Mengangkat karya novel menjadi filem bukan sesuatu yang biasa di negara kita walaupun ia memang pernah dilakukan sebelum ini. Filem Ranjau Sepanjang Jalan, Langit Petang, Jogho dan Mira Edora antara contoh novel yang diterjemahkan ke layar perak.
Perselisihan pendapat dan kefahaman antara karyawan filem dengan novelis serta perkara teknikal lain adalah antara sebab proses memindahkan karya novel ke filem sering saja tidak kesampaian.
Bagaimanapun, dalam perkembangan ini, sebuah filem muncul berdasarkan karya novel iaitu Legenda Budak Setan. Ia berdasarkan novel popular tulisan Ahadiat Akashah pada tahun 1985 dengan versi filem pula ditangani oleh Sharad Sharan.
Filem ini boleh dianggap sentuhan terbaik Sharad selepas dua filem terdahulunya, Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri gagal menarik perhatian. Selain itu, filem ini menampilkan nama besar yang pernah menggondol anugerah iaitu Farid Kamil, Que Haidar, dan Nur Fazura serta Lisa Surihani. Lisa antara yang menyerlah dalam filem ini. Dia keluar dari kepompong kebiasaannya.
Menggunakan khidmat Fauziah Ahmad Daud sebagai penyelia lakonan ternyata memberi impak kepada lakonan Lisa. Memegang watak Ayu, Lisa menyerlahkan bakatnya kerana selama ini dia dianggap berlakon hanya bersandarkan paras rupa sahaja.
Percintaan Ayu dan Kasyah dilihat begitu agung. Garapan Sharad dalam filem ini termasuk menonjolkan sinematografi menggunakan khidmat orang luar, Mike Muschamp. Dalam mencari kesempurnaan ternyata terbit sedikit cacat cela yang mengganggu pandangan mata.
Lakonan Farid pula masih berada dalam kedudukan selamat tetapi tidak boleh dibanggakan langsung. Dia seperti berada di dunianya tersendiri kerana mutu lakonannya masih sama. Tiada kelainan kerana yang berubah hanya karakter, nama watak dan imej yang ditampilkan.
Biarpun latar masa sebenar kisah ini dicetuskan sejak 25 tahun lalu, keraguan dan rasa pelik terbit apabila latar masa yang berubah seiring dengan kesesuaian masa sekarang dilihat tidak seiring. Contohnya, pengarah masih menggambarkan pelajar universiti tidak mempunyai kemudahan seperti telefon bimbit.
Hal ini diperhatikan sewaktu Kasyah terpaksa berpisah dengan Ayu untuk meneruskan impiannya kerana perlu melakukan tugasan penyelidikan di sebuah pulau selama setahun. Sepanjang tempoh ‘perpisahan’ itu, mereka terputus hubungan. Fazura dan Que wajar dipuji kerana mempersembahkan gaya lakonan mantap. Tetapi gaya lakonan yang dipamerkan kedua-duanya itu sudah menjadi klise. Memang benar, Que dan Fazura bagus, tetapi lakonan yang sama pernah ditonton dalam filem mereka sebelum ini.
Kehadiran bintang baru, Shiqin Kamal tidak memberi impak menerusi wataknya sebagai Emilia. Emosinya gagal menyambung kesinambungan Ayu sebelum menjalani pembedahan menukar wajah. Baru bukan alasan Shiqin tidak menyerlah. Emilia dan Ayu adalah orang yang sama cuma berubah wajah saja selepas melakukan pembedahan plastik.
Kelemahan yang dicatatkan ini hanya diibaratkan seperti secebis debu yang berterbangan saja. Alangkah baiknya jika hal kecil ini tidak terlepas pandang. Hakikatnya, filem ini masih mampu membuatkan perasaan anda meruntun, menghimpun suka dan duka, malah mampu membuatkan air mata anda jatuh bergenang.
Apa yang bakal kepada episod cinta Ayu dan Kasyah? Apakah rancangan Azmi merobohkan tugu cinta mereka berjaya tertunai? Apakah kehadiran Ayu akan sama seperti cinta Kasyah terhadap Ayu yang dulu?
Banyak persoalan yang bakat terjawab dengan hanya menonton filem ini.
* Filem: Lagenda Budak Setan
* Genre: Romantik, Drama
* Pengarah: Sharad Sharan
* Pelakon: Farid Kamil, Lisa Surihani, Fazura, Que Haidar, Raja Farah, Sheila Mambo, Nubhan, Zoey dan Shiqin Kamal
* Tayangan: Mulai 3 Jun
Oleh Zaidi Mohamad
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...