Home » » Elak Makanan Berminyak

Elak Makanan Berminyak

LAPORAN mengenai jangkaan hampir lima juta golongan muda di negara ini akan mengalami penyakit kronik pada tahun depan, sungguh mengejutkan dan menarik perhatian ramai. Angka ini dijangka meningkat sekali ganda menjelang 2020 jika tiada usaha diambil untuk membanterasnya.

Hasil kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan antara 2000 hingga 2003 mendapati ramai golongan muda berusia di bawah 29 tahun dimasukkan ke hospital kerana penyakit jantung dan strok.

Kajian itu juga mendapati 420,200 orang mengalami masalah obesiti, 1.5 juta berlebihan berat badan dan 8.4 juta mengamalkan gaya hidup pasif — kemungkinan juga ada yang langsung tidak pernah bersenam!

Masalah ini akan tambah meruncing jika kita masih meneruskan gaya kehidupan moden yang diamalkan kini. Ada banyak penemuan lain dalam kajian berkenaan, tetapi inti pati yang penting ialah, semua masalah itu berpunca daripada makanan dan kegemukan.

Apabila gemuk, pergerakan dan aktiviti fizikal menjadi perlahan, menyebabkan banyak penyakit mudah bersarang.

Ramai pakar diet dan pengamal perubatan percaya, berpuasa secara umumnya cara terbaik untuk menjaga kesihatan dan mengurangkan berat badan.

Bagaimanapun, ada juga yang resah kerana berdasarkan pengalaman lalu, puasa sebulan masih tidak mampu menurunkan berat badan, sebaliknya badan menjadi semakin berisi walaupun dirasakan pengambilan makanan ketika berbuka tidaklah sebanyak mana.

Pakar diet dan perunding diabetes, Norlida Alias, berkata masalah pertambahan berat badan mudah berlaku kerana jumlah makanan diambil tidak setanding dengan penggunaan tenaga harian seseorang.

Katanya, dalam bulan puasa, keperluan tenaga setiap individu adalah sama dengan hari lain jika perjalanan aktiviti hariannya tidak berubah.

Justeru, seseorang itu masih memerlukan jumlah makanan (kalori) sama untuk kekal cergas sepanjang hari.

“Setiap orang perlu faham dan kenal diri sendiri. Adakah dia tergolong dalam kumpulan yang memiliki kadar metabolisma tinggi atau sebaliknya. Bagi individu yang ada kadar metabolisme tinggi, tidak akan timbul masalah pertambahan berat badan, walaupun makan banyak ketika berbuka.

“Sebaliknya, individu yang ada kadar metabolisma rendah perlu lebih berhati-hati dalam soal pemilihan jenis dan kuantiti makanan ketika berbuka. Elak makan melebihi keperluan harian kerana ia menimbulkan masalah berat badan pada hujung Ramadan,” katanya.

Selain itu, ramai mengurangkan aktiviti harian mereka sepanjang bulan puasa.

Malah, tidak ramai pergi bersenam dengan alasan ‘berpuasa’, sedangkan aktiviti penting ini perlu diteruskan dengan kekerapan sekurang-kurangnya tiga minggu sekali, 30 minit setiap sesi.

Perkara ini tidak disedari ramai dan mereka masih makan dengan jumlah kalori sama, walaupun aktiviti senaman sebenarnya dikeluarkan daripada agenda harian.

Kalori berlebihan ini akan ditukarkan kepada lemak untuk disimpan dalam badan.

Selain itu, makan banyak selepas menunaikan solat tarawih dan tidur ketika perut masih kenyang juga merangsang kepada masalah ini, sedangkan kita disaran supaya hanya tidur sekurang-kurangnya tiga jam selepas makan.

Jadi tidak hairan jika ramai mengalami pertambahan berat badan, walaupun berpuasa sebulan.

Namun, kata Norlida, perkara ini tidak harus dibiar berlarutan kerana tiada istilah ‘terlewat’ jika mahu menjaga kesihatan.

Mengurangkan 500 kalori sehari atau 3,500 kalori seminggu boleh mengurangkan berat sebanyak setengah kilogram.

Bagi yang berura-ura hendak menjaga berat badan, cara terbaik ialah mengurangkan pengambilan lemak dan bukan karbohidrat.

Ini kerana satu gram lemak mengandungi sembilan kalori berbanding hanya empat kalori bagi satu gram karbohidrat.

Malah, aktiviti bersenam masih perlu diteruskan seperti hari tidak berpuasa mengikut kemampuan masing-masing.

Namun, kata Norlida, orang yang tidak pernah bersenam tidak digalakkan memulakan aktiviti ini pada Ramadan kerana bimbang ia boleh menimbulkan masalah tidak diingini.

“Lakukan senaman mengikut kebiasaan masing-masing. Jika biasa bersenam pagi, buat pada waktu pagi. Jika tidak sempat, boleh ditunda ke waktu malam. Sebenarnya ketika bulan puasa, aktiviti sesetengah orang makin bertambah kerana ada sembahyang tarawih dan pada masa sama, masih perlu menjalankan rutin harian lain.

“Jadilah orang yang bijak dalam menentukan kesihatan diri. Paling penting, elak makanan banyak lemak dan kurangkan makanan terlalu manis atau masin, khususnya mereka yang ada masalah kencing manis,” katanya.



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

Pn norlida is the best la.
she helped me alot.
TQ very much

Catat Ulasan

 
Chatroom