Home » » 10 asas kekal sihat

10 asas kekal sihat

10 asas kekal sihat

Pernahkah anda terfikir untuk mengakhiri usia sehingga lebih 100 tahun? Pastinya ramai yang berfikir sebentar dan barangkali takut untuk menghadapinya kerana berasakan kehidupan saat itu yang penuh dengan cabaran.

Tidak mustahil ramai juga yang bimbang untuk melalui usia lanjut kerana beranggapan mereka akan menghadapi masalah kesihatan dan kesunyian kerana tiada orang tersayang di sisi.

Namun mungkin kita tidak menyangka, jika mempunyai fikiran positif dan sentiasa memasang impian untuk melakukan aktiviti digemari ketika memasuki usia emas, ia akan membuatkan persepsi negatif berkenaan beransur hilang.

Statistik terkini melaporkan menjelang 2030, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang memiliki hanya 15 peratus warga emas dan ia menunjukkan tahap kesihatan serta kesejahteraan yang tidak memuaskan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Ini kerana bilangan penyakit degenatif kronik, tahap tekanan meningkat dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat menjadi faktor begitu membimbangkan kini.

Kesihatan Penuaan

Bagi memahami kehidupan yang harmoni selepas memasuki usia emas, Perunding Geriatrik dan Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia, Dr Rajbans Singh, berkongsi 10 perkara mengenai kesihatan untuk membantu masyarakat memahami bahawa penuaan bukan satu penyakit pada sesi ceramah bertajuk Mitos Penuaan di Pusat Perubatan Tropicana anjuran badan bebas antarabangsa berpangkalan di Kanada, Friends to Mankind.

Ia bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai asas penjagaan tubuh badan yang betul dalam keghairahan mengekalkan kesihatan dan kecergasan apabila individu itu memasuki zon usia emas.

1. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah impian, matlamat serta tujuan dalam kehidupan. Menurut kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mental dan sikap positif sangat penting dalam semua peringkat usia.

"Ini kerana ramai orang mempunyai pemikiran apabila memasuki usia 100 tahun ke atas mereka akan mengalami tekanan, penglihatan kabur dan masalah pendengaran.

"Sebaiknya, pemikiran sebegitu harus diubah dan jangan sesekali berasa diri tua walaupun baru memasuki usia 50 tahun.

"Sebaiknya, tukar persepsi berkenaan kepada alasan yang positif setiap kali bangkit daripada tidur di awal pagi mengenai tujuan anda mahu hidup lebih lama," kata Dr Rajbans.

2. Selain mempunyai matlamat, setiap individu yang mahu mengekalkan kesihatan dalam usia emas juga perlu bijak merangsang minda mereka ke arah pemikiran positif.

Ini kerana otak ialah otot yang memerlukan pemikiran berterusan bagi mengekalkan kesihatannya. Strategi mengingat boleh dicuba bagi menggalakkan otak bekerja dengan lebih berkesan dan mengurangkan masalah hilang ingatan apabila usia meningkat.

Selain itu, cabar diri dengan melakukan aktiviti digemari seperti hobi, pendidikan dewasa dan membuat kerja sosial secara sukarela bagi mengaktifkan tubuh badan.

3. Pengambilan makanan yang mengandungi nutrisi secara optimum juga diperlukan bagi mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan.

"Masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung dan kanser menjadi isu utama yang biasa menyerang kerana berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat.

"Untuk mengelakkan penyakit berkenaan menyerang, kembalilah kepada alam semula jadi dengan mengamalkan pengambilan sayuran dan buah-buahan berwarna serta segar yang diperlukan oleh tubuh badan," katanya.

Prihatin dengan diet harian masyarakat hari ini, menurutnya, kawasan sepanjang laut Mediterranean terutama Yunani dan selatan Itali mempunyai kadar jangka hayat penduduk yang tinggi dan rendah penyakit kronik berdasarkan diet yang diamalkan.

Mereka gemar mengamalkan pemakanan yang mengandungi bijirin, buah-buahan, kekacang, minyak zaitun, omega-3 daripada sumber ikan dan hanya menikmati daging merah secara bersederhana.

Penduduk di Pulau Okinawa, Jepun pula boleh dijadikan contoh terbaik apabila menyentuh aspek jangka hayat yang panjang. Penduduknya menunjukkan kadar kematian terendah di dunia kerana penyakit kronik penuaan yang rendah.

Di situ juga lebih ramai penduduknya yang hidup 100 tahun dengan nisbah 100,000 populasi berbanding negara lain di dunia dan dilaporkan mempunyai kadar terendah kematian berpunca daripada kanser, penyakit jantung dan strok.

Ini kerana mereka mengamalkan diet sihat iaitu mengambil pemakanan yang mengandungi kalori rendah, banyakkan sayuran serta buah-buahan, serat dan flavanoid yang tinggi.

4. Senaman diperlukan bagi mengelakkan risiko serangan sakit jantung dengan memperbaiki peredaran darah dan tahap kolesterol serta mengekalkan berat badan yang seimbang.

Menerusi senaman yang dijadikan sebagai rutin harian, ia juga membantu mencegah dan menguruskan tekanan darah tinggi, mengelakkan tulang rapuh serta meningkatkan tenaga yang diperlukan apabila usia semakin meningkat.

Bukan itu saja, senaman yang dilakukan setiap hari membantu mengurus tekanan dengan baik selain memperbaiki kualiti tidur.

Senaman yang dilakukan bersama keluarga dan rakan boleh dijadikan sebagai waktu riadah yang bukan saja dapat mengekalkan kesihatan malah menjadikan hubungan bertambah erat.

5. Cuba untuk kekalkan kelangsingan badan. Obesiti ialah penyebab kedua kematian yang boleh dicegah. Obesiti yang tidak dikawal akan mewujudkan pelbagai risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, kardiovaskular gout dan kanser.

Selain itu, ia juga penyebab kepada risiko masalah peningkatan insiden vena varikos, asma dan buasir khususnya kepada wanita.

6. Menguruskan tekanan dengan baik kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan apabila tidak mampu dikawal. Antara masalah yang biasa dihadapi apabila berada dalam keadaan tertekan:

* Gigi berlaga terutama ketika tidur

* Insomnia, tidur terganggu dan mengalami mimpi buruk

* Kesakitan di bahagian bahu, leher dan belakang badan

* Keletihan yang kronik

* Kerosakan dan kekeringan kulit

* Tumpuan menjadi lemah

* Penyelarasan fizikal yang lemah

* Masalah percakapan

* Migrain dan sakit kepala

* Berasa bimbang

* Nadi berdenyut terlalu pantas atau tidak sekata

Selain itu, tekanan perasaan yang tidak mampu diatasi juga boleh menyebabkan risiko menghidap darah tinggi dan serangan jantung.

7. Tidur yang berkualiti iaitu selama tujuh atau lapan jam satu keperluan untuk meneruskan cabaran dalam kehidupan dan membantu menggalakkan fungsi sistem saraf dengan betul.

Ia juga dapat menyegarkan saraf otak dan menggalakkannya berfungsi dengan baik. Justeru, pastikan anda mendapatkan kualiti tidur yang baik setiap hari untuk mengekalkan kesihatan mental dan fizikal.

8. Radikal bebas berpunca daripada sinaran ultraungu, pencemaran, kimia, racun, rokok, alkohol, lemak dan gula. Penyelidik menganggarkan 80 hingga 90 peratus daripada semua penyakit degeneratif termasuk penuaan disebabkan pelbagai aktiviti yang boleh menyebabkan penyakit:

* Alzheimer

* AIDS

* Artritis

* Kanser

* Katarak dan masalah penglihatan lain

* Keradangan

* Kemerosotan kolagen yang menyebabkan penuaan dan garis kedutan

* Gangguan buah pinggang dan hati

* Parkinson

* Sindrom pernafasan

* Nyanyuk

* Strok

* Kecelaruan vaskular iaitu angina, penyakit jantung, buasir, vena varikos dan lebam.

Antioksidan iaitu vitamin A, C, E dan selenium melindungi sel dengan meneutralkan radikal bebas dan mempunyai kelebihan untuk membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit berbahaya.

Kajian yang dilakukan oleh Harvard menunjukkan pengambilan vitamin E membantu mengurangkan risiko penyakit jantung sehingga 41 peratus.

9. Sistem imun ialah mekanisme pertahanan badan secara senyap tetapi mempunyai kekuatan terhadap jangkitan seperti virus, bakteria atau kulat.

Sistem imun akan musnah apabila kita mengalami masalah rehat yang tidak mencukupi, tekanan, kolesterol tinggi, gula berlebihan, gemar mengambil makanan ringan, alkohol dan asap tembakau.

Selain itu, ia juga boleh dilemahkan apabila seseorang itu mengalami kemurungan, kekurangan hormon selain berpunca daripada radikal bebas.

Untuk membantu mengembalikan sistem imun, terapi mengimbangkan hormon boleh dilakukan tetapi harus mendapat pemantauan daripada doktor pakar bagi melambatkan tanda penuaan.

Nutrisi dan gaya pemakanan

Perunding dalam bidang kesihatan dan juga bekas doktor gigi, Dr Rico Ricketts, yang berkunjung ke sini sejak Disember lalu turut mendapati kebanyakan orang dapat hidup dalam masa terlalu pendek tetapi menghadapi mati yang panjang.

"Kita seharusnya membebaskan diri daripada mitos biasa manakala kepercayaan mengenai penuaan harus ditinggalkan untuk memperkasakan diri serta mengharungi usia emas dalam keadaan kesihatan yang baik.

"Kegembiraan dan keseronokan dalaman akan diterjemahkan pada luaran mereka untuk tampil anggun dan berseri sepanjang masa," katanya yang masih kelihatan sihat walaupun sudah berusia 70 tahun.

Jelasnya, salah satu mitos yang sering menghantui kebanyakan orang ialah mengenai proses penuaan yang akan bermula apabila memasuki usia sekitar 50 atau 60 tahun.

Hakikatnya, proses penuaan bergantung sejak kita belum dilahirkan lagi menerusi pemakanan ibu yang baik, tenaga dan kecenderungan keadaan biologi mereka.

Individu itu seharusnya membuat pilihan yang tepat dan memulakan hidup lebih baik seawal lingkungan usia 20-an hingga 40-an dan bukan pada usia 50-an baru hendak mencari jalan mengekalkan kesihatan yang baik.

Mempelajari homeopati, akupuntur dan ayurvedik di samping nutrisi sepanjang 20 tahun, Dr Ricketts turut memerhati tabiat rakyat Malaysia dan bimbang apabila menyentuh aspek kesihatan penduduk di negara ini.

Melalui pemerhatiannya, 75 peratus rakyat Malaysia tidak melakukan senaman serta kerap makan dan minum.

Selain itu, budaya gemar mengambil makanan manis seperti gula dan susu pekat dalam manisan juga boleh mengundang keburukan kepada kesihatan dalam jangka panjang seperti berisiko mendapat kencing manis dan serangan jantung.

"Saya turut melihat budaya pengambilan makanan di beberapa tempat dinamakan `Zon Biru' iaitu Pulau Sardinia, Itali; Pulau Ikaria, Greece; Pulau Okinawa, Jepun dan Loma Linda, California.

"Di sana ramai orang mampu hidup sihat walaupun mereka berusia 90 tahun kerana amalan pengambilan makanan berkhasiat selain budaya makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.

"Malah, di kawasan berkenaan juga tidak memiliki tempat untuk mereka berpeluang menikmati makanan segera yang membuatkan kesihatan masyarakat di sana lebih terjaga," katanya.

Oleh Hajahfarhana Tarmudi



 
Chatroom