Ajaran Islam menitikberatkan persoalan makanan halal lagi bersih. Halal sumber dan bersih serta zat sesuatu makanan itu memberi kesan mendalam kepada umat Islam terhadap tubuh badan, jiwa, emosi dan akal.
Antara kesan yang paling ketara ialah kejernihan akal fikiran yang mampu mengungkap dan menyelesaikan permasalahan umat serta dunia.
Otak mempunyai kekuatan menakjubkan. Menurut ahli neurologi, kita menggunakan hanya satu peratus daripada keseluruhan keupayaan otak sebenar. Malah, penyelidikan mereka mendapati kita menggunakan kurang daripada satu peratus kemampuan otak sebenar.
Hasilnya, jiwa menjadi lemah dan pesimis, akal menjadi lemah dan kuasa fikiran menurun serta gangguan emosi. Walau bagaimanapun keadaan ini berbeza kepada bangsa Yahudi. Mereka memiliki tahap kepintaran melebihi umat Islam.
Sejak dulu bangsa Yahudi mendepani dan menguasai pelbagai bidang seperti kejuruteraan, sains, seni dan yang paling ketara bidang perniagaan. Hampir 70 peratus perniagaan di dunia dikuasai mereka daripada kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata dan perhotelan.
Persoalan besar timbul di sini ialah bagaimanakah bangsa Yahudi boleh mencapai tahap kepintaran sebegitu? Menurut kajian sarjana Barat, bangsa Yahudi sudah mendidik anak mereka sejak dari dalam perut sehingga ke peringkat universiti.
Apa yang menarik ialah kesungguhan mereka menjaga pemakanan ke arah meningkatkan daya fikir yang tajam. Walau bagaimanapun, Islam sudah lebih dulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.
Allah menganugerahkan kita pelbagai sumber makanan berkhasiat dan berzat. Ada makanan memberi kesan cepat terhadap kecergasan otak dan ada makanan yang lambat atau tidak memberi sebarang kesan sedikit pun.
Tugas kita ialah memilih makanan yang terbaik dan memberi kesan terpantas terhadap minda. Makanan terbaik ialah makanan yang halal lagi bersih seimbang, berzat dan berjadual.
Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman. Makanlah daripada rezeki yang baik yang sudah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu beribadat kepada-Nya." - (Surah al-Baqarah, ayat 172)
Menerusi ayat ini Allah memerintahkan kita memakan makanan yang baik. Menurut Ibnu Kathir dalam kitab Tafsir al-Qur'an al-A'zim, makanan baik ialah sesuatu yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal.
Pakar pemakanan sudah mengenal pasti bahawa bagi membantu akal sihat, kita hendaklah memakan makanan mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral, dan vitamin seperti A, B, C, D, E dan K.
Makan dan minuman adalah antara ibadah penting dalam Islam kerana ia dapat membina akhlak terpuji dan membangunkan akal insan salih. Dalam hal ini, Allah memberi panduan pemakanan kepada umat Islam berlandaskan konsep 'memberi kemudahan, menjaga nyawa, jaminan kesihatan tubuh badan dan akal'.
Pengambilan makanan yang tidak diberkati dan tidak berzat mendatangkan kesan buruk pada akal serta mudah terbabit dalam gejala sosial seperti amalan rasuah, pecah amanah, perjudian, penipuan, pengkhianatan serta aktiviti negatif lain.
Pemakanan daripada sumber rezeki yang halal, baik dan berzat adalah lebih disukai serta dirahmati Allah. Ini kerana hati kita menjadi bersih dan akal menjadi bijak serta memudahkan pekerjaan. Sebagai bukti kesyukuran kepada Allah terhadap nikmat makanan, maka kita wajib memilih makanan yang disarankan dalam Islam.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Jika ia (makan) memadai dengan suapan kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Jika dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya." (Hadis riwayat Tirmizi, Ahmad, Nasai'e, dan Ibn Majah)
Jika umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab makan yang diajarkan Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan itu adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga air, dan sepertiga lagi untuk bernafas.
Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab ini, akan menyukarkan bernafas, lemah daya fikir dan mendatangkan mudarat pada diri. Menurut pandangan pakar perubatan Arab, Harith bin Kalwah, berpantang dan berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, banyak makan itu ibu segala penyakit.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang mukmin makan dengan satu perut manakala orang kafir dengan tujuh perut." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang dinyatakan Rasulullah SAW itu adalah menuntut kita bersederhana serta menjauhkan diri daripada penyakit zahir dan batin seperti sifat tamak dan mementingkan diri.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." - (Surah al-A'raf, ayat 31)
Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan