Home » » Sumbangan ahli perubatan Islam

Sumbangan ahli perubatan Islam

As‘ad b. Ilyas b. al-Matran dianggap ahli perubatan terpenting dinasti Ayyubi. Dilahirkan di Damsyik Ibn Matran berasal dari rangkaian ahli perubatan yang mahir dalam ilmu perubatan Yunani di samping ilmu-ilmu perubatan Islam. Dari usia awal beliau menunjukkan minat dalam ilmu-ilmu perubatan sebahagiannya disebabkan oleh bapanya seorang ahli perubatan terkenal yang telah mendidik secara senyap anak-anaknya dengan ilmu perubatan.

Para sejarawan hanya menukilkan sedikit sahaja tentang kehidupan Ibn al-Matran; hanya sedikit yang diketahui tentang kehidupan awal beliau, dan kita dimaklumkan bahawa beliau pernah diasuh oleh ahli perubatan tersohor Ibn al-Tilmidh. Kerjaya beliau mencapai kemuncaknya semasa pemerintahan Sultan Salah al-Din, apabila beliau berkhidmat sebagai tabib diraja. Hubungannya dengan Sultan tidak terhad sebagai doktor peribadi semata-mata bahkan juga sebagai teman rapat dan orang kepercayaan Sultan. Ibn al-Matran adalah pengumpul buku dan catatan para bijak pandai dan ahli perubatan, dan dikatakan telah membina sebuah perpustakaan yang agak besar mengandungi berbagai jenis buku. Bimaristan al-Nuri terhutang budi kepada Ibn al-Matran di atas sumbangan dan tunjuk ajarnya; tidak jelas sama ada dia pernah berkhidmat di situ sebagai tabib atau tidak, bagaimanapun bolehlah dianggap bahawa dia telah memberikan banyak tunjuk ajar kepada ramai orang, antaranya Ibn al-Dakhwar.

Dua tulisannya yang menggambarkan kepentingan beliau ialah: (a) Bustan al-Atibba’ wa Rawdat al-Alba’, yang mengandungi perbahasan Ibn al-Matran dengan sahabat sahabat dan guru-guru beliau. Ia merupakan suatu bacaan yang menarik yang mengandungi pandangan-pandangan Ibn Matran terhadap pencapaian- pencapaian dan masalah-masalah pada zaman itu. Turut dimasukkan ialah perbincangan tentang asal-usul perubatan menurut pandangannya, yang dimasukkan sebagai mukadimah kepada karya Ibn Abi Usaybi‘ah, Uyun al-Anba’; (b) al-Maqalah al-Najmiyyah, suatu risalah khusus berkenaan kebersihan, penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit. Buku-buku sedemikian amat popular di dunia Arab sebahagiannya disebabkan oleh kebimbangan terhadap penyakit.

Seorang lagi tokoh dinasti Ayyubi ialah Abu al-Makarim Hibatallah Nathana b. Ifra‘im b. Jumay’ al-Isra‘ili. Beliau dilahirkan di Fustat, bahagian lama Kaherah, dan belajar ilmu perubatan di bawah pengawasan Abu Nasr al-Ayn al-Zarbi. Tidak lama selepas itu, pengetahuannya tentang berbagai jenis dadah dan rawatan penyakit, di samping kemahirannya dalam bahasa Arab mula menonjolkan dirinya. Menurut Ibn Abi Usaybi‘ah sebab yang memungkinkan Ibn Jumay’ mencapai kejayaan besar dalam bidang perubatan dan penyembuhan ialah pengajiannya di bawah Ibn al-Ayn al-Zarbi. Jumay’ telah menghasilkan karya-karya penting dalam bidang perubatan, antaranya:

(a) Kitab al-Irshad li Masalih al-Anfus wa ‘l-Ajsad: dalam mukadimahnya dia memuji al-Qadi al-Fadil Abd al-Rahman, wazir kepada Sultan Salah al-Din, dan menujukan kitab itu kepadanya. Tibb al-Adyan wa Tibb al-Abdan adalah rangka utama karya ini, dan ia dibahagikan kepada empat risalah: pertama, pengetahuan umum tentang perubatan; kedua, berkenaan material medical; ketiga, berkenaan terapi dan penjagaan kesihatan; keempat, berkenaan dadah dan campurannya.

(b) Al-Maqalah al-Salihiyyah: mengandungi pandangannya berkenaan kemerosotan kerjaya perubatan dan cita-citanya bagi memperbaiki keadaan itu.

(c) Al-Tasrih: suatu syarah dan tafsiran terhadap Qanun fi al-Tibb Ibn Sina. Ibn jumay’ cuba memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan kehidupan dan amalan perubatan yang diterimapakai pada zaman itu.

Musa ben Maimun al-Qurtubi al-Isra‘ili hidup pada zaman yang kucar-kacir semasa pemerintahan Khalifah al-Ma‘mun. Ben Maimun dilahirkan di Cordova, pada tahun 1135. Semasa berumur 12 tahun Khalifah al- Ma‘mun telah mengeluarkan suatu perisytiharan mengharamkan semua agama selain Islam. Dengan terpaksa Ben Maimun menerima Islam hanya pada nama, dan menyembunyikan keadaan sebenarnya selama 12 tahun sebelum berpindah ke Kaherah bagi menyelamatkan dirinya dari kezaliman al-Ma‘mun. Beliau seterusnya berpindah ke Fez bersama kaum keluarganya dan tinggal di sana selama lima tahun, dari 1160 hingga 1165. Pada penghujung 1165 beliau mencuba nasib sebagai pedagang; beliau menghantar saudaranya ke India bagi mencari batu-batu berharga dan bahan galian untuk diperdagangkan di Mesir. Malangnya kapal yang membawa saudaranya itu karam, membunuh semua anak kapal.

Kuasa

Pada 1171, kerajaan Fatimiyyah menyerahkan kuasa kepada Bani Ayyub. Perubahan ini mengubah nasib Ben Maimun yang dilantik tabib diraja kepada Salah al-Din, musuh Richard ‘the Lion Heart’ (Berhati Singa). Kemasyhuran Ben Maimun sebagai pengarang, filsuf, dan ahli perubatan telah menarik perhatian al-Qadi al-Fadil al-Wazir Abd al-Rahman yang mencadangkannya dilantik sebagai tabib diraja.

Sumbangannya dalam bidang perubatan banyak ditulis pada penghujung usianya, dalam bahasa Arab. Ben Maimun memperolehi sumbernya dari penulis Yunani dan ahli perubatan Muslim seperti Ibn Sina, Ibn Rushd, Muhammad Zakariyya al-Razi dan Ibn Zuhr. Antara karyanya ialah:

(a) Al-Risalah al-Afdaliyyah: berkenaan kesihatan umum dan kebersihan. Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian: pertama, diet untuk kesihatan; kedua, diet untuk rawatan; ketiga, diet untuk golongan raja; keempat, nasihat umum berkenaan kebersihan.

(b) Maqalah al-Sumum: berkenaan racun dan dadah yang merbahaya kepada kesihatan dan penawarnya.

(c) Suatu huraian terhadap enam karya Galen yang membahaskan lebih dari 1000 kata-kata yang dinisbahkan kepada Galen

(d) Maqalat al-Hayawan: berkenaan kehidupan haiwan menurut Aristotle.

Tokoh berikutnya ialah al-Hakim Muwaffaq al-Din Ya‘qub al-Maqdisi ibn al-Siqlab. Ibn Abi Usaybi‘ah mengenali Ibn Siqlab secara peribadi dan telah memberikan gambaran yang agak menyeluruh berkenaan seorang yang dianggap paling handal pada zamannya dalam bidang perubatan.

Ibn Siqlab dilahirkan pada 1161 di Baitul Maqdis. Beliau mahir dalam bahasa Yunani dan tulisan-tulisannya; dilatih dalam bidang perubatan oleh Shaykh Abu Mansur al-Maqdisi dan Theodore of Antioch. Selepas kejatuhan Baitul Maqdis di tangan tentera salib, Ibn Siqlab telah diminta berkhidmat di istana Salah al-Din. Kemudian beliau berkhidmat di bimaristan Baitul Maqdis sehingga pemerintahan al-Mu‘adham yang segera melantiknya sebagai tabib agung. Baginda membawanya bersama dengan rombongan diraja ke mana sahaja.

Ibn Abi Usaybi‘ah menganggap Ibn Siqlab antara tokoh besar dalam bidang perubatan, seorang yang amat menguasai perubatan Yunani, yang sangat berhati-hati dalam perkara yang halus-halus, dan pemegang obor ilmu perubatan.

Hanya sedikit maklumat berkenaan kehidupan peribadi ahli perubatan, hakim, dan tokoh berkeperibadian tinggi, Shihab al-Din al-Tifashi. Tidak seperti ibn Siqlab, terdapat beberapa buku yang kita ketahui dikarang oleh al-Tifashi.

Selama bertahun-tahun beliau dikaitkan dengan golongan diraja Bani Ayyub di Sham dan Mesir, di mana beliau memberikan perhatian khusus terhadap sejarah sosio-politik bangsa Arab. Enam buku yang dikarang oleh beliau membahaskan berkenaan pancaindera, keseronokan, geriatrik, perubatan kampung, dan bahan galian.

Azhar al-Afkar fi Jawahir al-Ahjar al-Mulukiyyah adalah karya beliau yang paling terkenal yang disiapkan pada 1248. Buku ini berkenaan bahan galian dan batu-batu berharga ditulis untuk golongan terpilih, khususnya golongan kaya dan berpengaruh. Buku ini mengandungi 25 bab termasuk penjelasan tentang batu-batu berharga, separuh berharga dan bahan-bahan galian, sifat-sifat jasmani mereka, kebaikan-kebaikan, asal-usul dan pembentukan, khasiat-khasiat perubatan dan nilai pasaran mereka. Al-Tifashi merujuk kepada karya-karya Aristotle, al-Kindi dan al-Biruni.

Abd al-Latif al-Baghdadi adalah nama yang dikenali apabila berbicara berkenaan pergerakan jasad angkasa. Walaubagaimanapun beliau lebih dikenali dalam bidang perubatan. Beliau dilahirkan di Fallujah, Baghdad pada 1162. Bapa dan bapa saudaranya adalah ahli fiqah yang dihormati, dan tidaklah mengejutkan sekiranya Abd al-Latif menjadi seorang yang terdidik dan terpelajar pada usia yang amat muda. Di Baghdad beliau diasuh oleh tidak kurang dari dua belas guru, antaranya al-Mutanabbi, al-Anbawi, dan al-Simawi. Apabila beliau dewasa beliau diterima masuk ke madrasah Nizamiyyah, tempat berkumpulnya golongan terpelajar, dan telah diberikan kitab Adab al-Katib (karangan Ibn Qutaybah) untuk dibaca.

Pada usia 28 beliau memutuskan untuk meninggalkan Baghdad setelah menamatkan pengajiannya di situ. Tempat persinggahan pertamanya ialah Mawsil di mana dia berkhidmat untuk al-Kamil b. Yunus. Di sini dia mempelajari perundangan, ilmu hisab dan kimia sambil mengajar di madrasah berkenaan. Beliau tidak lama di sana, hanya setahun, tempat tujuan berikutnya ialah kota Damsyik.

Pada masa itu al-Baghdadi sudah mencapai tahap kemasyhuran yang meluas. Peluang pekerjaan terbuka luas kepadanya, dan setiap orang mahu mendekatinya. Al-Baghdadi lebih berminat menemui Sultan Salah al-Din setelah mendengar kejayaannya menakluki Baitul Maqdis. Oleh itu beliau ke Baitul Maqdis.

Malangnya Sultan Salah al-Din tidak berminat, oleh itu Abd al-Latif dibawa berjumpa al-Fadil, wazir. Al-Fadil merasa amat bangga dan berbesar hati serta menawarkan untuk menanggung segala perbelanjaan al-Fadil semasa di sana. Abd al-Latif menolak dengan hormat sambil menyuarakan hasratnya untuk ke Kaherah.

Di Kaherah Abd al-Latif telah dikurniakan “kunci kota”; setiap perbelanjaannya dibayar supaya dia dapat meneruskan tugas-tugas ilmiahnya tanpa gangguan. Di sini beliau bertemu tiga orang tokoh: Yasin al-Simawi; Musa ben Maimun; dan Abu al-Qasim al-Shari‘i.

Sebaik mendengar berita kepulangan Salah al-Din ke Baitul Maqdis al-Baghdadi merancang untuk kembali ke sana. Dia telah dilayan dengan penuh hormat oleh Sultan Salah al-Din sehinggakan al-Baghdadi amat mengasihi rajanya itu. Mereka menghabiskan masa dalam perbincangan sehingga lewat malam.

Pada 1192 Salah al-Din pergi menunaikan haji ke Mekah. Sekembalinya beliau jatuh sakit dan meninggal dunia. Sekali lagi perbalahan timbul, kali ini antara dua anakanda Salah al-Din Ali al-Afdal yang menggantikan bapanya di Damsyik, dan Abd al-Aziz yang menguasai Kaherah. Suatu perjanjian damai diusahakan tetapi gagal dan Abdul Aziz telah membawa Abd al-Latif kembali ke Kaherah dan menugaskannya mengajar di Jami’ al-Azhar.

Perlantikan itu adalah titik penting dalam kehidupan Abd al-latif. Pada masa itu berlaku kebuluran besar di Mesir, yang berlarutan selama lapan tahun. Pada masa inilah Abd al-Latif menulis salah satu risalah terpentingnya Al-Ifadah wa al-I’tibar, yang membincangkan berkenaan haiwan dan tumbuhan; bangunan purba; kebuluran, punca-punca dan cara mengelakkannya; juga berkenaan wabak yang datang bersama kebuluran. Pada 1229/30 beliau kembali ke Baghdad di mana beliau menghadiahkan Khalifah al-Nasir buku-bukunya untuk disimpan di perpustakaan. Setahun kemudian beliau meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji.

Abd al-Latif menulis dua risalah berkenaan pancaindera di mana beliau cuba mengenalpasti titik deria, fungsi dan sumbangan mereka kepada badan. Ahli perubatan Islam secara umumnya amat mengambil berat berkenaan perkara ini dan melakukan lebih banyak penyiasatan tentang penderitaan yang dialami berbanding orang Yunani dan Cina.

Oleh:DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

PENULIS ialah Ketua Pengarah Institut kefahaman islam malaysia (IKIM)



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom