Home » Wanita XXL kena bijak pilih fabrik

Wanita XXL kena bijak pilih fabrik

Oleh Rohaniza Idris

Badan saya agak berisi dan memakai saiz XL dan XXL. Saya bukan seorang yang gemar bergaya namun, mahu kelihatan kemas jika ke pejabat. Ketinggian saya sederhana dan lebih selesa berbaju kurung jika ke pejabat. Apakah baju kurung yang sesuai untuk orang berisi yang mempunyai ketinggian sederhana seperti saya.

Jawapan:

Sebenarnya, orang berisi atau gemuk masih boleh bergaya seperti mereka yang kurus atau mempunyai saiz sederhana. Namun, mereka yang gemuk perlu bijak memilih fabrik, corak fabrik dan warna sebelum bergaya.

Dakwaan orang gemuk kena memakai pakaian berwarna gelap hanya mitos semata-mata kerana mereka yang bersaiz L, XL dan XXL sebenarnya masih boleh memakai pakaian mengikuti cita rasa warna masing-masing.

Bukan satu kesalahan jika mereka bersaiz besar mahu bergaya dengan baju warna menyerlah. Malah kini, mereka yang gemuk boleh bergaya sama seperti orang kurus dan saiz sederhana.

Antara baju tradisional yang mudah untuk digayakan ke pejabat adalah baju kurung dan kebaya. Terkini pelbagai kurung moden muncul kembali dan mewarnai industri pakaian tradisional.

Kurung pesak dengan potongan baru juga kini semakin mendapat tempat penggemar fesyen dan mereka yang berisi memang sesuai memakainya kerana ia mempunyai bentuk.

Selain kurung pesak, kini muncul baju kurung Pahang yang mempunyai pinggan dan kain selisih dengan kolar mandarin atau cekak musang.

Baju berkenaan juga boleh didapati dalam dua jenis iaitu pesak gantung di pinggang atau tanpa pesak iaitu bercantum dengan kekek baju.

Bagi yang agak berisi, dicadangkan memakai baju daripada kain sifon, sutera, kain renda manakala sutera Thai, Sutera China Shantung dan songket perlu dielakkan.

Kain Sifon dan renda sesuai untuk mereka yang bertubuh besar kerana ia lembut dan senang dibentuk berbanding kain yang keras seperti sutera Thai.

Untuk ke pejabat disarankan gunakan baju kurung polos yang dihiasi dengan manik atau batu seperti kristal swaroski atau permata tiruan di leher dan kaki lengan baju dipadankan dengan kain batik, songket dan tenun.

Bunga dan corak baju untuk mereka yang berisi biasanya kecil dan sederhana atau menjalar namun kini kebanyakan corak kain berbunga besar. Jika corak bunga besar masih tidak menjadi masalah jika tumpuan pada baju dialihkan kepada hiasan manik atau batu di dada dan pinggul baju.

Lengan baju kurung kini juga pelbagai, terbaru berbentuk jerut di kaki lengan baju. Terkini selain jerut, di siku lengan juga diletakkan kedut.

Profil

Zann - Ruhaizan Anen
Berasal dari Muar, Johor.
Lulusan Institut Kemahiran Mara, Kluang sebelum meneruskan pengajian ke institut swasta di Kuala Lumpur


Pernah memenangi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri pada 1995 di Kuala Lumpur.


Mewakili Malaysia ke World Youth Skill Olympic di Leon, Perancis pada 1996 dan mendapat pingat perak Pertandingan Kemahiran Asia di Kuala Lumpur.


Membuka butik Zann D' Classic di Medan Mara sejak 1998 hingga kini


Menjadi panel hakim untuk pertandingan Johan Kemahiran Malaysia dan Myskill peringkat Kebangsaan kategori pakaian wanita.


Penasihat panel kemahiran untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia

Info

Masalah dijawab pereka fesyen yang terkenal dalam rekaan pakaian tradisional dan pernah memenangi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 1995, Zann dari Zann D Classic, Medan Mara, Kuala Lumpur. Sebarang pertanyaan boleh emel kepada Zanndclassic@yahoo.com.my



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom