Home » Liza Hanim bertudung atas kesedaran

Liza Hanim bertudung atas kesedaran

Tak lama dahulu apabila penyanyi kelahiran Klang, Liza Hanim menerima tawaran melakonkan watak biduanita Saloma dalam teater P. Ramlee The Musical… The Life, The Love And The Inspiration yang dipentaskan sekitar Oktober 2007, ramai yang mengatakan dia sudah berani tampil seksi.


Apa tidaknya, melakonkan watak tersebut Liza harus mengenakan gaun merah pendek paras lutut malah dan dia juga tidak kekok beraksi dengan gaun berleher V tanpa lengan itu.

Dek kerana keberanian itu, ramai di kalangan peminat mula membuat andaian sendiri dan tertanya-tanya apakah itu transisi terbaru dirinya setelah bergelar ibu kepada seorang anak ketika itu.

Masa berlalu, segalanya mempengaruhi pemikiran, hati dan kehendak individu.

Begitu juga dengan pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim, isteri kepada Shah bekas anggota kumpulan Indigo itu. Dia kini memilih untuk bertudung.

Perubahan itu sedikit sebanyak mengejutkan peminat seni hiburan tanah air.

Apa yang pasti, keputusan yang dibuat oleh ibu kepada dua anak perempuan iaitu Marsya Qistina, 7, dan Marissa Qaireen yang berusia setahun lebih itu mendapat keizinan daripada suaminya.

"Tiada paksaan untuk saya bertudung. Saya ikhlas mengenakannya dan Insya-Allah ia akan berterusan," ringkas jawapan yang diberikan penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Getaran Cinta Di Jiwa itu.

Bertudung sejak dua bulan lalu, kata Liza, dia sebenarnya telah lama merancang untuk membawa perubahan dari segi penampilan diri seiring peningkatan usia yang kini telah mencecah 31 tahun.

Dua tahun lamanya dia menanam azam namun, baru dua bulan lalu hasrat tersebut dimakbulkan Tuhan.

"Pada April lalu fikiran saya kuat ingin bertudung dan tiba-tiba suatu hari apabila bangun daripada tidur terus hati saya berkata ingin memakai tudung.

"Untuk itu, saya terus berjumpa suami dan meminta keizinan daripadanya. Alhamdulillah, suami saya menyokong dan menyuruh agar saya tetapkan hati untuk terus bertudung selepas ini.

"Saya tidak bercerita tentang hasrat memakai tudung kepada sesiapapun kecuali suami. Emak saya pun hanya sekadar pandang dan senyum saja sebaik melihat saya bertudung.

"Adik beradik juga tidak bertanya kerana mungkin mereka faham itu hak saya," jelas Liza yang ternyata semakin gembira dengan perubahan imejnya itu.

Katanya, tiada sebab lain dia bertudung seperti yang diperkatakan ramai bahawa dia mendapat mimpi dan sebagainya kerana keputusan itu lahir daripada ketulusan hatinya sendiri.

Ada pandangan nakal yang menyebut, apabila seseorang penyanyi wanita yang selama ini dikenali sebagai penyanyi pop, rezeki mereka akan terbatas apabila memilih untuk bertudung.

Kelaziman yang terjadi dalam gelanggang muzik ialah, perubahan imej sedemikian selalunya akan turut membawa seseorang penyanyi itu menukar genre nyanyiannya.

Apakah Liza juga akan tersenarai sebagai penyanyi yang akan mengubah genre lagu nyanyiannya?

Dalam hal ini, Liza sangat terbuka. Dia masih ingin meneruskan kerjaya nyanyian menerusi lagu-lagu berelemen pop dan balada yang merupakan kemampuan utama vokalnya.

Baginya tidak semestinya dengan perubahan imej yang dibawa kini maka dia perlu menukar genre nyanyiannya pula.

"Ketika tidak bertudung dahulu saya memang tidak menolak jika ada apa-apa tawaran yang melibatkan persembahan berkonsep ketuhanan, begitu juga kini.

"Cuma dari segi konsep saya masih mahu menyanyikan lagu-lagu pop dan saya memang tidak dapat lari daripada itu.

"Alhamdulillah, sepanjang tempoh bertudung tawaran nyanyian tidak pernah lekang saya terima," katanya yang mengakui berdebar membuat penampilan pertama bertudung di khalayak pada separuh akhir pertama Mentor minggu lalu.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA



 
Chatroom