Home » » Khasiat buah-buahan

Khasiat buah-buahan

Antara hidangan pencuci mulut paling mudah disediakan untuk sebarang majlis ialah buah-buahan.

Ia bukan saja murah, sedap dan senang diperoleh, malah warnanya yang cantik menandakan ia mengandungi banyak khasiat, termasuk bahan antioksidan untuk melewatkan penuaan.

Semua pakar pemakanan menyarankan kita makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari.

Namun ada juga kajian menunjukkan jika ingin meningkatkan tahap kesihatan, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran harian perlu ditambah kepada lima hingga sembilan hidangan.

Makan banyak buah dan sayur bermakna kita memenuhi keperluan vitamin dan garam galian dalam badan.

Ia membantu mengurangkan kebergantungan kepada pil makanan tambahan yang bertujuan membekalkan vitamin dan garam galian yang tidak cukup.

Kajian tempatan mendapati rata-rata masyarakat kita mengambil dua hingga tiga hidangan buah dan sayur setiap hari.

Buah-buahan boleh menjadi makanan yang memuaskan apabila kita berasa terlalu lapar. Ini kerana buah dan sayur mengandungi serat yang tidak boleh dihadam; membuatkan kita berasa kenyang sehingga sampai waktu untuk makan hidangan lebih berat.

Sejak berabad lamanya buah-buahan dilabel sebagai makanan menyihatkan dan mampu menjadi ‘agen’ menghalang dan melawan penyakit. Di kalangan masyarakat New Zealand, buah kiwi menjadi pelindung daripada selesema dan ia terbukti melalui kajian saintifik.

Malah kandungan serat dalam buah dan sayur yang bertugas sebagai pelincir terbukti dapat mengelak masalah berkaitan gastrousus seperti sembelit. Serat ini menjadi bahan ‘pelincir’ untuk memudahkan proses perkumuhan dan menyingkir toksik dari badan.

Rumusan penyelidikan yang disiarkan dalam Jurnal Perubatan British edisi September 2001.

Penyelidik mendapati amalan makan buah-buahan segar mengurangkan risiko kematian akibat penyakit serebrovaskular seperti strok sebanyak 32 peratus dan 24 peratus kematian disebabkan penyakit jantung bagi individu yang makan kurang satu hidangan buah sehari.

Buah-buahan juga ada banyak manfaat lain seperti:

- Sumber gula semula jadi sebagai tenaga segera

- Sumber terbaik vitamin dan garam galian

- Kaya dengan bahan antioksidan untuk melawan tindakan radikal bebas

- Mudah dimakan dan dihadam

- Kandungan seratnya menjadi bahan pelawas

- Mengandungi banyak air; membantu memenuhi keperluan air harian

- Membuat kita berasa kenyang lebih lama

Oleh kerana manfaatnya banyak, buah-buahan sepatutnya mendapat tempat lebih baik dalam pemakanan harian kita, bukan sekadar pencuci mulut.

Bila waktu terbaik untuk makan buah? Ada yang berpendapat ia perlu diambil sebelum makan supaya penyerapan khasiat lebih berkesan. Adakah pendapat ini benar? Menurut Ketua Perunding Pemakanan Pusat Perubatan Sunway, Teng Yu Yuet, tidak kira dimakan dulu atau kemudian, khasiat buah tetap sama.

Namun mereka yang ingin menguruskan badan boleh memulakan sajian tengah hari atau malam dengan buah atau sayur-sayuran (seperti salad) kerana ia mengandungi banyak serat yang membuatkan kita berasa cepat kenyang.

Biasanya jika makan buah selepas makan nasi, kita mungkin berasa terlalu kenyang dan ia boleh menyebabkan kita berasa mengantuk serta kurang produktif, terutama pada tengah hari. Justeru, kurangkan makan nasi untuk memberi ruang kepada buah-buahan.

“Buah-buahan boleh di makan bila-bila masa dan ia snek sihat yang sesuai untuk semua orang. Ia juga makanan dan langkah baik bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.

“Bagaimanapun, individu ini masih perlu mengambil sumber makanan lain dan tidak hanya bergantung kepada buah-buahan kerana setiap makanan bersifat saling melengkapi. Ada banyak khasiat yang tiada di dalam buah-buahan,” katanya ketika ditemui sewaktu cabaran membeli-belah Lean Club anjuran Pusat Perubatan Sunway.

Buah-buahan boleh dijadikan daya penarik untuk anak makan. Bagi yang mempunyai anak cerewet makan, buah-buahan mampu membuka selera mereka.

Pun begitu, bukan semua orang boleh makan buah sesuka hati. Bagi pesakit kencing manis, pengambilan buah-buahan mesti dalam kuantiti yang dibenarkan bagi mengelak masalah kawalan paras gula dalam darah.

Makan banyak buah-buahan segar juga tidak akan menyebabkan kerosakan gigi. Walaupun ia mengandungi gula, kandungan air dan serat dalam buah akan ‘mencuci’ mulut.

Soalnya, bolehkah berlaku masalah jika terlalu banyak makan buah? Prinsipnya mudah; segalanya perlu sederhana kerana apa-apa yang berlebihan akan memudaratkan. Terlalu banyak makan buah menyebabkan pemakanan tidak seimbang.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



2 Komen:

Anonymous said...

bagus dan sesuai untuk orang yang suka makan makanan ringan dengan jumlah yang banyak.

Anonymous said...

Kalaw suka buah jangan beli terus sekali-kali nanam sendiri lah........ Bukan hanya makan tapi juga turut melestarikan kekayaan alam........








Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom