Home » » Ruji telur, timun dan susu

Ruji telur, timun dan susu

* Lebih dari kaya nutrien

Apa yang ingin ditekankan di sini, makanan ringkas seperti telur atau timun juga dapat memberikan nutrien penting kepada badan dan bukannya hanya makanan yang layak kepada alam fauna sahaja. Bagi kebanyakan manusia di bumi, hampir semua jenis telur yang boleh dimakan menjadi sumber nutrien penting meneruskan hidup, terutamanya mereka yang hidup dalam kemiskinan atau dalam persekitaran sukar seperti kawasan gersang di Afrika. Dinikmati semua golongan masyarakat, telur juga lebih sinonim di kalangan mereka yang kurang berkemampuan, di antaranya membela unggas (ayam, itik) sendiri sebagai sumber mendapatkan bekalan telur untuk masakan. Tambahan pula di ketika dunia diselubungi pelbagai krisis, termasuk krisis makanan, tidak wajar rasanya untuk kita terlalu memilih makanan sedangkan ramai lagi kebuluran di luar sana.

Pusat Kanser MD Anderson, Universiti Texas, Amerika Syarikat (AS) memberi contoh pesakit kanser yang memerlukan makanan yang padat dengan nutrien untuk membantu proses pemulihan mereka. Amalan mengambil pelbagai makanan yang padat dengan nutrien juga amat digalakkan untuk semua. Di puncak kelas makanan yang padat nutrien ini adalah telur, iaitu keseluruhan putih dan kuning sebiji telur!

Telur mengandungi sumber asid amino (bahan binaan protein) yang seimbang, dikira sebagai penanda aras untuk perbandingan dengan makanan lain.

Persatuan Jantung Amerika juga sebelum ini dikatakan tidak lagi mengehadkan jumlah telur yang boleh dimakan seseorang asalkan jumlah kolesterol harian individu berkenaan di bawah 300 miligram (mg) sehari. Individu yang mempunyai penyakit kardiovaskular, diabetes atau LDL (kolesterol jahat) pula disarankan tidak mengambil lebih daripada 200 mg kolesterol sehari.

Rujukan Piawaian Pangkalan Data Nutrien Kebangsaan USDA pula menunjukkan ibu mengandung yang memerlukan 71 gram protein setiap hari boleh mengambil telur selain ikan, daging tanpa lemak, ayam, kekacang kering atau produk tenusu yang kaya sumber protein untuk perkembangan janin yang sihat. Kajian juga mengaitkan pengambilan makanan berprotein tinggi seperti telur rebus atau segelas susu sebelum tidur dapat mengimbangkan paras gula di dalam darah ibu yang mengandung.

Telur rebus juga didakwa kadang-kala dapat mengelakkan berlakunya sakit kepala atau mengurangkan tahap sakit kepala yang teruk. Ini berikutan peningkatan dan penurunan gula darah yang mendadak dengan pengambilan karbohidrat boleh membawa kepada sakit kepala. Protein (seperti dalam telur) mengambil masa lebih lama untuk dihadam, menyebabkan paras gula naik secara perlahan-lahan.

Menceritakan sedikit kisah timun, ianya bukan calang-calang sayur kerana didakwa tergolong di dalam antara 10 terbaik untuk badan. Timun amat rendah kalori serta menjadi sumber serat tumbuhan dan kaya dengan air untuk kegunaan badan. Timun telah lama menjadi makanan harian di Malaysia, terutamanya masyarakat di kampung yang gemar memakan ulam- ulaman bersama sambal belacan. Dengan kandungan kanji, karbohidrat, gula ringkas, sejumlah mineral, vitamin dan asid amino, timun bukanlah satu makanan yang ‘sia-sia’. Serat timun juga didapati dapat menyerap air sehingga 30 kali ganda beratnya berbanding hanya empat kali ganda berat bagi serat gandum.

* Kisah susu

Susu bukan sahaja dikeluarkan sebagai produk susu bayi atau susu segar, malahan digunakan di dalam bermacam produk makanan diproses yang lain seperti aiskrim, coklat, gula-gula, yogurt, keju, mentega dan pelbagai produk tenusu. Dengan berita pencemaran melamin, pengeluar kesemua produk tersebut terpaksa menanggung kerugian besar apabila sebahagian produk mereka dilarang masuk ke pasaran atau lebih teruk jika hilang kepercayaan pengguna. Tindakan mengelakkan produk tenusu pula kelak mungkin membawa kepada masalah bekalan kalsium, vitamin dan mineral keperluan badan pengguna, yang sebelum ini banyak diperolehi melalui susu.

Oleh itu, ia menjadi satu pengajaran besar, bukan sahaja kepada pihak berwajib yang sepatutnya membuat pemantauan, malahan bagi pengeluar produk supaya berhati-hati memilih pembekal bahan asas (susu) yang tidak tamak mencari kekayaan segera.

Di sebalik tragedi ini, mungkin ada hikmahnya. Orang ramai akan mengurangkan pengambilan produk tenusu yang mengandungi banyak gula seperti coklat dan gula-gula tertentu, serta lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan harian mereka kelak. Jangan dibiarkan generasi muda menjadi mangsa batu karang, kemandulan dan juga kanser akibat kita lalai dalam memastikan makanan mereka terlindung dari ancaman bahan kimia atau pencemaran bahan berbahaya lain.

Perlu ditegaskan, tiada makanan halal yang patut dikutuk dan diberikan sebarang label semata-mata kerana tidak memenuhi rasa di lidah. Masakan yang dihasilkan mungkin tidak sesedap rasa tetapi tidak wajar juga digambarkan dalam sebarang bentuk penghinaan sedangkan ramai di antara kita membesar dengan hidangan yang ringkas, sehingga dewasa dan berjaya.

Selain itu, jangan pula diambil kesempatan terhadap kualiti makanan kerana menjadi lumrah manusia perlu makan untuk hidup. Jika ada yang sanggup mencemari makanan dengan bahan berbahaya, lambat-laun ia pasti kembali ke diri atau ahli keluarga nya sendiri. Jangan makanan dijadikan sesuatu yang hina atau dihina kerana seburuk-buruk makanan di mata kita, ia bagai hidangan mewah bagi yang hidup kebuluran.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 168 “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa-apa yang di atas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu.”



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom