Home » » Tidak berlapar boleh kurus

Tidak berlapar boleh kurus

Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my

Regim diet tidak makan beri kesan buruk

DALAM usaha menurunkan berat badan, ramai yang cenderung untuk menyekat diri mereka daripada menikmati pelbagai jenis makanan secara membuta tuli. Bagi mereka, setiap makanan yang diambil pasti akan menyumbang kepada pertambahan berat badan.

Oleh itu, mereka sering kali mengelak untuk makan, hingga apa saja yang dirasakan menggemukkan tidak mahu diambil lalu hanya makan makanan yang 'selamat' namun tidak cukup berkhasiat dan ada di antara mereka yang merasakan sudah cukup gigih (dalam usaha menurunkan berat badan) apabila berbuat begitu.

Mungkin, dengan berbuat demikian golongan ini dapat mencapai matlamat mereka untuk menurunkan berat badan. Bagaimanapun, cara yang dipilih ini bukanlah cara yang baik untuk menurunkan berat badan malah ia sebenarnya boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan seseorang. Segelintir yang menjalani regim diet seperti ini biasanya senang menjadi lesu dan tidak bermaya.

Untuk menjadi lebih kurus, seseorang tidak semestinya berhenti mengambil makanan yang biasa mereka ambil sebelum ini. Apa yang sepatutnya dilakukan adalah mengawal apa yang mereka makan, bukannya berhenti makan itu dan ini.

Ini kerana, manusia perlu makan untuk memastikan lemak dalam tubuh dapat dibakar. Nutrisi paling utama yang diperlukan tubuh manusia adalah tenaga. Tanpa tenaga mencukupi, tubuh seseorang akan menukarkan protein otot kepada tenaga untuk membekalkan 'sumber makanan' kepada otak, sistem saraf dan sel darah merah.

OREN dapat membuatkan anda berasa kenyang berbanding air biasa.
Tisu ini bagaimanapun tidak berupaya untuk membakar lemak dan ia hanya membakar karbohidrat. Apabila pengambilan karbohidrat anda lebih rendah daripada yang diperlukan tisu berkenaan, badan akan mula menukar tisu protein kepada karbohidrat untuk memenuhi keperluan. Hasilnya, tisu otot akan semakin berkurangan.

Benar, penimbang berat mungkin akan menunjukkan yang anda sudah kehilangan 'berat' tapi hakikatnya, anda sebenarnya kehilangan tisu yang fungsinya membakar lemak. Tisu otot membakar kira-kira 70 peratus lemak di dalam tubuh seseorang, jadi, kehilangan tisu ini menandakan tubuh anda tidak berupaya untuk membakar lemak dalam tubuh.

Lagipun, 'berat' yang anda sangkakan hilang itu sebenarnya mewakili 10 hingga 20 peratus tisu otot yang hilang. Golongan yang menjalankan diet seperti ini bukan hanya memperoleh berat badan yang kononnya mereka idamkan (berkurang) tapi kemudiannya ia akan bertambah pula. Ini kerana, mereka sudah ?mengorbankan? keupayaan untuk membakar lemak dalam tubuh.

Hal ini jugalah yang dapat menjelaskan mengapa ramai orang yang bertambah berat badan mereka apabila meningkat usia kerana peningkatan usia mengakibatkan kehilangan otot. Mereka yang kurang melakukan aktiviti juga berisiko untuk kehilangan otot mereka. Kedua-dua faktor ini pula menjadi penyebab kepada kurangnya keupayaan untuk membakar lemak seterusnya membuatkan bilangan tisu lemak meningkat.

Namun, usah bimbang kerana otot ini boleh dibina semula dan dilatih untuk membakar lemak. Antara cara untuk mencapainya adalah dengan melakukan senaman aerobik dan aktiviti ini juga harus dibantu dengan pengambilan nutrien yang diperlukan untuk membina otot berkenaan. Justeru itu, untuk membakar hanya lemak, bukan tisu lain di dalam tubuh, anda perlu sekurang-kurangnya memenuhi keperluan tenaga minimum.

Satu kajian yang dilakukan di United Kingdom menunjukkan, faktor yang membuatkan seseorang kehilangan berat badan bukanlah kerana pengambilan karbohidrat yang rendah dan bukan juga disebabkan ketosis yang membuatkan kadar metabolisme dalam badan meningkat. Kajian itu mendapati, kandungan protein dalam setiap hidangan yang diambil seseorang sebenarnya yang membantu mengurangkan selera seterusnya membuatkan mereka kurang mengambil makanan berkalori.

Namun, untuk menambah makanan berprotein dalam setiap hidangan yang diambil setiap hari mungkin agak sukar bagi yang ingin mengawal kandungan kalori dalam badan. Untuk mengatasinya, ada yang menggabungkan makanan berprotein serta menggabungkan makanan berasaskan tanaman untuk mengurangkan berat badan kerana makanan ini biasanya rendah kalori, tinggi serat dan kedua-duanya mudah untuk dikombinasikan dalam sesebuah hidangan.

Sebagai contoh, apabila anda mengambil makanan seperti nasi atau roti, ia boleh digabungkan dengan makanan seperti ubi kentang atau sayuran.

Nyata, ada pelbagai alternatif yang baik untuk menurunkan berat badan tanpa perlu menempuhi kesengsaraan berlapar. Apa yang penting, anda mengetahui apakah diet yang terbaik yang dapat membantu anda mengurangkan berat badan. Berikut diberikan beberapa tips pemakanan untuk yang mahu menurunkan berat badan:

Tips pemakanan untuk menurunkan berat badan


Mereka yang berjaya menurunkan berat badan kebanyakannya melakukan perubahan secara berperingkat, bukan secara drastik. Mulakan dengan melakukan perubahan yang anda boleh laksanakan dalam jangka waktu yang panjang. Kemudian ubah tabiat satu demi satu sehingga anda dapat membiasakan diri.

1) Makan perlahan-lahan. Perut mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ?memberitahu? otak anda bahawa anda sudah kenyang.

2) Pilih makanan yang memerlukan anda mengunyahnya, Cuba makan buah-buahan seperti epal atau sayuran mentah. Makanan seperti ini dapat melambatkan kadar pemakanan anda.

3) Cuba nikmati snek bersama minuman panas atau suam. Ia dapat membantu anda berasa kenyang.

4) Minum enam hingga lapan gelas air setiap hari. Ia dapat membuatkan perut anda terasa berisi dan membuatkan anda sibuk dengan aktiviti selain daripada ?bergayut? di pintu peti sejuk!

5) Segelas jus oren (240 mililiter) adalah bersamaan dengan tiga biji buah oren. Menikmati oren adalah lebih mengenyangkan daripada meminum air biasa.

6) Makan tengahari sebelum anda meninggalkan tempat kerja. Ini dapat mengelakkan anda daripada terlebih makan ketika makan malam.

7) Berikut adalah contoh snek yang sihat : bertih jagung, roti perancis, buah-buahan, yogurt dan bermacam-macam lagi.

8) Makan makanan yang rendah lemak

9) Setiap kali anda menggerakkan otot, lemak dalam tubuh akan dibakar. Oleh itu, biasakan menaiki tangga berbanding menggunakan lif.

10) Setiap usaha, walau sekecil mana pun dapat membantu mengurangkan lemak di dalam tubuh. Gunakan jam berbanding mentega dan anda dapat mengelakkan 30 kalori dan 5 gram lemak.

Makan epal cara terbaik kurangkan berat badan

PEPATAH lama dari Barat, 'An apple a day, keeps the doctor away' - Sebiji epal setiap hari, dapat 'menghindarkan' anda daripada berjumpa doktor. Ia menggambarkan khasiat yang dimiliki buah epal, bukan saja dari segi kesihatan tetapi juga suatu diet yang berkesan untuk menurunkan berat badan.

Kini, ramai yang sudah mengetahui keberkesanan epal dalam membantu seseorang yang ingin mengurangkan lemak berlebihan dalam badan mereka.

Sebab itulah wujudnya saranan pengambilan 3 biji epal sehari yang popular di Amerika Syarikat. Ia bermula sejak beberapa tahun lalu, apa penduduk di bandar Wenatchee, Washington AS mendapati berat badan mereka susut, bukan kerana kurang makan atau produk pelangsingan yang berlambak di pasaran tetapi melalui perubahan gaya hidup yang diamalkan mereka.

Seorang penduduk wanita dilaporkan kehilangan kira-kira 8.6 kilogram (kg) dalam tempoh 12 minggu dan seorang penduduk lelaki pula susut kira-kira 16 kg dalam tempoh yang sama. Keseluruhannya, seramai 346 orang yang mengikuti program 'tiga bii epal Washington Apples sehari' itu susut lebih daripada 2700 kg lemak dalam 12 minggu. Mereka yang menjalani program ini turut mengamalkan program pemakanan dan senaman seimbang.

Program '3-Epal-Sehari' ini diilhamkan Pakar Pemakanan Berdaftar, Tammi Flynn yang ketika itu menjawat pengarah nutrisi sebuah gimnasium tempatan menemui formula unik ini.

Seorang daripada pelanggan Flynn yang program dietnya bukan saja tidak berjaya, malah bertambah lapar disebabkan terpaksa mengurangkan makanan mengamalkan memakan sebiji epal sebelum waktu makan. Hasilnya, dia berjaya mengurangkan kira-kira 0.7 kg dalam hanya satu minggu.

Flynn mencuba kaedah sama ke atas pelanggan lainnya dan hasil yang diperoleh sangat hebat. Kejayaan saranan Flynn itu meyakinkan 346 penduduk Wenatchee menyertai program diet itu dan memakan lebih daripada 87,000 biji epal Washington Apples selama 12 minggu.

Petua ringkas dan mudah ini kemudiannya dianggap cara terbaik bagi menurunkan berat badan kerana ia tidak membabitkan diet, cuma amalan memakan sebiji epal sebelum makan sarapan, tengah hari dan malam. Di samping itu, pengambilan snek berkhasiat sepanjang hari dan senaman berkala membolehkan anda melihat penurunan secara langsung lemak dalam badan anda.

Lebih menarik lagi, anda tidak perlu membeli produk mahal, hanya epal Washington Apples yang berkhasiat dari pasaraya yang berhampiran.

Kajian terbaru yang dibuat di Universiti California-Davis menyokong peranan epal dalam usaha menurunkan kandungan lemak dalam badan. Ini kerana, epal Washington Apples mengandungi banyak serat iaitu sekitar 4 hingga 5 gram dalam sebiji epal. Ia juga membantu mengurangkan rasa lapar dan bertindak sebagai pemangkin daya penyusutan lemak. Gula semula jadi dalam epal pula 'membantutkan' keinginan memakan makanan yang tinggi kandungan gula proses.

Dalam program yang disarankan ini, selain dari epal Washington Apples, ia turut membabitkan kandungan makanan berkarbohidrat, protein ringkas, buah-buahan, sayuran dan disertai sedikit kandungan lemak penting. Contoh kombinasi hidangan yang disarankan program ini pula seperti sarapan pagi; telur dadar berkeju dan secawan bubur, makan tengah hari; dada ayam salai dengan brokoli kukus dan setengah cawan beras perang, dan makan malam: salad salmon salai.

Oleh kerana epal menghimpunkan lebih banyak air di dalam perut, ia boleh membuatkan rasa kenyang kekal lebih lama. Untuk itu, Suruhanjaya Washington Apples menyarankan orang ramai yang ingin mengurangkan berat badan supaya memakan sebiji epal 30 minit sebelum menikmati apa-apa hidangan makanan bagi mengurangkan kelaparan.

Jika mengurangkan berat badan adalah antara azam tahun baru anda, penyelesaiannya semudah pengambilan 3 biji epal Washington Apples sehari. Tidak mustahil, dengan menuruti program ini dan menghindari diet `popular', penggantian makanan yang mahal dan kesengsaraan berlapar, anda mampu melihat perubahan pada penampilan anda!

Sumber: Columbia Marketing International (CMI) www.cmiapples.com

Washington Apple Commission



5 Komen:

Tanpa Nama berkata...

macam mana nak kurus kalau nafsu makan seakan-aka memangil kelaparan?

Tanpa Nama berkata...

kalo nafsu makan seakan2 mmanggil klaparan,belilah protein shake.gerenti selera makan kurg

Tanpa Nama berkata...

protein shake 2 mende?

Tanpa Nama berkata...

perkongsian ilmu yang baik T.kasih

Tanpa Nama berkata...

apple washington tu epal merah ker epal hijau? epal lain2 tak boleh ker

Catat Ulasan

 
Chatroom