Home » » Panduan Cergas Dan Sihat

Panduan Cergas Dan Sihat

Anda perlu mengubah sedikit gaya hidup dengan menjadi lebih aktif dan memasukkan senaman ke dalam aktiviti harian.

Usah lagi memberi alasan tiada masa untuk bersenam kerana semua orang diberi Allah masa iaitu hanya 24 jam sehari. Alasan letih juga tidak boleh dipakai lagi kerana sedikit senaman boleh mengembalikan tenaga anda. Malah, senaman yang dilakukan secara kerap membuatkan kita lebih cergas dan bertenaga.

Tidak kira berapa pun berat atau sebesar mana saiz badan kita, senaman yang dilakukan secara teratur memberi banyak manfaat kepada kita. Dalam usaha menjaga kesihatan, tiada istilah terlewat.

Kita tetap mendapat faedah senaman walaupun menghidap penyakit tertentu kerana sebarang aktiviti yang mengeluarkan peluh boleh meningkatkan tahap imun dan membantu kita mengawal penyakit dengan lebih baik.

Yang diperlukan sekarang ialah keinginan menjadi individu lebih sihat. Untuk mencapai impian itu, kita memerlukan kesungguhan dan azam kuat untuk berubah.

Memang diakui amat sukar untuk memulakan perubahan, tetapi anda perlu memulakannya sekarang. Ingat, usah bertangguh kerana bertangguh menyebabkan semua rancangan tidak menjadi.

Sebagai permulaan, buat aktiviti ringan dengan berjalan pada waktu pagi sebelum pergi kerja. Berjalan di kawasan perumahan selama 10 hingga 15 minit setiap pagi sudah memadai dan apabila stamina bertambah, lanjutkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari. Namun perlu diingat, buat aktiviti memanaskan badan sebelum bersenam untuk mengelak kecederaan atau ketegangan otot.

Jadi usah bertangguh lagi. Fikirkan bahawa senaman ini bukan hanya memberi manfaat kepada anda seorang kerana ibu bapa yang sihat dan cergas dapat menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dengan lebih baik. Malah, anda juga secara tidak langsung merangsang anak untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat sejak kecil.

Berikut adalah 10 panduan untuk membantu anda menjadi lebih cergas:

# Berfikiran positif. Katakan pada diri sendiri ‘saya boleh lakukannya’. Percaya bahawa anda boleh membuat perubahan positif dalam hidup.

# Buat sasaran realistik. Mulakan senaman dengan berjalan cepat selama 10 hingga 15 minit sehari. Tingkatkan tempoh senaman kepada 20 hingga 30 minit sehari apabila anda berasa lebih selesa. Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, jangan mengharapkan berat badan turun mendadak selepas seminggu bersenam.

Penurunan berat badan yang selamat ialah kira-kira 0.5 kilogram seminggu atau dua kilogram sebulan. Simpanan lemak adalah tenaga paling sukar dibakar, tetapi ia berkurangan melalui senaman teratur dan kerap.

Usah terlalu bimbang dengan berat badan kerana bagi pakar senaman, berat hanya sekadar nombor akibat tarikan graviti. Berat badan seorang ahli sukan yang berbadan mantap biasanya lebih tinggi berbanding orang yang mempunyai ketinggian sama dengannya.

Ini kerana ahli sukan berkenaan mempunyai lebih banyak otot berbanding orang yang jarang bersenam. Otot ini lebih berat daripada lemak. Justeru, jangan terlalu risau jika berat anda berkurang dengan perlahan kerana senaman memperbaiki bentuk badan secara keseluruhan.

# Banyakkan bergerak setiap hari. Setiap pergerakan memberi sumbangan kepada kesihatan. Justeru, anda perlu bijak untuk menjadi lebih aktif seperti menaiki tangga dan banyakkan berjalan di dalam pejabat.

# Selang-selikan senaman kardio (seperti berjalan cepat, berbasikal, bermain badminton, menari atau jogging) dengan senaman mengangkat beban untuk memberi cabaran baru kepada badan.

# Jika anda tidak boleh bersenam 30 minit sekali gus, pecahkan waktu senaman kepada dua atau tiga sesi. Kesannya masih sama seperti anda bersenam 30 minit secara berterusan.

# Bersenam mengikut kemampuan sendiri. Usah cuba menandingi orang lain kerana keupayaan dan tahap kesihatan setiap individu adalah berbeza. Berhenti bersenam jika anda tercungap-cungap, berasa pening atau seolah-olah mahu muntah kerana ia menandakan anda bersenam keterlaluan. Senaman dianggap mencukupi jika anda berasa mengah tetapi masih boleh bercakap.

Jika anda ada masalah kesihatan, dapatkan nasihat doktor terlebih dulu, terutama bagi individu yang menghidap kencing manis, bagi mengelak masalah hipoglisemia (paras gula menjadi terlalu rendah) ketika bersenam.

# Pelbagaikan senaman anda dan lakukan aktiviti digemari. Ini cara terbaik untuk mengekalkan senaman sebagai rutin harian selain memberi cabaran baru kepada badan.

# Bersenam sambil mendengar muzik. Muzik membuatkan anda lebih bersemangat untuk bersenam. Menari mengikut alunan muzik juga antara senaman yang baik dan boleh dilakukan bersendirian di rumah. Tidak mengapa jika anda tidak pandai menari; asalkan ada pergerakan badan ia sudah memadai.

# Cari kawan jika boleh. Bersenam dengan kawan memang lebih menyeronokkan. Bagaimanapun, usah terlalu bergantung kepada jadual rakan. Lakukan sendiri jika kawan tidak dapat menemani anda.

# Buat catatan hasil atau perkembangan anda. Catatan ini boleh dalam bentuk ukuran saiz badan atau timbangan berat.

Panduan menjadi cergas

# Berfikiran positif

# Buat sasaran realistik. Mulakan senaman dengan berjalan cepat selama 10 hingga 15 minit sehari

# Banyakkan bergerak setiap hari

# Selang-selikan senaman kardio

# Jika anda tidak boleh bersenam 30 minit sekali gus, pecahkan waktu senaman kepada dua atau tiga sesi

# Bersenam mengikut kemampuan sendiri

# Pelbagaikan senaman anda dan lakukan aktiviti digemari

# Bersenam sambil mendengar muzik

# Cari kawan jika boleh. Bersenam dengan kawan memang lebih menyeronokkan

# Buat catatan hasil atau perkembangan anda

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



4 Komen:

Inajay berkata...

Terima kasih di atas perkongsian ini. Ia sangat2 mbantu. Jemput ke blog saya di http://mommatwinz.blogspot.com utk berkongsi cerita :)

Unknown berkata...

Pemakanan penting dalam mengekalkan kecergasan..Performace mampu mengembalikan kecergasan anda..http://shakefood4u.blogspot.com

Unknown berkata...

Salam,

Solat juga sebahagian drpd cara utk sihat dan cergas fizikal dan mental dan solat berjamaah adalah yang lebih baik bagi solat fardu, manakala solat malam utk personal. Insya Allah sihat dan cergas

Unknown berkata...

salam, saya petik sedikit ayat daripada blog ni untuk letak dalam pamplet program kesihatan i'olls.. terima kasih banyak2 :)

Catat Ulasan

 
Chatroom