Home » » Cara Bersenam Tanpa Banyak Usaha

Cara Bersenam Tanpa Banyak Usaha

Rata-rata rakyat Malaysia masih malas untuk bersenam bagi menjamin kesihatan yang baik sehingga ke tua. Khas untuk anda yang mempunyai ‘alahan’ terhadap senaman, di sini kami senaraikan beberapa cara untuk anda kekal fit tanpa perlu ke gimnasium mahupun mengenakan kasut sukan anda! Kami gelarinya ‘senaman tanpa banyak usaha’.

Ketika Melihat Cermin Setiap Pagi

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Michael Shepard mencadangkan anda mengubah cara anda berdiri ketika menghadap cermin di waktu pagi. Tarik bahu ke dalam untuk mendapatkan postur yang baik dan dongakkan dagu sedikit ke atas ketika anda berdiri tegak di hadapan cermin. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan sakit belakang tetapi juga mampu mengelakkan anda menjadi bongkok apabila usia anda meningkat kelak.

Ketika Memberus Gigi

Jika selalunya anda hanya berdiri tegak ketika memberus gigi, apa kata mulai daripada hari ini anda amalkan senaman cangkung ketika melakukannya. Menurut Pengasas Nashville Fitness, Irv Rubenstein, sekiranya anda melakukan squat secara perlahan-lahan ketika menggosok gigi, ia boleh meningkatkan kekuatan lutut dan mengurangkan risiko artritis apabila anda sudah berusia walaupun anda hanya melakukan hanya enam hingga ke lapan kali sahaja.

Ketika membasuh Pinggan

Setiap kali anda membasuh pinggan, cuba berdiri dengan satu kaki sahaja. Cara ini dapat mengukuhkan kawalan saraf di sekitar buku lali, lutut dan pinggul yang boleh membantu anda mengekalkan sokongan kaki ketika menjalani aktiviti seharian. Ia turut membantu anda memahami kestabilan tubuh badan sendiri.

Ketika Di Tempat Kerja

Kami faham anda terlalu banyak kerja di pejabat tetapi jangan sekali-kali anda lupa untuk take 5 di dalam setiap satu jam anda menghadap komputer. Sekiranya malas untuk berjalan, ambil masa untuk melakukan regangan. Luruskan tangan ke hadapan selari dengan lantai dan regangkannya. Lakukannya bergilir-gilir dan regangkan sekali jari anda. Ini penting untuk mengelakkan anda daripada terkena penyakit sendi.

Ketika Bercakap di Telefon

Jadikan panggilan telefon sebagai alasan untuk anda bergerak. Letakkan telefon bimbit berjauhan dengan anda supaya anda boleh berjalan mendapatkannya apabila telefon berbunyi. Ataupun anda boleh bercakap sambil berjalan daripada bermalas-malas di atas katil ketika berborak di telefon. Ini secara tidak langsung membuatkan anda bertambah aktif sepanjang hari.

Ketika Menonton Televisyen

Saiz otot paha anda semakin mengecil selari dengan peningkatan umur. Jadi pergerakannya walau sedikit mampu melambatkan proses ini. Sekiranya anda sedang menonton televisyen, setiap kali iklan sedang disiarkan, cuba naikkan kaki anda setinggi boleh ataupun paling kurang sehingga 45 darjah dari lantai dengan menggunakan kekuatan paha. Lakukan paling kurang 10 kali setiap kali iklan sedang disiarkan.

Ketika Membeli Belah

Walau ke mana sahaja anda pergi, cuba letakkan kereta jauh sedikit daripada pintu masuk untuk menggalakkan anda berjalan lebih sedikit daripada biasa. Sekiranya anda membeli barangan harian di pasar raya, cuba bawa kesemua plastik ke kereta anda tanpa menggunakan troli. Ia boleh bertindak sebagai dumbel yang berfungsi menguatkan otot anda ketika anda melakukan senaman tanpa sedar ini.



 
Chatroom