Home » » Bersenam Cara Sayangi Diri

Bersenam Cara Sayangi Diri

RAMAI orang mengeluh apabila terpaksa berjalan jauh. Jika ke pusat beli-belah, kalau boleh mahu meletakkan kenderaan betul-betul di depan pintu masuk supaya tidak perlu mengeluarkan tenaga berjalan.

Malah, gaya hidup kini dengan pelbagai kemudahan moden yang memudahkan kehidupanserta kerjaya menyebabkan kita semakin kurang berjalan; apatah lagi meluangkan masa untuk bersenam.

Alasan tidak cukup masa sebenarnya tidak boleh diterima langsung kerana semua orang diberikan masa 24 jam sehari.

Jadi, kita perlu bijak menguruskan masa supaya boleh meluangkan waktu petang untuk bersenam.

Kajian ke atas rentak badan semula jadi mendapati, waktu terbaik untuk melakukan senaman ialah sekitar jam 4 hingga 6 petang kerana ketika ini paru-paru berfungsi pada paras optim um.

Malah, ketika ini juga otot menjadi lebih anjal dan membolehkan kita menggerakkan badan dengan baik berbanding pada pagi.

Hakikatnya, memang sukar untukmemulakan amalan bersenam, tetapi jika tidak dimulakan sekarang (terutama selepas berehat panjang dari aktiviti cergas pada Ramadan lalu), kita akan terus memanjakan badan dengan cara berbahaya.

Cara sebenar menyayangi badan kita ialah dengan bersenam.

Jika tidak dapat memikirkan jenis senaman sesuai untuk diri, mulakan aktiviti cergas ini dengan berjalan.

Berjalan dikenal pasti cara terbaik untuk membina dan meningkatkan kecergasan. Tidak ramai orang larat berjogging;

apatah lagi bagi mereka yang mempunyai masalah berat badan dan golongan berumur.

Penyakit kronik

Secara umumnya, berjalan baik untuk semua orang, walaupun individu yang menghidapi penyakit kronik, terutama pesakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Berjalan memberi kesan sama baik seperti berjogging.

Berjalan cepat sejauh sebatu boleh membakar kira-kira 100 kalori - jumlah inilah juga yang dibakar jika berlari pada jarak sama.

Berjalan adalah senaman sangat murah dan mudah. Tidak perlu peralatan mahal atau tempat khas. Malah, ia boleh dilakukan sendirian, berteman, bersama keluarga atau ditemani haiwan peliharaan, sama ada di pusat rekreasi atau sekadar di kawasan perumahan.

Mungkin anda tidak sedar, banyak berjalan boleh menguatkan otot dan membakar kalori seperti berlari, tetapi memberi kesan lebih lembut kepada badan.

Ini adalah senaman mudah.

Namun, ia mampu meningkatkan keyakinan, stamina, tenaga dan paling penting, berjalan boleh membantu anda mengawal berat badan, terutama bagi mereka yang mementingkan penampilan.

Malah, ia secara tidak langsung boleh merendahkan risiko penyakit koronari jantung, strok, kencing manis, tekanan darah tinggi, kanser usus, osteoporosis, arthritis, kegelisahan dan tekanan.

Selain itu, berjalan dapat menguatkan otot punggung, pinggul, paha, bahu, belakang badan dan abdomen. Namun, berjalan juga ada caranya supaya faedahnya dapat dirasai.

Caranya, berjalan cepat.

Mungkin anda tidak sangka, dengan berjalan cepat kira-kira 15 minit, anda sebenarnya berjalan sejauh hampir 1.6 kilometer!

Berjalanlah mengikut keupayaan diri sendiri. Anda tidak perlu berlumba untuk cepat sampai. Mulakan aktiviti senaman anda dengan berjalan di sekeliling rumah selama 15 hingga 30 minit.

Pastikan anda memakai sepasang kasut yang baik - bertumit rendah dengan tapak yang anjal. Elakkan berjalan di tengah panas terik. Jika cuaca panas, pakailah topi, kaca mata dengan penapis sinar ultra lembayung dan krim pelindung cahaya matahari.

Minum banyak air. Anda boleh minum sebelum, ketika atau selepas berjalan. Jangan tunggu hingga terlalu haus kerana anda perlu menggantikan air yang hilang daripada badan.

Makan sedikit sebelum bersenam dan pastikan ia dimulakan dengan senaman memanaskan badan serta regangan untuk mengelakkan kecederaan.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom