Home » » Masyarakat ketagih gula

Masyarakat ketagih gula

Pengambilan gula secara berlebihan memang tidak baik kepada kesihatan serta boleh memudaratkan tubuh badan sama ada secara jangka pendek mahupun panjang.

Namun, tidak ramai yang mengambil berat berhubung perkara ini malah mereka tidak bijak mengawal atau mengurangkan tahap penggunaannya dalam amalan pemakanan seharian.

Sejak dulu lagi, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum menunjukkan peratusan serta kadar penggunaan gula yang tinggi dan amat sinonim dalam proses penyediaan makanan dan minuman rutin setiap hari.

Tabiat buruk ini sangat mendatangkan bahaya kepada kesihatan dan jelas membelakangkan prinsip amalan hidup secara sihat. Realiti ini juga seolah-olah mewujudkan senario ketagihan gula yang ketara di kalangan rakyat negara ini.

Sebagai perbandingan, kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia pada 1999 adalah antara tertinggi di rantau Asia Tenggara iaitu purata 24 sudu teh sehari dalam makanan dan minuman berbanding purata 17 sudu teh sehari pada 1970. Ini menjadikan pengambilan gula bagi setiap orang dalam sebulan adalah sebanyak 3.6 kilogram ketika itu.

Hasil kajian pada 2008 pula mendapati rakyat Malaysia secara puratanya mengambil 25 sudu teh atau 125 gram gula sehari. Jumlah itu semakin meningkat dan ia bersamaan dengan 3.75 kilogram atau 750 sudu teh sebulan. Ini sangat membimbangkan manakala menerusi hasil kajian itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merumuskan kira-kira 95 peratus rakyat di negara ini dikategorikan sebagai penghidap masalah ketagihan gula dalam pemakanan seharian.

Sehubungan itu, ramai pakar pemakanan di negara ini menyifatkan tahap ketagihan rakyat Malaysia terhadap gula sebagai serius dan tindakan segera perlu untuk mengekangnya.

Lebih membimbangkan lagi polemik ini turut melanda golongan kanak-kanak malah menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pengambilan gula berlebihan menyebabkan kanak-kanak di negeri berkenaan mengalami masalah obesiti atau kegemukan selain masalah kerosakan gigi yang serius.

Di kalangan orang dewasa, pengambilan gula yang tinggi memburukkan lagi penyakit jantung, batu karang, kanser, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Masalah ketagihan gula ini juga dikatakan turut menjadi punca masalah penyakit diabetes yang dihidapi 3.6 juta orang di negara ini. Gula juga menjadi punca 62 peratus wanita serta 48 peratus lelaki di negara ini menghidap obesiti yang melampau ketika ini.

Untuk itu, gerakan Kempen Kesihatan dan Bahaya Gula yang giat dilaksanakan di seluruh negara wajar disokong segenap masyarakat di Malaysia agar hasrat untuk mengurangkan tahap ketagihan dan kebergantungan kepada gula yang serius dapat direalisasikan.

Pada masa sama, ia mampu mendidik masyarakat terutama generasi muda berhubung penggunaan dan pengambilan gula yang betul dalam kehidupan seharian.

Justeru, turut disarankan supaya rakyat Malaysia bijak mengawal serta mengurangkan jumlah pengambilan gula dalam pemakanan seharian selain mengamalkan konsep pemakanan yang sihat dan berkhasiat.

Ini juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan jumlah perbelanjaan seharian yang semakin meningkat dan secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko serangan penyakit berbahaya pada masa hadapan.

Oleh Mohamad Sofee Razak



1 Komen:

intan berkata...

ingin mengurangkan berat badan?
Mungkin ini boleh membantu anda..
http://intan-fiber.blogspot.com

Catat Ulasan

 
Chatroom