Home » » Gempal bukan penghalang

Gempal bukan penghalang

Penglibatan Bella Abdul Rahim di pentas peragaan sejak 15 tahun lalu terbukti memberi dimensi lain dalam dunia yang rata-ratanya dimonopoli oleh gadis berpinggang ramping. Dia juga acapkali muncul dalam beberapa iklan komersial.

"Tiada apa yang hendak dimalukan. Saya bangga dengan apa yang saya ada. Malah, saya anggap bertubuh gempal ini adalah satu anugerah dan saya akan gunakannya dengan cara paling baik," ujarnya.

Bella menganggap wanita gempal masih mempunyai tarikan tersendiri.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, selebriti seperti Queen Latifah dan Oprah Winfrey yang mempunyai masalah berat badan namun terus dipuja oleh peminat mereka.

Pernah mencapai berat badan sehingga 120 kilogram (kg) pada tahun 2006, nyata pemikiran positif berjaya menurunkan kembali berat badannya itu.

"Saya ambil masa selama dua tahun untuk mendapatkan berat badan sekarang iaitu sekitar 70 kg. Saya pernah cuba berdiet secara 'keras' namun akhirnya, saya akan makan dengan banyak," ujarnya dalam ketawa.

Tidak mahu lagi tersilap langkah, Bella kini perlahan-lahan mengurangkan jumlah pengambilan makanan malah mengambil berat terhadap cara makanan itu disediakan.

Tambah Bella, senaman mudah seperti berjalan secara pantas serta menari di dalam bilik menjadi rutinnya dalam usaha mengurangkan berat badan.

"Berjalan bersama-sama rakan memang menyeronokkan. Dalam masa yang sama, gabungan keseronokan, senaman serta motivasi akan menjadikan segalanya mudah," jelasnya.

Dalam pada itu, Bella memberitahu, tiada masalah sekiranya seseorang itu bertubuh gempal asalkan menjaga makanan dan bersenam.

"Biarpun mengalami masalah seperti sakit pergelangan kaki, tulang belakang dan kadangkala asma, semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk bersenam dan melakukan aktiviti lasak," ujar anak jati Ipoh, Perak ini.

Justeru wanita berumur 34 tahun ini mengambil beberapa suplemen tambahan termasuk minum susu bagi menguat dan menambahkan kalsium untuk tulangnya.

Bagi pelakon yang pernah melakonkan watak sebagai mak cik yang menyukai kerabu mangga dalam The Chicken Rice Shop dan pelbagai lagi iklan di Astro, walaupun sibuk dengan kerjaya, beliau akan memastikan ada unsur tenusu dalam dietnya.

"Terus-terang, pada awalnya saya tidak menggemari susu namun memikirkan tubuh saya amat memerlukannya, saya mengambil pelbagai produk tenusu termasuk Anlene," katanya.

Tidak ketinggalan, pemeriksaan densiti tulang juga dilakukan olehnya baru-baru ini setelah mengetahui program tersebut dijalankan oleh Anlene.

'Ini pertama kali saya melakukannya dan hasilnya, densiti tulang saya berada dalam lingkungan 2.4 peratus dan saya rasa, ia agak bagus bagi seseorang yang baru memulakan pengambilan susu secara aktif," katanya.

Menurut Pakar Pemakanan di Institut Jantung Negara, Mary Easaw-John, penurunan berat badan harus dilakukan dengan perlahan-lahan agar keseimbangan sistem badan terpelihara.

Tegasnya, obesiti bukan suatu masalah yang kekal malah ia dapat diatasi melalui dua langkah utama yakni dengan pengawalan pengambilan makanan melalui suatu rejim diet yang seimbang dan juga melakukan senaman.

Menurut Mary, pemahaman mengenai keperluan kalori amat penting bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.

"Malahan, masalah sakit pada sendi terutama bahagian kaki adalah perkara biasa bagi mereka yang berbadan besar. Perkara ini berlaku kerana setiap penambahan kilogram berat badan akan memberi tekanan kepada bahagian kaki," katanya.

Pengumpulan lemak ini yang lazimnya akan memberi kesan kepada sistem kardiovaskular, turut memberi impak terhadap sendi kaki yang akhirnya membuatkan pesakit kesakitan bila berjalan.

Justeru, pengambilan multi-vitamin akan membantu termasuk minum susu. Malah pengurangan jumlah kalori dalam badan akan membantu mengurangkan masalah ini.

Pakar pemakanan ini menjelaskan kemodenan yang mempengaruhi gaya hidup secara asasnya memberi impak yang besar terhadap masalah obesiti.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati agar individu bertubuh besar supaya menjalani kehidupan yang sihat.

Oleh SHANIKA ABDULLATIB



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom