Home » » Coklat untuk kesihatan

Coklat untuk kesihatan

Tidak ramai mahu menjadikan coklat antara menu penting makanan harian kerana bimbang pengambilannya boleh menyebabkan kegemukan terutama di kalangan wanita yang mementingkan kecantikan. Walaupun, kajian saintifik membuktikan coklat mempunyai khasiat tersendiri, ia belum mampu mengikis tanggapan yang sekian lama menghantui pemikiran individu. Malah, coklat tetap dikaitkan punca obesiti.

Hakikatnya, pengambilan coklat khususnya coklat hitam (dark chocolate) amat penting untuk kesihatan. Ini kerana, coklat hitam mengandungi antioksidan lapan kali lebih tinggi berbanding buah strawberi. Kajian yang dilakukan juga mendedahkan kandungan flavonoid, iaitu bahan antioksidan dalam koko, baik untuk kesihatan jantung kerana ia boleh melancarkan aliran darah, mengurangkan risiko pembentukan darah beku dan memperbaiki tahap kolesterol, selain melindungi kerosakan dan keradangan sel.

Penyelidik juga mendapati coklat mampu membantu merendahkan tekanan darah. Menerusi kajian dilakukan ke atas pesakit tekanan darah tinggi yang makan kira-kira 100 gram coklat sehari selama dua minggu menunjukkan penurunan tekanan darah yang ketara, malah kadar kolesterol buruk juga semakin berkurangan, sekali gus membuktikan makanan manis itu ada manfaatnya jika diambil secara sederhana.

Ahli sukan, Zawen Anuar berkata, khasiat yang terkandung dalam coklat hitam berbeza dengan coklat putih kerana ia tiada kandungan koko atau flavonoid, tetapi masyarakat sekarang lebih gemar memakannya berbanding coklat hitam.

“Sebenarnya, memakan coklat hitam boleh membantu mengubah mood seseorang yang tertekan menjadi gembira kerana pengambilannya akan meningkatkan hormon yang merangsang perasaan ceria.

“Jadi, untuk memulakan sesuatu seperti ingin melakukan senaman, seeloknya makan coklat gelap terlebih dulu untuk menimbulkan mood yang baik tetapi elakkan mengambil coklat putih yang mengandungi banyak susu kerana susu menghalang penyerapan anti oksidan,” katanya ketika ditemui di KLCC, baru-baru ini.

Mengikut sukatan terbaik, coklat hitam sepatutnya mengandungi 70 peratus koko dan 30 peratus susu tetapi rasanya yang sedikit pahit mungkin menyebabkan coklat itu tidak digemari orang ramai. Berikutan itu, Cadbury bakal mengeluarkan coklat hitam yang mengandungi 45 peratus koko dinamakan Bournville Fine Dark Chocolate yang akan dipasarkan bermula Julai ini.

Zawen berkata, keistimewaan coklat hitam juga mampu menjadikan kulit wajah awet muda kerana mengandungi mineral dan vitamin A,C dan E, serta kemampuannya meningkatkan peredaran darah sehingga ke otak, sekali gus dapat merangsang ingatan menjadi lebih baik.

Kehadiran radikal bebas boleh mengancam kesihatan dan menjadi penyebab utama kepada pelbagai masalah kronik. Malah, kehadiran radikal bebas juga sering menjadi kebimbangan kerana ia dikatakan boleh mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko penyakit seperti jantung, strok, kencing manis, artritis dan kanser.

“Jika memakan coklat hitam, ia mampu memerangkap radikal bebas ini kerana ia mengandungi antioksidan iaitu bahan yang dikenal pasti dapat menghapus atau melemahkan radikal bebas ini,” katanya

Zawen berkata, diakui coklat mengandungi lemak tetapi lemak ini sihat dan tidak menggemukkan.

“Paling penting, dalam setiap perkara, kita perlu sederhana dan pengambilan coklat sebagai makanan harian juga perlu dalam kuantiti yang tidak berlebihan.

“Ia boleh dijadikan makanan sampingan tanpa mengetepikan makanan asas seperti sarapan dan makan tengahari untuk mendapatkan tenaga. Seeloknya, ajar anak-anak memakan coklat hitam ini untuk kesihatan mereka tetapi jumlahnya perlu terkawal,” katanya.

INFO: Kandungan Coklat

# Polyphenols - Antara kandungan utama dalam coklat yang berfungsi mencegah tengik.

- Menjadi penangkis kepada beberapa penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, menurunkan tekanan darah dan strok. Jangan risau, jika sekadar mengambil dalam kuantiti diperlukan.

# Theobromine - Sebaik menjamah coklat, individu akan berasa lebih bertenaga. Mata mengantuk secara automatik akan terbuka dek penangan bahan theobromine.

- Bagi individu yang diserang batuk, disyorkan mengambil coklat kerana dikatakan lebih mujarab daripada ubat batuk. Seperti teh yang digunakan untuk mencuci muka, kini coklat turut dijadikan pupur bagi menyegarkan kulit wajah.

# Phenylethylamine - Kandungan phenylethylamine memberikan rangsangan otak yang menghasilkan dopamine. Kesan kehadiran dopamine mencetuskan perasaan ceria dan tenteram hingga membangkitkan mood romantis. Justeru coklat sangat sesuai sebagai hadiah paling romantik.

# Antioksidan - Bagi individu yang risau dengan garis penuaan yang mula timbul di wajah, coklat barangkali boleh membantu. Sifat antioksidan mampu mencegah proses penuaan yang disebabkan kesan radiasi. Gaya hidup tidak seimbang dengan pilihan makanan segera yang diambil tanpa had juga menjadi penyumbang mempercepatkan proses berkenaan.

Oleh Sariha Mohd Ali



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom