Home » » Menari turunkan berat Nadia AF6

Menari turunkan berat Nadia AF6

Penyanyi kecil molek ini, Nadia atau Nadia Haswani Hasnan, 18 memang meminati aktiviti sukan sejak di bangku sekolah rendah lagi. Nadia yang dikenali menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia 6 (AF6) turut mempelajari seni mempertahankan diri, silat.

“Sejak di peringkat sekolah lagi, Nadia bergiat dalam sukan bola tampar dan seni mempertahankan diri, silat. Sekarang Nadia sibuk dengan aktiviti seni dan tiada masa tetapi Nadia tidak lupa melakukan aktiviti cergas jika ada masa,” katanya.

Menurut anak pertama daripada dua adik-beradik ini, dia sering menari di rumah kerana tarian juga dapat mengeluarkan peluh.

“Kebetulan Nadia ingin menurunkan berat badan, jadi Nadia tidak boleh berdiam diri. Jika ada masa lapang, Nadia akan bersenam dan menari ,” jelasnya.

Selain senaman dan menari, bagaimana Nadia menjaga kesihatan?

Selain bergerak aktif, Nadia juga mengambil suplemen. Sudah menjadi kebiasaan ibu Nadia menyediakan suplemen terutamanya ketika bersarapan.

Apa rahsia Nadia untuk menjaga kesihatan kulit wajah?

Untuk penjagaan kulit wajah, Nadia selalu mencuci wajah dengan bersih terutamanya sebelum tidur. Maklumlah, sebagai artis, Nadia selalu bersolek tebal-tebal. Jadi kesan solekan pada wajah perlu dibersihkan dengan betul.

Kenapa Nadia mempelajari silat?

Ia merupakan seni mempertahankan diri yang penting untuk wanita. Bukan mudah mempelajarinya tetapi ia sebenarnya aktiviti lasak yang sihat. Apatah lagi, sekarang ini pelbagai kejadian serangan wanita, maka kita perlu mempertahankan diri sendiri.

Apa aktiviti seni Nadia sekarang?

Selain mengikut jadual yang disediakan Maestro, Nadia juga aktif melakukan aktiviti bersama Nadia FC. Terbaru, Nadia akan merakam lagu untuk filem Histeria dan akan berduet dengan salah satu band Indonesia.

Sekarang ini, Nadia aktif dengan kelab peminat Nadia, Nadia FC. Semalam (kelmarin) Nadia baru sahaja bermain futsal dengan peminat dan minggu lepas Nadia dan peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur seramai 30 orang menghabiskan masa di Genting Highlands. Orang ramai yang ingin menyertai Nadia FC, bolehlah melayari laman web www.nadiafc.com atau blog Nadia sendiri, www.nadia-hasnawi.com/blog

– RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom