Home » » Kemurungan jejaskan keriangan dan kualiti hidup

Kemurungan jejaskan keriangan dan kualiti hidup

Sindrom dan masalah kemurungan

Kemurungan bukan dikategorikan penyakit gila, sebaliknya ia adalah gangguan mental yang boleh berlaku kepada siapa saja terutama wanita. Kemurungan dalah penyakit zaman moden dan ia dialami di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan ada kira-kira 121 juta penduduk dunia yang mengalami kemurungan. Malah, kemurungan sebenarnya penyakit keempat di dunia paling berpotensi menyebabkan ketidakupayaan individu.



Penyelidikan mendapati kemurungan disebabkan oleh ketidakseimbangan dua bahan kimia dalam otak dan badan iaitu serotonin dan noradrenalin. Walau bagaimanapun, penyakit kemurungan boleh diwarisi.

Gangguan itu jika tidak dirawat boleh memberi kesan sampingan, termasuk penghidap tidak boleh melakukan kerja atau melakukan tugas sebagai surirumah.

Kemurungan ada kalanya tidak membawa petanda simptom tipikal seperti mengasingkan diri, hilang selera makan atau gangguan tidur. Sebaliknya, ada juga yang mengalami masalah sengal pada tubuh yang berpanjangan. Ada juga yang mengalami kesakitan yang tidak dapat dijelaskan.

Namun, hanya 10 peratus daripada mereka mendapat rawatan sempurna. Selebihnya, terus mengalami kemurungan disebabkan diagnosis yang tidak tepat. Lebih teruk, bukan saja pesakit, malah ada juga doktor yang tidak menyedari kesakitan yang dialami ada kaitan dengan kemurungan.

Gejala utama seseorang mengalami kemurungan (depression) ialah menghadapi kesukaran emosi yang berlaku dalam jangka masa lebih kurang dua minggu dan secara berterusan. Walaupun pada kebiasaan ia mungkin berlaku kerana tindak balas tekanan emosi yang berpunca daripada masalah kehidupan, ia juga boleh berlaku dengan spontan.

Pesakit yang mengalami keadaan ini, membayangkan kehidupan yang begitu negatif. Mereka seolah-olah tidak berdaya mengatasi masalah walaupun sebenarnya masalah itu adalah biasa.  Ada juga pesakit seolah-olah mahu menangis tetapi tidak dapat mengeluarkan air mata sehingga mereka tertekan dan pemikiran buntu.

Pesakit juga mungkin mudah berang dan tersinggung dengan tindakan orang sekeliling. Misalnya, pesakit akan mudah memarahi anak hanya sekiranya tidak mendengar arahan.

Mengikut kajian, kejadian kemurungan di kalangan wanita  adalah lebih tinggi daripada lelaki dengan nisbah 2:1.

Satu daripada sebab wanita lebih kerap berdepan dengan kemurungan ialah perubahan peringkat hormon yang dialami. Ia menjelaskan kenapa kemurungan berlaku ketika wanita datang bulan,hamil, selepas bersalin dan putus haid. Biasanya wanita akan menunjukkan tanda kemurungan seperti putus asa dan rasa tidak berupaya sementara lelaki bersikap berang atau cepat marah. 



 
Chatroom