Home » » Gaya buat lelaki kurus

Gaya buat lelaki kurus

Mungkin ramai menganggap tubuh kurus sebagai jaminan melakukan apa saja eksperimen fesyen. Mengapa tidak, tubuh kurus menjadi lesen menggayakan apa saja persalinan ready made hinggalah busana ilham pereka hebat.

Dalam erti kata lain, segala-galanya nampak sempurna andai dianugerahi tubuh badan idaman atau kurus hingga apa saja persalinan disarung nampak gah. Namun, imej kurus yang sering memenuhi pentas peragaan fesyen wanita bukanlah sama senarionya dalam dunia lelaki.

Pada pandangan umum, lelaki dilihat kurang menarik jika terlalu kurus. Tidak seperti wanita yang menonjol dengan imej XS, lelaki nampak canggung, tidak macho dan maskulin andai kurus melidi.

Silap percaturan dalam bergaya, lelaki bertubuh XS hanya memperlihatkan penampilan umpama tidak cukup makan dan kecil. Ini didorong pula pilihan fesyen tidak sesuai serta kecenderungan memilih pakaian bersaiz kecil mengikut potongan badan.

Sebaiknya, lelaki bertubuh kurus usah memilih pakaian mengikut potongan badan atau bersaiz kecil. Silap dalam etika gaya jejaka XS jika memilih menggayakan baju yang melekap hingga menjejaskan penampilan secara keseluruhan.

Sudahlah menampakkan saiz tubuh melidi, imej kelelakian menjadi kurang menyerlah. Akhirnya, jejaka malang ini gagal membiaskan cita rasa sebenar lelaki sejati.

Bukan memperkecilkan kemampuan lelaki XS bergaya, namun batasan tertentu haruslah dipatuhi bagi menjadikan penampilan jejaka bertubuh kurus tampak menarik biarpun melidi.

Lelaki bertubuh XS masih boleh berorientasi gaya dengan memilih kemeja yang tidak terlalu kecil. Sebaik mungkin lelaki bersaiz begini memilih kemeja bersaiz S. Tiada sempadan gaya untuk memilih warna bagi mereka yang bertubuh kurus.

Namun, jejaka XS perlu melihat motif dan corak pakaian yang ingin digayakan. Sebagai contoh, kurang sesuai andai lelaki bertubuh kurus memilih kemeja berjalur besar memanjang ke bawah. Motif seperti itu hanya menjadikan mereka bertambah kurus.

Sungguhpun begitu, lelaki bertubuh kurus masih boleh memilih kemeja berjalur halus untuk menampakkan elemen fesyen serta menyerlah personaliti diri.

Menyentuh pemilihan kemeja-T, lebih menonjol jika jejaka kurus memilih rekaan bersaiz besar sedikit. Tidaklah bermakna mereka harus beralih kepada saiz L dan XL, namun percaturan pakaian biarlah sesuai mengikut badan.

Sempadan gaya untuk lelaki XS tidak terhad kepada baju dan seluar semata-mata. Sebaliknya, mereka boleh berfantasi dengan padanan jaket, vest (anak baju) dan baju sejuk. Padanan sesuai nyata menonjolkan pesona gaya lelaki kurus.

Selain menutupi kekurangan tubuh kurus, pemilihan pakaian tambahan sebegini mampu membuatkan tubuh kelihatan lebih besar dan menonjol.

Pemilihan seluar mungkin bukanlah isu besar buat lelaki kurus kerana rata-rata potongan seluar mengikut bentuk badan lelaki. Cuma bagi menyuntik penampilan lebih besar, potongan seluar untuk ke pejabat lebih menarik andai memiliki lipatan di bahagian depan poket seluar.

Bagi seluar denim pula, orientasi gaya tiada batasan. Ada banyak pilihan bagi seluar denim sama ada berpotongan lurus, rendah atau skinny jeans.

Apapun pilihan gaya, sebaiknya dapatkan pandangan pasangan dan teman rapat supaya tidak menjejaskan penampilan. Namun, jejaka XS perlu bersedia menerima pandangan untuk memastikan gaya yang dicetuskan tidak mencipat kejutan pada mata yang memandang.

Selamat bergaya!

Gaya buat si kurus

KETEPIKAN rasa rendah diri untuk bergaya, XY- Stailo memberi panduan dalam etika gaya buat jejaka bertubuh XS.

Rambut
Elak memotong rambut terlalu pendek mahupun botak kerana penampilan sedemikian akan menambah refleksi anda bertubuh kurus. Sebaiknya biarlah rambut berpotongan sederhana untuk mengimbangi bentuk muka yang kecil.

Muka
Biarkan wajah sentiasa bersih dan dicukur rapi untuk memastikan penampilan lebih seimbang.

Pakaian
Pilihan pakaian hendaklah mengikut saiz badan. Tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Sebaiknya, mencuba terlebih dulu pakaian yang ingin dibeli dan jika tidak yakin minta juga pandangan orang lain.

Jaket
Langkah terbaik andai si kurus memilih jaket dan vest untuk menutupi tubuh badan kurus. Selain menyerlahkan penampilan, ia secara tidak langsung menampakkan tubuh badan lebih besar.

Seluar
Jangan memilih seluar yang terlalu mengikut potongan. Mungkin pemakaian seluar boxer akan membantu mengubah saiz seluar walaupun sedikit.

Kasut
Mungkin hanya sekadar kasut tetapi pemilihan reka bentuk sesuai mampu memberi makna besar dalam penampilan. Si kurus sebaiknya bijak bermain warna dan tidak statik memilih kasut berwarna hitam. Lambakan kasut jejaka di pasaran termasuk warna-warna hangat mampu mengimbangi penampilan diri.

Aksesori
Jangan ragu memilih aksesori pelengkap gaya. Tidak salah lelaki menggayakan beg sandang, topi mahupun berkaca mata hitam. Si kurus wajar memanfaatkan aksesori
untuk mengimbangi tubuh badan mereka. Namun, jangan pula memilih aksesori terlalu sarat seperti penggayaan rantai di seluar dan lilitan gelang di tangan!

Oleh Fairuz Zaidan



2 Komen:

akujoex@yahoo.com berkata...

fantastic tip...

Tanpa Nama berkata...

tips org gmuk nk jd krus cammner???????

Catat Ulasan

 
Chatroom