Home » » » Susu Terapi Minda

Susu Terapi Minda

Jika anda cepat marah dan berasa jiwa tidak tenang dan sudah puas mencuba pelbagai petua serta menghabiskan ribuan ringgit untuk mengatasinya, mengapa tidak mencuba satu cara murah dan enak.

Hanya dengan minum susu dapat membantu mengatasi masalah itu. Selain susu, apa saja makanan yang kaya dengan kalsium berupaya menenangkan jiwa.

Pakar pemakanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Suhaila Mohamed, berkata ada banyak faktor menyebabkan seseorang cepat marah.

Katanya, makanan mengandungi kalsium bukan jawapan mutlak untuk meredakan kemarahan, tetapi kajian sains membuktikan kalsium mempunyai kesan terhadap sistem saraf manusia, iaitu merehatkan otak.

“Sudah terbukti kalsium mempunyai kebolehan menenangkan jiwa. Malah, kajian mendapati antara faktor menyebabkan kemarahan ialah kekurangan kalsium.

“Perhatikan bayi selepas minum susu mudah tidur lena. Begitu juga orang yang menghadapi masalah tidur, antara petuanya ialah minum susu supaya mudah mengantuk,” katanya.

Dr Suhaila juga berkata, wanita yang sedang haid sering dikatakan mudah cepat marah dan dari segi sains, keadaan ini berlaku kerana ketika itu keperluan kalsium meningkat, tetapi tidak dipenuhi.

Beliau berkata, keperluan kalsium amat penting termasuk untuk mengurangkan rasa sakit dan wanita yang hendak bersalin digalakkan minum susu untuk mengurangkan rasa sakit, manakala golongan tua perlu mengambil kalsium yang cukup untuk mengelakkan pereputan tulang.

Pada usia tua, katanya kalsium banyak digunakan untuk tugas lain menyebabkan kekurangan penyerapan bahan itu menyebabkan tulang menjadi berongga dan keadaan fizikal seperti bongkok boleh berlaku.

Petikan: Halaqah



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom