Home » » Berbuka puasa cara sihat

Berbuka puasa cara sihat

Pelbagai sajian dan juadah di bazar Ramadan membuka selera kita, terutama selepas seharian berpuasa. Namun, ia bukan alasan untuk terus melupakan aspek penjagaan kesihatan melalui pengambilan makanan sederhana dan berpada-pada.

Beberapa disiplin diet dan tip kesihatan sempena Ramadan disediakan untuk rujukan anda dan boleh diamalkan supaya tahap kesihatan sentiasa terjamin.

* Makan secara sederhana



Raikan Ramadan dengan sederhana melalui pembelian makanan berpada-pada. Walaupun pelbagai juadah mudah didapati, jangan dijadikan tiket ' membalas dendam' selepas seharian berlapar.

* Kurangkan makanan berminyak dan kolesterol

Walapun pelbagai hidangan dan juadah ditawarkan di bazar Ramadan, kita mampu mengelak makan terlalu banyak makanan berminyak dan berkolesterol tinggi.

Tidak salah menikmati juadah, tetapi ambillah dalam kuantiti sederhana.

* Amalkan pemakanan seimbang.

Sepanjang sebulan berpuasa, anda boleh rancang pemakanan dengan mengatur diet melalui juadah dinikmati setiap hari sama ada disediakan sendiri atau dibeli di luar. Sekiranya anda menikmati makanan berat seperti nasi daging atau nasi campur, seimbangkan dengan mengambil menu pemanis mulut seperti puding roti atau kuih-muih selepas itu.

* Kurangkan minuman berkarbonat

Selain menjaga pemakanan, minuman manis juga perlu dikurangkan seperti minuman berkarbonat. Anda perlu bijak mengawal diri dengan banyakkan minum air kosong atau gantikan dengan jus buah-buahan, terutama pada waktu berbuka.

* Kurangkan gula

Walaupun pelbagai kuih-muih dihidang, anda boleh memilih menikmati kuih kurang manis. Makanan manis boleh diambil, tetapi pastikan ia dalam kuantiti sederhana.

* Makan buah-buahan

Memandangkan buah-buahan terdapat dalam pelbagai jenis rasa dan warna selain mudah didapati, tiada masalah sekiranya dijadikan pencuci mulut setiap hari selepas mengambil makanan berat seperti nasi dan sebagainya.

* Makan sayur-sayuran

Sayur-sayuran mengandungi serat dan zat mineral yang penting untuk tubuh dan sistem penghadaman. Ia dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol darah. Jadi, anda boleh memilih melebihkan sayuran dalam hidangan anda seperti banyakkan makan ulam-ulaman dan sebagainya.

* Lakukan senaman

Walaupun letih berpuasa, anda tidak sepatutnya melupakan senaman kerana ia penting sebagaimana sebelum Ramadan. Cuba curi masa sekurang-kurangnya berjoging setempat walaupun cuma beberapa minit. Pastikan anda melakukan senaman secara berjadual untuk memastikan jantung sentiasa sihat.



 
Chatroom