Dunia tanpa sempadan menuntut komitmen yang luar biasa terhadap kehidupan. Jika dulu, tugas ibu cukup dengan mengawasi anak di depan mata, tahu di mana tidurnya, bagaimana makannya, elokkah pakaiannya dan siapa temannya.
Tetapi hari ini, ada satu dunia lain yang dihuni oleh anak tanpa disedari si ibu. Inilah dikatakan 'alam maya', sekecil-kecil anak pun tahu merentasinya tanpa berbekalkan wang sesen pun, cukup dengan jari jemari yang tahu menari.
Sama ada alam maya menjadikan anak orang yang lebih berilmu atau sebaliknya bergantung kepada kesediaan si ibu mencari ilmu menghadapi tanggungjawab memimpin rumah tangga dalam dunia serba mencabar kini.
Semua ibu pasti merasakan tanggungjawab membesarkan anak jauh lebih sukar daripada mencari rezeki, makan dan pakai buat mereka. Apatah lagi seorang
ibu yang turut berkerja dan dalam masa yang sama membimbing cahaya mata yang dianugerahkan Ilahi.
Sudah pastilah masa yang diperuntukkan berganda banyaknya, tenaga diperah tidak terhingga, tetapi semuanya kerana tanggungjawab yang perlu dilaksana, jadi ibu yang mulia tidak akan terasa penat dan lelahnya apabila melihat anak-anak semuanya berjaya.
Setiap ibu sedar dan mengerti suruhan agama, tahu tanggungjawab sedang dipikul dan kesan buruknya jika ia tidak ditunaikan untuk memastikan amanah Allah yang lahir dari rahimnya memulakan kehidupan di dunia dengan baik dan berakhir dengan baik.
Bahkan anak-anak lahir daripada benih seorang bapa dan ibu yang bertakwa serta takutkan Allah yang berjaya dididik mengikut landasan agama akan menyelamatkan ibu bapanya daripada api neraka hanya dengan doa mereka.
Sudah tentulah setiap ibu ingin menyelamatkan anak-anak daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu. Tiada ibu yang tergamak menjadikan anaknya arang membara membakar manusia, tetapi hasrat dan nekad itu tidak akan menjadi jaminan tanpa usaha membimbing mereka mentaati suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Jika seorang ayah adalah pemimpin bagi sebuah keluarga, ibu pula pemimpin kepada rumah tangga. Rumah tangga adalah satu naungan yang di dalamnya ada satu ikatan antara dua hati berkasih sayang kerana Allah, menjadi tempat perlindungan, musyawarah, saling mengasihani dan berbudi.
Jika ayah menjadi ketua yang wajib dihormati, dipatuhi dan mengetuai segala urusan membabitkan ahli rumah tangga, si ibu pula memimpin sistem di dalamnya untuk memastikan ahli taat dan setia kepada pemimpin keluarga.
Tidak semudah berjanji, memimpin rumah tangga memerlukan daya tahan yang tinggi, teguh berdiri di belakang ketua keluarga yang bertanggungjawab atas segala tindak tanduk ahlinya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang imam adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya, dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin pada rumah tangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Seorang pembantu adalah pemimpin pada harta tuannya dan ia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya."
Menyelak sedikit kisah akhlak sahabat Rasulullah SAW seperti Zubair bin Awwam yang diasuh ibunya Shafiyah binti Abdul Muthalib dengan akhlak mulia dan sifat dermawan tinggi, dapatlah diketahui hasil diperoleh seorang ibu yang tidak jemu membimbing anaknya dengan akhlak Islami.
Juga anak Zubair, iaitu Abdullah, Al-Munzir dan Urwah yang semuanya memiliki kedudukan yang terpuji kerana asuhan ibunda tercinta, Asma' binti Abu Bakar.
Ali bin Abi Talib mewarisi keluhuran akhlak ibunya Fatimah binti Asad yang sentiasa berhikmah dalam tindak tanduknya. Abdullah bin Jaafar lahir sebagai seorang yang sangat dermawan hasil daripada tarbiah ibunya Asma' binti Umais, yang juga tokoh wanita Islam sangat luhur akhlaknya, sama ada semasa berdepan dengan musuh atau sahabatnya.
Muawiyah bin Abi Sufyan pula dibimbing menjadi seorang bijak dan mempunyai peribadi baik seperti ibunya, Hindun binti Utbah, tidak seperti ayahnya. Ciri sama juga ada pada saudara Muawiyah, Ziyad bin Abi Sufyan yang tersohor kerana ketajaman akalnya.
Abdul Malik bin Marwan dididik ibunya Aisyah binti Al-Mughirah menjadi seorang lelaki yang pintar dan tegas, sementara Umar bin Abdul Aziz dibimbing ibunya Ummu 'Ashim binti 'Ashim yang tersohor kerana kebaikan dan kesalihannya.
Setiap ibu yang berjaya menjadikan anak mereka orang salih dan baik budi pekerti sudah tentulah bermula dengan cara dibentuk mengikut acuan agama. Ia seawal mendedahkan anak dengan kisah nabi dan sahabat Baginda SAW yang tidak terkira banyaknya.
Moral kisah benar yang membuktikan keunggulan Islam, teladan akhlak dan ukhuwah akan menjadi pegangan anak yang dibentuk dengan didikan seorang ibu ikhlas, menjadikan anak itu bijak menilai baik serta buruk tanpa mampu dipengaruhi sesiapa.
Ibu tidak perlu takut merotan anak yang melakukan kesalahan,ia patut bermula seawal usia mereka 10 tahun, apabila lalai mengerjakan solat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perintahkanlah anakmu melaksanakan solat pada saat mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka bila enggan mengerjakannya pada saat mereka berusia sepuluh tahun." (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Nabi tidak meminta anak dipukul sebelum usianya 10 tahun, walaupun mereka melanggar perintah Allah tetapi mereka perlu sentiasa dinasihat dan dibimbing supaya proses pembentukan akhlak yang mulia dengan Allah serta manusia lainnya dapat dilakukan dengan sempurna dan konsisten.
Ibu yang tidak merotan anaknya kerana meninggalkan solat selepas usianya 10 tahun bakal mendepani anak tidak boleh ditegur jika melakukan kesalahan, tidak taat perintah Tuhan serta keliru antara suruhan dan larangan dalam agama.
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan