“Walaupun saya beli makanan di luar, saya tetap makan di rumah! Saya jarang makan di luar,” kata seorang teman apabila membincangkan isu pemakanan sihat.
Ada yang mendakwa mereka mengamalkan pemakanan sihat dan sentiasa makan di rumah walaupun makanan itu disediakan di dapur restoran.
Rupa-rupanya masih ada yang tidak faham mengenai istilah makan di rumah. Ia sebenarnya merujuk kepada makanan yang disediakan di rumah dan bukan membeli makanan dari kedai atau restoran tetapi makan di rumah.
Salah faham ini, terutama di kalangan wanita yang menjadi peneraju rumah tangga, khususnya dalam bab makanan dan kesihatan, menyukarkan usaha memupuk tabiat pemakanan sihat di kalangan ahli keluarga, terutama anak.
Apabila kita memasak makanan, kita boleh mengawal penggunaan bahan seperti minyak, garam, gula, sos dan serbuk perasa.
Ini penting, khususnya jika ada ahli keluarga menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung atau tekanan darah tinggi yang tinggal bersama kita, kata Perunding Diet, Indra Balaratnam.
Pakar percaya keluarga yang memperuntukkan masa untuk makan bersama mempunyai hubungan lebih erat. Makan bersama, tidak kira tengah hari atau malam, bukan saja memberi ruang untuk mengetahui perkembangan anak dan bertanyakan masalah mereka. Tanpa anda sedari, kaedah ini memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental anak.
Kesihatan fizikal kerana makanan mereka disediakan di rumah dan mereka menikmati hidangan terbaik setiap kali makan. Anak berasa lebih tenang dan yakin kerana tahu ibu bapa mengambil berat terhadap kehidupan mereka.
Berdasarkan kajian Universiti Minnesota, makan bersama seisi keluarga ada kaitan rapat dengan peningkatan khasiat makanan dan penurunan risiko kawalan berat badan yang tidak sihat, termasuk penggunaan bahan yang tidak disarankan. Penemuan ini diperkukuhkan dengan kajian Universiti Harvard yang mengatakan makan bersama setiap hari boleh merangsang tabiat pemakanan sihat di kalangan anak.
Anak yang makan bersama ibu bapa secara umumnya mengambil lebih banyak khasiat penting seperti kalsium, serat, zat besi, vitamin dan kurang mengambil makanan kaya lemak berbanding mereka yang kerap makan sendirian. Mereka juga terdorong untuk makan lebih banyak buah-buahan apabila ia dijadikan hidangan pencuci mulut.
Apabila masak di rumah, kita boleh kawal kuantiti dan kualiti makanan. Anda boleh ajak anak membantu di dapur dan kanak-kanak biasanya lebih teruja untuk makan makanan yang mereka sediakan bersama ibu atau bapa.
Malah, ketika ini anda boleh memberitahu kepentingan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk kesihatan.
Kanak-kanak meniru tindakan orang tua mereka. Jika anda menunjukkan tabiat pemakanan sihat, lambat laun mereka juga terikut gaya pemakanan anda.
Malah, anda boleh melihat kecenderungan mereka terhadap satu-satu jenis makanan. Melalui kaedah ini anda boleh mempelbagaikan kaedah masakan untuk merangsang anak makan.
Sediakan buah-buahan atau yogurt sebagai sajian penutup. Ia juga elok dijadikan snek di antara waktu makan. Jika anak anda suka aiskrim, campur hirisan kecil buah atau jadikan kisar buah bersama aiskrim untuk menjadi hidangan lebih enak dan menarik.
Tidak kira berapa ringkas pun hidangan makan tengah hari atau malam anda, pastikan dia dinikmati seisi keluarga bersama-sama.
Tutup televisyen supaya perhatian mereka tidak terganggu dan mereka tidak tergesa-gesa untuk segera menghabiskan makanan.
Jika anak anda ada masalah berat badan, ketika makan bersama inilah anda boleh kawal kuantiti makanan mereka dan pastikan anak memakan sayur-sayuran serta buah-buahan.
Beritahu mereka untuk makan perlahan-lahan dan kunyah makanan hingga hancur sebelum ditelan kerana isyarat ‘kenyang’ mengambil masa kira-kira 15 hingga 20 minit untuk sampai ke otak.
Makan terlalu cepat membuatkan anak anda makan lebih banyak daripada diperlukan. Ia boleh memburukkan keadaan kerana berat badan mereka terus bertambah, apatah lagi jika juga kurang aktif dan lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah.
Selain itu usah sediakan minuman manis ketika makan kerana kita tidak memerlukan kalori kosong daripada gula.
Pakar Bedah Jantung Pusat Pakar Damansara, Dr Syed Mohd Adeeb Syed Jalaluddin, berkata masalah obesiti di kalangan penduduk Malaysia (dewasa dan kanak-kanak) semakin membimbangkan dengan peningkatan jumlah pesakit yang obes, mengalami tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang — semuanya ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup.
Yang menyedihkan ialah, makin ramai kanak-kanak di Malaysia membesar di depan televisyen. Ia tidak berlaku kepada kanak-kanak di bandar saja kerana ramai juga di luar bandar didapati tidak aktif, lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan mengalami masalah kegemukan.
“Masalah berat badan dan penyakit gaya hidup boleh dikurangkan jika kesedaran dimulakan sejak awal iaitu di sekolah. Ia boleh mengatasi banyak masalah kesihatan kerana kanak-kanak obes akan menjadi orang dewasa obes.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan