Home » » Mengelak obesiti

Mengelak obesiti

Aktiviti fizikal memang terbukti memiliki pelbagai manfaat kesihatan.

Antara lain, ia menguatkan tulang dan otot, meningkatkan kesihatan mental dan mood, mengurangkan tekanan darah, membaiki tahap kolesterol serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, kencing manis, barah payudara dan barah usus.

Otak turut mendapat tempias apabila seseorang itu bersenam. Bagaimanapun, ia mungkin bukanlah penawar untuk mereka yang menghadapi masalah obesiti.

Pemakanan yang lebih berkhasiat disertakan dengan senaman sememangnya penawar mujarab untuk mengurangkan berat badan sekali gus mengelakkan masalah kegemukan.

Satu kajian terkini menyarankan pemakanan seimbang seharusnya memainkan peranan penting apabila memperkatakan topik penjagaan berat badan.

Penyelidik daripada Sistem Kesihatan Universiti Loyola, Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pusat berkaitan, membandingkan wanita Afrika-Amerika di kota metropolitan Chicago dengan wanita di pedalaman Nigeria.

Secara purata, wanita Chicago mempunyai berat kira-kira 83 kilogram (kg) dan wanita Nigeria sekitar 58kg.

Penyelidik sudah menjangka, wanita Nigeria yang lebih kurus sememangnya lebih aktif secara fizikal. Namun, penyelidik agak terperanjat apabila mendapati tiada perbezaan ketara antara dua kumpulan terbabit dari segi jumlah kalori yang dibakar ketika menjalani aktiviti fizikal.

"Aktiviti fizikal yang kurang bukanlah punca utama masalah obesiti," kata Pakar Pemakanan Universiti Loyola, Amy Luke, yang juga anggota pasukan penyelidik itu.

Garis panduan kerajaan Amerika Syarikat menyatakan setiap minggu, seorang dewasa memerlukan sekurang-kurangnya dua setengah jam aktiviti aerobik sederhana (seperti berjalan pantas) atau 75 minit aktiviti lebih cergas seperti berjoging. Golongan dewasa juga perlu melakukan aktiviti untuk menguatkan otot seperti mengangkat berat atau senaman bangun duduk, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Manfaatnya untuk kesihatan secara keseluruhan memang jelas. Malah senaman turut menunjukkan ia mampu meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak.

Apabila bersenam, lebih banyak berlaku pembakaran kalori. Masalahnya, mereka yang bersenam mempunyai kecenderungan untuk makan lebih banyak, kata Pengerusi Jabatan Perubatan Pencegahan dan Epidemiologi universiti berkenaan, Richard Cooper.

Pemakanan juga lebih dikaitkan dengan keadaan wanita Chicago yang rata-rata mempunyai badan lebih berat daripada wanita Nigeria, kata Amy.

Menurutnya, pemakanan wanita Nigeria tinggi dengan serat dan karbohidrat serta rendah lemak dan protein haiwan. Sebaliknya, pemakanan wanita Chicago itu pula mengandungi 40 hingga 45 peratus lemak serta tinggi kandungan makanan proses.

Bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan apatah lagi penemuan terbaru juga bercanggah dengan kajian lain.

Satu kajian diterbitkan dalam keluaran jurnal Arkib Perubatan Dalaman mendapati masyarakat Amish lama yang mempunyai genetik berkait obesiti dapat mengekalkan tubuh langsing kerana mereka banyak melakukan senaman.

Hasil kajian terkini itu (yang diterbitkan dalam keluaran jurnal Obesiti September 2008) juga serupa dengan kajian pada 2007 membabitkan lelaki dan wanita di Jamaica. Penyelidik daripada Universiti Loyola dan pusat lain mendapati tiada kaitan antara pertambahan berat badan dan kalori yang dibakar ketika melakukan aktiviti fizikal.

"Semakin banyak bukti terkumpul menyatakan pengambilan pemakanan mungkin lebih penting berbanding tahap penggunaan tenaga.

"Pengurangan berat badan tidak mungkin berlaku tanpa kekangan dari segi pemakanan," kata Amy.

Pusat lain yang terbabit dalam kajian berkenaan termasuk Universiti Ibadan di Nigeria, Universiti Howard, Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins dan Universiti Wisconsin.

Pada masa sama, kelembapan ekonomi pula mungkin menyebabkan ramai yang mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan tetapi beberapa pakar bimbang ia mungkin menyebabkan ramai mengalami pertambahan berat badan.

Ada beberapa kajian mengaitkan obesiti dengan tabiat pemakanan kurang menyihatkan di kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Penyelidik rata-rata bimbang apabila masyarakat mula mengurangkan perbelanjaan ke atas makanan, mereka turut mengurangkan perbelanjaan makanan menyihatkan yang lazimnya lebih mahal seperti ikan segar dan buah-buahan, sebaliknya lebih cenderung membelanjakan wang untuk pilihan makanan lebih murah yang kaya dengan kandungan gula dan lemak tepu.

"Apabila orang ramai menjimatkan wang dari segi pembelian makanan, mereka akan memilih makanan yang mempunyai kandungan yang tinggi dari segi gula dan lemak tepu yang lebih murah," kata Pengarah Program Sains Pemakanan, Universiti Washington, Adam Drewnowski.

Malah, menurutnya, keadaan mungkin akan jadi lebih buruk apabila obesiti berlaku akibat kegagalan persekitaran ekonomi.

Kajian Drewnowski sendiri mengemukakan kaitan antara pendapatan dan obesiti.

"Di Seattle, kami mendapati terdapat lima kali ganda perbezaan dari segi kadar obesiti berdasarkan tempat tinggal mereka iaitu, mereka yang tinggal di kawasan berpendapatan rendah mempunyai lebih ramai bilangan penduduk yang mengalami masalah kegemukan," katanya.

Menurutnya, kajian di California menyarankan peningkatan kemiskinan sebanyak 10 peratus boleh mengakibatkan enam peratus peningkatan masalah obesiti di kalangan orang dewasa.

Amerika Syarikat mendahului negara lain di dunia dari segi obesiti. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, lebih satu pertiga golongan dewasa AS iaitu lebih daripada 72 juta orang dan 16 peratus kanak-kanak mengalami masalah kegemukan.

"Kami mengaitkan kemiskinan dengan kegemukan kerana makanan yang padat dengan tenaga adalah lebih murah. Kemiskinan tidak bermakna seseorang itu perlu jadi gemuk tetapi hakikatnya, ia mampu membuatkan seseorang bertambah berat badan akibat kemiskinan," kata bekas Presiden Persatuan Jantung Amerika, Dr Robert Eckel.

Bagi Drewnowski, masyarakat boleh menikmati makanan menyihatkan yang mampu dibeli misalnya dengan mengutamakan makanan asas seperti pernah dialami warga AS ketika zaman kemelesetan sekitar 1930-an.

"Antara makanan yang mampu dimiliki dan berkhasiat termasuk kekacang, daging, susu, keju, lobak merah, kentang, sup dan nasi," katanya yang menggelarkan makanan terbabit sebagai 'diet untuk zaman baru kemelesetan.'



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom