Home » » Petua seorang tua bagaimana berhenti merokok

Petua seorang tua bagaimana berhenti merokok

Saya telah merokok hampir 34 tahun dan telah membakar wang hampir RM40,000. Sejak 10 tahun lalu saya berusaha untuk berhenti dari tabiat buruk itu. Berbagai-bagai orang telah saya temui dan pelbagai cara telah saya lakukan, namun sia-sia belaka.

Setiap tahun baru, saya berazam tetapi tinggal azam sahaja. Pada suatu hari pada 16 Mac, 2004 secara kebetulan saya bertemu seorang tua (OT) di sebuah wakaf lalu berbual-bual dengannya.

Saya menceritakan masalah dan azam saya yang tidak pernah tercapai. Beliau menceritakan kepada saya beliau seorang perokok tegar selama 40 tahun tetapi telah berhenti sejak 10 tahun lalu. Beliau berumur 65 tahun.

Saya tertarik dengan kejayaannya itu dan bertanyakan petuanya. Alhamdulillah saya telah berjaya dan tidak lagi merokok sejak dari hari itu hingga kini.

Kepada saudara-saudara yang ingin berhenti merokok, saya perturunkan di sini nasihat beliau dalam bentuk dialog.

P: Saya ingin mendapat petua pakcik bagaimana berjaya berhenti merokok.

OT: Sebenarnya tidak ada apa-apa petua. Saya ingin bertanya kenapa awak merokok dan kenapa awak tidak boleh berhenti merokok.

P: Saya merokok kerana mendapat kepuasan dan keseronokan, tetapi tidak boleh berhenti kerana ketagih.

OT: Jawapan awak salah. Merokok sedikit pun tidak mendatangkan keseronokan tetapi memeningkan dan tidak juga mendatangkan kepuasan tetapi meloyakan selepas menghisapnya.

Awak tidak boleh berhenti bukan kerana ketagihan. Sebenarnya awak merokok kerana awak ada duit dalam poket dan tidak boleh berhenti kerana mental awak lemah, tidak kuat.

P: Saya kurang jelas dengan maksud pakcik.

OT: Begini. Awak berniat hendak berhenti merokok tetapi dalam poket awak sentiasa ada duit, jadi awak akan membelinya bila saja teringin. Jika dalam poket awak tidak ada duit, walau bagaimana teringin sekalipun awak tidak akan mendapat rokok kerana poket awak kosong.

P: Tetapi masalah juga pakcik kalau poket kosong, manalah tahu semasa berjalan saya terjumpa warung kopi, kempunan saya dibuatnya.

OT: Kalau awak ada 60 sen cukup untuk secawan kopi, awak sanggup tidak minum asalkan dapat dua batang rokok. Betul atau tidak.

P: Betul, tetapi masalah juga bagi orang bekerja, tentu perlukan duit untuk waktu rehat dan perbelanjaan ke tempat kerja.

OT: Kalau duit untuk perbelanjaan ke tempat kerja sahaja tidak apalah, sebab awak tidak akan sampai ke tempat kerja atau tidak dapat balik rumah jika duit itu digunakan untuk rokok. Maksud saya ialah jangan ada duit untuk makan sekali pun kerana duit itu akan bertukar dengan rokok juga akhirnya, kerana awak akan sanggup tidak makan.



P: Teruk juga pakcik nak berhenti merokok, sampai kena berhenti makan minum, poket pun kena kosong selalu.

OT: Tidak teruk, proses ini hanya 14 hari saja, lagi pun awak bukan tidak makan minum sepanjang hari, di rumah awak boleh makan minum sesuka hati awak, tetapi ingatlah, dalam poket tetap mesti kosong, kerana dekat rumah awak pun ada kedai jual rokok juga. Di sinilah yang saya katakan tadi mental kena kuat dan ingatlah bahawa di negara kita ini belum ada lagi orang mati kerana tidak makan, tetapi banyak yang mati kerana makan.

Orang paling miskin pun belum ada yang mati tidak makan, tetapi orang kaya dah ramai yang mati kerana merokok. Kuatkan mental awak di sini, insya Allah awak akan berjaya.

Lihat apa terjadi pada awak, apakah hasil yang awak dapat dari membakar duit sebanyak itu selain dari batuk, sakit dada, paru-paru dan jantung.

Jangan biarkan gas beracun menyelubungi rumah awak dan disedut oleh keluarga awak. Berhentilah.

Itulah sahaja caranya yang dapat saya nasihatkan kepada awak untuk menyelamatkan diri dan keluarga awak dan yang pentingnya menyelamatkan duit awak daripada terbakar begitu sahaja.

- TOK KI, Kota Bharu, Kelantan.



2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Siapa yang nak cuba kaedah semula jadi untuk berhenti merokok boleh layari http://jomhenti.webs.com/

ianya mudah, selamat dan berkesan. Terbukti berkesan!

fatihatie berkata...

Bila dah cuba banyak petua tetapi tak berjaya, mungkin Vivix Shaklee boleh membantu perokok tegar di luar sana yang dah lama berniat untuk berhenti merokok. Semoga perkognsian di blog saya ini memberi manfaat buat semua ;)

Catat Ulasan

 
Chatroom