Home » » Haji mabrur

Haji mabrur

Haji adalah ibadah yang mampu memberikan inspirasi bagi kemajuan kemanusiaan. Proses ini dimulai dengan jutaan manusia berbondong-bondong ke Baitullah al-Haram iaitu Kaabah, simbol perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Haji mabrur adalah matlamat yang dijejaki setiap jemaah haji yang menyahut seruan Ilahi di Kota Suci Makkah. Haji mabrur disebut oleh Rasulullah dalam satu hadis: "Haji mabrur tidak ada ganjaran yang selayaknya melainkan syurga." (Riwayat Bukhari)

Mabrur adalah orang yang memiliki sifat baik, terpuji dan tergolong dalam kelompok al-Abrar iaitu golongan sentiasa berbuat kebaikan. Amalan baik disebut dalam al-Quran sebagai al-Birr, yang hanya akan terhasil kerana ketaatan, kesalihan, kebenaran, belas kasihan serta dermawan.

Dalam konteks pengertian al-Barr, mereka yang termasuk dalam kategori al-Abrar adalah golongan yang dalam diri mereka melekat sifat kebajikan (mabrur) dan kerananya selalu melaksanakan amalan kebajikan (al-Birr).

Ibadat kemuncak

Falsafah rukun Islam meletakkan ibadat haji sebagai kemuncak kewajipan yang wajib ditunai setiap Muslim. Ibadat haji kewajipan pelengkap selepas empat kewajipan sebelumnya. Ibadat haji mengandungi pelbagai pengorbanan sepanjang perjalanan menyahut seruan Ilahi di Makkah.

Barangkali inilah sebab mengapa istilah manasik yang bererti pengorbanan selalu digandingkan dengan haji kerana ibadat haji menuntut pengorbanan dan kesabaran yang selanjutnya membekas kukuh dalam sanubari serta perilaku Muslim.

Bukan perkelahan spiritual

Perlu diinsafi bahawa ibadat haji bukan perkelahan spiritual atau jalan-jalan makan angin tanpa sebarang makna dan tujuan. Sebaliknya, manasik haji turut menyelitkan unsur tarbiah ruhiyyah dengan matlamat membentuk peribadi Muslim bertakwa.

Firman Allah SWT: "Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang yang) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 21)

Sehubungan itu, apabila seseorang jemaah haji selesai melaksanakan ibadat hajinya, ini bukan bermakna dia telah selesai segala-galanya. Sebaliknya, ia adalah pintu gerbang awal untuk menuju kepada ibadah dan jihad dalam pelbagai lapangan hidupnya.

Ibadat haji dianggap kemuncak kewajipan kerana ia pelengkap atau penyempurnaan kewajipan pengabdian seorang Muslim ke hadrat Ilahi.

Sabda Rasulullah SAW: "Amalan paling utama adalah beriman kepada Allah yang Maha Esa, kemudian berjihad pada jalan-Nya dan haji yang mabrur mengatasi segala amalan yang lain seumpama jarak tempat matahari naik hingga tempat terbenamnya." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad)

Berdasarkan pengertian hadis itu, Rasulullah SAW tidak terus menyatakan bahawa haji mabrur adalah amalan paling afdal, sebaliknya didahului oleh iman dan jihad. Ini bermakna ketakwaan yang diredai Allah boleh dicapai dan diperoleh oleh sesiapa pun.

Tidak perlu seseorang Muslim itu memaksa atau membebankan sesuatu kewajipan antara satu sama lain di luar daripada batas kemampuannya. Seseorang yang memaksa dan membebankan dirinya melakukan sesuatu kewajipan di luar kemampuannya sama sekali tidak dianggap sebagai ketaatan atau ketakwaan yang diredai Allah.

Mampu syarat sah haji

Oleh itu, prinsip istita'ah iaitu kemampuan dalam pelbagai aspek adalah syarat sah haji sesuai dengan perintah Allah melalui firman-Nya: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya." (Surah Ali-Imran, ayat 97)

Prinsip kemampuan ini menggambarkan bebanan kewajipan yang wajib diterima oleh Muslim adalah sesuai dengan kemampuan dan kesanggupannya, tidak memaksa diri dan tidak pula bersikap melebihi daripada sepatutnya.

Seorang yang memaksakan dirinya menunaikan ibadat haji sehingga tergamak menjual atau menggadai seluruh kekayaan, dengan wang pinjaman atau berhutang adalah satu perbuatan bertentangan prinsip kemampuan yang ditetapkan syarak.

Begitu juga halnya orang yang berulang kali menunaikan ibadat haji sedangkan di luar sana masih ramai insan lebih memerlukan ihsan dan belas kasihan untuk meneruskan saki baki kehidupan yang masih jauh.

Oleh itu, haji mabrur adalah haji yang terhimpun dalamnya tiga unsur yang akan terus mengiringi perjalanan hidupnya menuju keredaan Ilahi. Ketiga-tiga unsur itu ialah niat yang ikhlas, istiqamah dalam beramal dan kehidupannya sentiasa berada pada landasan keredaan Allah.

Moga tarbiah kerohanian dan aneka pengorbanan dalam ibadat haji berupaya membangun modal insan yang memiliki nilai ketakwaan yang akan memartabatkan kembali tamadun ummah yang cemerlang.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
* Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).




 
Chatroom