestilah memastikan keseimbangan populasi mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor dan keadaan yang boleh mengganggu populasi bakteria baik ini iaitu penuaan, stres, pengambilan antibiotik, pil pencegah kehamilan, gaya hidup yang tidak sihat dan diet tidak seimbang.

Gangguan keseimbangan di dalam sistem gastrousus boleh menggalakkan pembiakan bakteria jahat dan meningkatkan risiko penyakit keradangan, penyakit berjangkit dan bermacam penyakit lain lagi.

Apakah yang terjadi apabila keseimbangan mikroflora usus terganggu?
Gejala yang perlu diperhatikan ialah kembung perut, senak perut, sakit perut, cirit-birit dan sembelit. Hilang selera makan, jangkitan dan alahan kulit juga menjadi petanda masalah keseimbangan mikroflora usus.

Kebaikan probiotik untuk kesihatan yang terbukti secara klinikal:

*. Meringankan serta mengurangkan gejala alahan terhadap laktosa (susu)

Enzim laktase menukarkan laktosa (di dalam produk tenusu) kepada glukosa dan galaktosa yang boleh digunakan oleh tubuh kita. Mereka yang menghidap alahan terhadap laktosa mempunyai tahap enzim laktase yang tidak mencukupi.

Ini bermakna laktosa tidak boleh dihadamkan dan diserap, mengakibatkan cirit-birit, senak perut, kembung perut dan sakit di bahagian abdomen. Probiotik seperti Laktobasilus gasseri menghasilkan laktase, oleh itu ia dapat membantu meningkatkan tahap enzim yang rendah sekali gus mengurangkan gejala alahan ini.

*. Meningkatkan penghadaman

Mikroflora usus yang seimbang mempunyai kesan positif ketara terhadap penghadaman. Ia membantu mengawal ketidakhadaman dan senak perut selepas makan.

*. Meningkatkan penyerapan mineral

Probiotik juga membantu meningkatkan penyerapan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus di dalam badan.

*. Menghasilkan vitamin

Probiotik berkeupayaan menghasilkan vitamin seperti dan vitamin C dan beberapa jenis vitamin B.

*. Melegakan gejala cirit-birit

Probiotik telah terbukti secara klinikal dapat melegakan gejala cirit-birit dan memendekkan tempoh serta kekerapan cirit-birit. Probiotik memulihkan keseimbangan mikroflora, yang menjadi tidak seimbang akibat sesetengah ubat seperti antibiotik yang membunuh semua jenis bakteria termasuk bakteria baik.

*. Menguatkan sistem ketahanan badan

Sistem gastrousus ialah organ ketahanan badan yang terbesar bagi tubuh. Keadaannya yang menentang bakteria dan merupakan sistem yang seimbang dapat melegakan tekanan imunologi yang dikaitkan dengan sistem badan yang tidak sihat.

Telah terbukti bahawa probiotik mempunyai kesan anti-kolonial ke atas bakteria yang memudaratkan. Kesan positif lain seperti menghalang penghasilan bahan toksik (kesan sampingan daripada metabolisme badan atau dari bakteria jahat) juga telah dibuktikan.

Probiotik juga didapati memberi kesan positif ke atas beberapa penyakit gastrousus seperti IBS dan penyakit radang usus. Kajian terkini menunjukkan bahawa dengan pengambilan probiotik yang teratur, selesema biasa dan gejala yang teruk dapat dikurangkan.

*. Hidup sihat dengan vitamin dan mineral

Vitamin ialah faktor bersama bagi mekanisme enzim dan hormon, mempengaruhi perkembangan dan fungsi organ yang berlainan, menjadikannya faktor pelindung penting bagi sel.

Mineral ialah komponen struktur bagi makro-molekul (tulang hormon) dan merupakan sebahagian daripada cecair tubuh. Ia juga adalah sebahagian daripada enzim dan tindak balas berenzim, iaitu sebagai penghubung serta membantu memindahkan dan membebaskan oksigen (seperti unsur besi dalam eritrosit dan sel otot).



 
Chatroom