Home » » Simpan makanan tin di tempat kering

Simpan makanan tin di tempat kering

Makanan yang sudah diproses di dalam tin atau botol memang memudahkan. Ia sering menjadi pilihan terutama mereka yang tidak gemar memasak atau kesuntukan waktu untuk menyediakan pelbagai hidangan.

Apatah lagi, makanan di dalam tin atau botol itu turut menyediakan khasiat yang mungkin tidak jauh berbeza daripada makanan yang dimasak daripada bahan mentah.

Makanan bertin atau botol yang dikeluarkan secara komersial biasanya mempunyai jangka hayat yang agak lama. Apapun, tempoh penyimpanan makanan berkenaan yang selamat dimakan banyak bergantung kepada jenis makanan terbabit.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat, makanan mengandungi asid yang tinggi seperti tomato, buah-buahan dan jus buah-buahan boleh disimpan di dalam tin sehingga 18 bulan.

Makanan mengandungi asid yang rendah seperti sayur-sayuran dan daging pula boleh disimpan antara dua hingga lima tahun.

Sebelum membeli makanan bertin, ada beberapa perkara yang harus diberi perhatian. Selepas memilih, periksa tin atau botol berkenaan terlebih dulu.

Usah membeli makanan terbabit yang menunjukkan tin atau botol dalam keadaan tidak sewajarnya seperti lekuk, retak atau ada tanda kebocoran.

Di rumah, simpan makanan berkenaan di tempat yang nyaman dan kering. Elak daripada menyimpan makanan bertin di kabinet yang terletak di atas ketuhar, di bawah sinki atau di tempat yang mempunyai persekitaran lembap.

Paling penting, periksa tarikh luput makanan bertin berkenaan untuk memastikan kesegarannya.

Elok jika pengguna membersihkan bahagian atas penutup terbabit sebelum ia dibuka.

Jika bekas tin atau botol berkenaan mengeluarkan pancutan cecair atau buih ketika ia dibuka, lebih elok jika ia tidak dimakan.

Makanan itu juga lebih baik dibuang jika ia sudah mengeluarkan bau kurang menyenangkan.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom