Home » » www.tv3.com.my/arjuna Arjuna drama bersiri termahal KRU

www.tv3.com.my/arjuna Arjuna drama bersiri termahal KRU

Selepas menikmati kejayaan luar biasa menerusi drama bersiri Bio-Nik yang mengisi slot Aksi di TV3, kini KRU Studios bersedia untuk menggegarkan kaca televisyen rakyat Malaysia dengan sebuah lagi karya berkualiti.

Mempertaruhkan karya nukilan Fairul Nizam Abas dan Yuzaidania A. Shukor, tidak keterlaluan dikatakan Arjuna mampu mencetuskan fenomena baru dalam penerbitan televisyen di negara ini.

Apatah lagi, Arjuna mempertaruhkan genre aksi fantasi yang pertama kali diperkenalkan oleh KRU Studios dalam mana-mana penerbitan rancangan televisyennya.

Seiring dengan kecemerlangan KRU Studios yang cukup terkenal dengan penghasilan karya yang sarat dengan teknik pengimejan penjanaan komputer (CGI), sudah pasti Arjuna tidak mempunyai masalah untuk memikat hati audiens.

Lebih-lebih lagi, Arjuna meletakkan hero Malaya popular masa kini, Remy Ishak sebagai teraju utama dalam memancing peminat untuk terus menonton Arjuna yang sudah pun memulakan tayangan episod perdananya pada 31 Mei lalu di TV3.

Salah seorang penerbit Arjuna, Norman Abdul Halim berkata, pihaknya memang sudah lama menantikan peluang untuk menerbitkan drama bercorak epik fantasi ini.

Malah, idea dan corak penceritaan Arjuna timbul sejak sebelum KRU Studios menerbitkan Bio-Nik tetapi kerana beberapa faktor, pihaknya perlu menangguhkan seketika penerbitan Arjuna.

Ini kerana katanya, ada beberapa perkara yang perlu dirombak bagi memantapkan lagi jalan cerita Arjuna memandangkan ia melibatkan banyak elemen CGI.

Kerana itu, Bio-Nik perlu diteruskan terlebih dahulu dan selepas menyaksikan drama bersiri itu mencipta kejayaan yang luar biasa barulah, KRU Studios yakin dengan langkah mereka.

"Saya memang mengharapkan Arjuna dapat diterima dengan baik oleh peminat dan penonton tempatan kerana kami menjanjikan sesuatu yang berbeza.

"Kami harus akui kualiti penerbitan Arjuna berada di tahap yang paling tinggi kerana kami tidak mahu menghasilkan karya yang sekadar indah daripada rupa.

"Selepas menjalani penggambaran selama tiga bulan dan melihat hasil akhirnya, kami percaya Arjuna mampu melekat di hati penonton," kata Norman penuh optimis.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama dan laman web rasmi Arjuna yang berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar selain dua lagi penerbit Arjuna, Yusry dan Edry Abdul Halim.

Selain Remy yang memegang watak Arjuna, drama bersiri arahan Elmi Khalim itu turut dibintangi Nora Danish, Aman Graseka, Kuswadinata, Riz Ainuddin, Ery Putra, Fikree Bakar, Ana Dahlia, Komeng, Dira Abu Zahar dan ramai lagi.

Bercerita lanjut tentang Arjuna, Norman tanpa berselindung memberitahu pihaknya telah memperuntukkan kos yang agak tinggi berbanding drama bersiri lain terbitan KRU Studios.

Enggan mengulas dan memberitahu jumlah sebenar, apa yang boleh Norman katakan bajet pembikinan Arjuna melebihi 50 peratus daripada jumlah kos untuk produksi drama sebelum ini.

"Sudah menjadi resmi KRU Studios yang sentiasa mahu menampilkan kelainan dalam setiap produk kami kerana tidak mahu penonton cepat berasa bosan.

"Sememangnya kami mahu memberikan yang terbaik untuk Arjuna dan kami amat titik beratkan dari segala aspek terutama kostum, tata rias, rekaan set dan juga teknik pengarahan.

"Dalam masa yang sama juga, kami tidak mahu ada yang menganggap Arjuna sebuah kisah yang diangkat daripada sejarah kerana ia adalah sekadar rekaan semata-mata," ujar Norman tentang drama bersiri sebanyak 26 episod itu.

Bekas pengetua Akademi Fantasia musim kelapan ini turut ditanya kebarangkalian Arjuna akan diterbitkan dalam versi filem.

Menjawab persoalan itu, Norman tidak menolak kemungkinan Arjuna akan dijadikan sebuah filem seandainya drama bersiri mendapat sambutan hebat daripada penonton.

"Tetapi, seboleh-bolehnya kami mahu menghabiskan semua ceritanya tanpa dilangsungkan dalam medium filem.

"Ini kerana kami di KRU Studios lebih gemar menerbitkan filem-filem dari naskhah yang baru dan segar.

"Mungkin terlalu awal untuk memperkatakan tentangnya. Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja nanti perkembangan seterusnya," tuturnya lagi.

Menyentuh tentang hasil kerja Elmi pula, Norman memberitahu pihaknya mengambil keputusan untuk mengetengahkan bakat baru sebagai pengarah Arjuna selepas benar-benar yakin dengan bakatnya.

Selepas lima tahun bekerja dengan KRU Studios dengan pernah menjadi penolong kepada filem-filem arahan Yusry sebelum ini, Norman berfikir mengapa tidak untuk memberi peluang itu kepada Elmi.

Sementelah, Elmi juga pernah menimba pengalaman menerusi filem-filem arahan Afdlin Shauki selain mengarahkan muzik video sebelum ini.

"Kami pun mahu menampilkan bakat-bakat baru yang berbakat dalam bidang pengarahan serta memberi peluang menonjolkan kreativiti mereka," jelas Norman tentang pemilihan Elmi untuk mengemudikan Arjuna.

Sementara itu, Remy yang ditemui pula berkata, Arjuna telah merealisasikan impiannya untuk berlakon dalam drama bercorak purba.

Sememangnya, pelakon kacak itu merupakan peminat filem-filem purba dan aksi. Malah, Remy tidak segan memberitahu dia merupakan pengikut setia drama bersiri Pendekar yang pernah mendapat sambutan hangat satu ketika dulu.

Pengalaman berlakon Arjuna bagi Remy cukup memenatkan tetapi dia puas kerana dapat melakonkan aksi lagak ngerinya sendiri.

Bukan itu sahaja, dia juga mengawal diet pemakanannya dan aktif mengangkat berat bagi mendapat bentuk badan dalam menepati kriteria watak Arjuna itu sendiri.

"Faktor itu juga mengapa saya menerima tawaran KRU Studios dan saya mengharapkan lakonan saya dalam drama ini akan memberi impak besar seperti mana Nur Kasih.

"Kalau selepas ini orang memanggil saya dengan nama Arjuna, saya menganggapnya sebagai satu penghormatan dan membuktikan saya telah memberikan hasil yang terbaik," katanya penuh harapan.

Bagi mereka yang belum berkesempatan menonton Arjuna, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikannya setiap hari Isnin pukul 9 malam menerusi slot Aksi secara eksklusif di TV3.

Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi di www.tv3.com.my/arjuna.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL



 
Chatroom