Home » » Diet melegakan usus rengsa

Diet melegakan usus rengsa

Wanita atau lelaki yang berusia 25 hingga 41 tahun sering mengalami masalah kembung perut atau buncit. Kadang-kadang masalah itu mendatangkan kegusaran kepada empunya diri.

Justeru, mereka sanggup mengenakan baju bersaiz besar atau berwarna gelap bagi menutup perut yang agak buncit.

Lebih perit lagi, mereka sering sakit perut selepas makan.

Pelbagai langkah perubatan dan petua tradisional diamalkan, tetapi saiz abdomen masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Justeru itu, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari menyarankan golongan ini melakukan ujian kolonoskopi (endoskopi usus) iaitu pemeriksaan endoskop usus besar agar ia lebih lengkap.

Pemeriksaan endoskopi boleh dijalankan secara OGDS (atas, kiri) atau kolonoskopi (atas, kanan) untuk melihat imej semasa salur penghadaman (gambar kecil, kiri).

Ujian itu penting untuk memastikan pesakit dapat memastikan sakit yang dialami bukan kanser kolon tetapi IBS. Ini kerana simptom-simptom yang dialami seakan-akan sama tetapi IBS hanya menjejaskan fungsi tetapi bukan struktur usus.

Antara tanda yang kerap dialami ialah rasa tidak puas apabila membuang besar.

Ujian perubatan mungkin dilakukan bagi menyingkirkan lain-lain punca gejala ini.

Selain itu, najis berdarah merupakan alasan penting untuk berjumpa doktor. Keadaan IBS boleh menjadi buruk apabila seseorang mengalami stres, makan hidangan yang besar, makanan tinggi lemak dan datang bulan atau haid.

Menurut Dr. Abdul Malik, gejala menjadi bertambah teruk selepas minum atau makan produk-produk tenusu, anda mungkin mengalami lactose intolerance atau ketidakupayaan menghadamkan laktosa iaitu gula yang terkandung dalam susu.

“Ia bukannya sebahagian daripada keadaan IBS dan makanan itu sendiri bukanlah punca terjadinya IBS .

‘‘Bagaimanapun, individu yang menghidap IBS mungkin mendapati sesetengah makanan boleh memburukkan lagi simptom-simptom yang mereka alami,” ujar beliau.

Kebaikan diet

Dr. Abdul Malik memberitahu, biasanya pesakit mendapat faedah dengan meningkatkan pengambilan serat secara beransur-ansur.

Kebanyakan orang boleh meneruskan cara pemakanan mereka dengan normal. Kadangkala makanan yang mengandungi susu boleh menimbulkan gejala-gejala seperti kembung perut dan kesakitan abdomen bagi individu yang tidak sesuai dengan laktosa.

“Seseorang yang mengalami kembung perut harus mengelak pengambilan makanan berdaun, mengunyah gula-gula getah, kekacang atau makanan dan minuman yang boleh membentuk gas,’’ katanya.

Bakteria pelindung perut

Ramai yang tidak menyedari pentingnya bakteria baik kerana ia melindungi perut daripada pelbagai jenis penyakit seperti IBS.

Dr. Abdul Malik memberitahu, probiotik merupakan mikroorganisma hidup atau bakteria baik yang membawa kebaikan kepada perumahnya jika diambil pada kadar yang berpatutan. Ia juga bertindak membantu melaraskan proses pencernaan manusia dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Dr. Abdul Malik menasihatkan orang ramai untuk melakukan senaman mudah untuk beberapa minit setiap hari. Regang otot-otot untuk beberapa saat, kemudian rehatkan diri.

‘‘Apabila anda berasa tegang, lakukan senaman pernafasan dengan menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembus keluar nafas dengan perlahan-lahan’’ katanya.



 
Chatroom