Home » » Kaedah Mengatasi Ketegangan Fikiran

Kaedah Mengatasi Ketegangan Fikiran

1. Mencari punca ketegangan
Apabila anda berada di dalam ketegangan adalah sukar untuk kita mencari puncanya. Ini adalah kerana tekanan yang kita rasai itu adalah terlalu berat. Bagi menyelesaikannya, anda perlulah mengupas satu persatu masalah itu dan cuba mencari puncanya. Mustahil masalah yang timbul tiada puncanya.

2. Menyelesaikan masalah dari bawah
Masalah yang kita anggap remeh jika dibiarkan akan menjadi beban kepada diri sendiri dan ia sepatutnya diatasi dengan segera sebelum masalah itu menjadi lebih parah. Anda perlulah mengubah prinsip diri sendiri, jangan memandang rendah setiap masalah kecil yang dihadapi.

3. Melakukan meditasi
Dengan melakukan meditasi atau tafakur anda akan dapat mengenali hakikat diri dan menginsafi perbuatan sendiri. Anda juga dapat menilai sikap, tutur kata, perbuatan dan juga tindakan anda serta membuat pertimbangan di mana harus diperbaiki dan mengenal pasti masalah yang menyebabkan hidup anda menjadi tegang.

3. Menulisnya di dalam diari
Apabila anda berasa marah, sedih, kecewa, geram atau sebagainya anda boleh mencurahkan segala isi hati pada diari anda. Tulislah segala apa yang anda rasai itu dan jangan menyimpan lagi perasaan sedih anda. Simpan diari di tempat yang selamat dan jangan sampai ada orang yang dapat membacanya kerana nanti anda yang akan merasa malu.

4. Bersukan dan beriadah
Dengan bersukan anda akan berasa sihat dan segar di samping dapat melapangkan fikiran setelah peluh dikeluarkan. Dengan bersukan juga anda akan dapat mengendurkan ketegangan otot-otot badan dan melancarkan peredaran darah di dalam badan.

5. Meluahkan kepada teman rapat

Dengan menceritakan segala masalah yang sedang anda hadapi kepada orang yang paling rapat dengan anda seperti kaum keluarga, sahabat handai, guru kaunseling dan sebagainya, anda dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Mungkin masalah tersebut berat pada pandangan anda tetapi tidak kepada mereka.

6. Menangis atau ketawa
Di waktu bersedih, air mata menjadi teman setia walaupun tanpa ucapan kata-kata tetapi dengan linangan air mata telah membuktikan seribu satu masalah. Tangisan dapat melegakan perasaan dan jiwa kita serta mengendurkan ketegangan emosi. Mengikut kajian, dengan ketawa pula dapat meningkatkan pernafasan dan kadar denyutan jantung yang mana proses ini dapat membantu membuang toksin di dalam badan serta melancarkan peredaran darah.

7. Berurut
Sekiranya sebelum ini anda tidak pernah berurut mungkin anda akan berasa sedikit kesakitan tetapi anda perlu mencubanya kerana ia dapat menghilangkan ketegangan. Berurut dapat melancarkan peredaran darah dan mengendurkan urat serta otot yang kejang. Selepas berurut badan anda akan terasa ringan. Pastikan anda mendapat tukang urut yang berkebolehan.

8. Bertawakkal kepada Allah
Setelah anda berusaha dan mencuba menghilangkan masalah serta puncanya, untuk kali yang terakhir anda bertawakkallah kepada Allah. Setiap yang berlaku adalah ujian daripada Allah bagi menguji kesabaran dan ketahanan iman hamba-Nya. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya juga kita kembali.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom