Sesuai dengan misi mereka untuk berdakwah serta membawa produk Malaysia ke peringkat antarabangsa, Genius Aulad Talents yang terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar Genius Aulad yang berusia 3 hingga 12 tahun telah mengundang kumpulan nasyid Raihan untuk menjayakan 2 buah lagu di dalam album mereka, We're Brothers And Sisters. Kedua-dua lagu tersebut adalah The Last Train serta We're Brothers And Sisters sendiri.
Pun begitu, album We're Brothers And Sisters itu terdahulu telah dilancarkan di Perth, Australia pada 28 Mei yang lalu, manakala pelancaran di Malaysia pula dilaksanakan di Tropicnana Gold Resort, Mutiara Damansara pada petang semalam bersempena sambutan Hari kanak-Kanak Sedunia yang disambut pada 1 Jun setiap tahun.
Menceritakan detik-detik bagaimana album We're Brothers And Sisters ini dihasilkan, pengarah serta penerbit albumnya, Zaliza Alias berkata, ianya sebenarnya bermula sejak dua tahun lalu sewaktu tercetusnya peperangan di Gaza.
"Peperangan di Gaza cukup menyentuh hati saya kerana setiap hari kita melihat kanak-kanak menjadi mangsa peperangan. Dalam pada itu, kemunculan lagu 'We Will Not Go Down' oleh Micheal Heart iaitu seorang bukan Islam yang telah berjuang membela penduduk Islam di Gaza telah memberi saya inspirasi untuk menghasilkan sebuah album dari sudut pandang kanak-kanak.
"Lalu terhasillah album 'We're Brothers and Sisters yang mananya sebahagian lagunya ditulis sendiri oleh kanak-kanak dan remaja yang berada di dalam Genius Aulad Talents.
"Tetapi, mereka ini bukanlah sekumpulan penyanyi atau artis. Sebaliknya, mereka adalah beberapa kanak-kanak dan remaja daripada prasekolah dan bekas prasekolah Genius Aulad yang dipilah secara rawak untuk terlibat dalam pembikinan album ini. Apa yang kami pentingkan di sini adalah mesej dan objektif yang ingin disampaikan", kata Zaliza lagi.
Ditanya mengapa album 'We're Brothers and Sisters terlebih dulu dilancarkan di Perth, Australia dan tidak Malaysia pada 28 Mei yang lalu, Zaliza berkata, sasaran untuk pembikinan album ini sememangnya adalah untuk pasaran antarabangsa.
"Disebabkan itulah kami menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya di dalam album ini supaya mesejnya dapat disampaikan seluruh dunia. Oleh itu, Perth Australia merupakan negara yang sesuai sebagai jendela utama dunia kepada peringkat antarabangsa.
"Dalam waktu yang sama, kami juga mahu lihat bagaimana respon di sana sebelum menembusi pasaran di sini dan Alhamdulilah sambutannya di sana amat membanggakan apabila mereka turut menyanyi bersama-sama sewaktu pelancaran diadakan di sana," katanya lagi.
Menjelaskan pula mengapa mereka memilih untuk bekerjasama dengan Raihan, Zaliza berkata, mereka memilih Raihan setelah melihat potensi yang ada pada kumpulan nasyid tersebut terutama dalam menembusi pasaran antarabangsa.
"Berdasarkan kepada kejayaan yang pernah diraih oleh Raihan di peringkat antarabansga sebelum ini, jadi mengapa tidak kami bekerjasama dengan Raihan? Lagipun tujuannya adalah untuk berdakwah.
"Penglibatan Raihan dengan Genius Aulad pun bukanlah baru kerana sejak lebih setahun Raihan sering menjayakan sesi bercerita bersama kanak-kanak ini. Dari situ, terdetiklah hasrat kami untuk bikin album bersama Genius Aulad," katanya.
Raihan yang turut hadir pada majlis pelancaran itu berkata, mereka berasa senang sekali kerana dapat sama-sama menjayakan album We're Brothers and Sisters' ke peringkat antarabangsa.
"Kami bangga kerana terpilih dalam projek antarabangsa ini dan yakin album ni akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada beberapa negara lain lagi seperti di United Kingdom dan Kanada. Kami juga berharap album ini bukan sahaja boleh diterima di peringkat antarabangsa malah di Malaysia sendiri", kata seorang ahli Raihan iaitu Abu Bakar Md Yatim, 40.
Pengurus Raihan, Abdul Mubbin Abdul Latiff yang turut bertindak selaku pengedar eksklusif Raihan Records pula berkata, dia amat berpuas hati dengan pembikinan album 'We're Brothers and Sisters' begitu juga dengan lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album ini.
"Semasa pertama kali Puan Zaliza datang kepada saya untuk memperdengarkan itu saya dah mula terpikat dan saya rasa ianya album yang bagus untuk seisi keluarga sebagai album bagus untuk seisi keluarga sebagai album untuk mendidik anak-anak sambil berhibur.
"Ketika kami di Perh Australia pun 300 keping sudah terjual disana dengan sambutan yang memuaskan. Oleh itu saya mensasarkan album ini supaya dapat terjual sebanyak 25 ribu unit dengan prosmosi yang kami akan lakukan di UK dan Kanada selain di Malaysia", katanya.
Apa yang menarik, rakaman album ini tidak dibuat seperti kebaisaannya di dalam studio malah rakaman dibuat secara 'mobile recording' sahaja dengan hanya dilakukan di belakang ruang pejabat Genius Aulad yang dilakukan secara sambilan.
Album 'We're Brothers and Sisters' ini yang diedarkan syarikat rakaman Warner Music dan Wahyu Suci serta pengedar eksklusifnya Raihan Records ini dijual pada harga RM25.90 sahaja. Ia menampilkan 9 buah lagu kesemuanya seperti berikut:
1. The Last Train
2. We Love Nabee Muhammad
3. When I Grow Up
4. Parents
5. Ipoh Tree'
6. My Kind Grandma
7. Why
8. Wudhu'
9. We're Brothers and Sisters.
Oleh: Syafiqah Jalal