Home » » Teliti produk elak mudarat

Teliti produk elak mudarat

Teliti produk elak mudarat

Di pasaran terdapat pelbagai produk makanan kesihatan mengandungi vitamin dan mineral sama ada dalam bentuk pil, cecair atau minuman herba yang dicanangkan mengandungi pelbagai khasiat. Ada yang berkesan, ada mengharapkan kesan segera dan tidak kurang pula tertipu dengan semua kebaikan seperti yang didakwa.

Mengambil makanan tambahan tidaklah menjadi kesalahan lebih-lebih lagi untuk wanita. Ini kerana golongan wanita biasanya sanggup mengeluarkan belanja untuk mendapatkan manfaat tambahan walaupun ada di antaranya sudah mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam keghairahan kaum Hawa membeli, mereka dinasihatkan supaya berhati- hati terutama dari segi kandungan, kesan sampingan dan status halal sesuatu produk kerana tidak semua bahan sesuai dengan sistem badan seseorang manakala selebihnya mendatangkan kemudaratan sekiranya diambil dalam tempoh yang lama.

Menyedari keghairahan untuk kekal sihat dan bertenaga, ramai terlupa kepada keberkesanan diet serta amalan pemakanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang begitu menyeluruh dan sesuai untuk semua golongan. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan seperti dijelaskan dalam al-Quran bermaksud: Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan (Surah al-A'raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia membebankan organ dan sistem pencernaan sehingga ia menjadi lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan. Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu nabi mengamalkan pelbagai makanan berkhasiat seperti kurma, kismis, air zam zam, delima dan habbatus sauda (jintan hitam) yang mengandungi 1,001 khasiat.

Hal ini diakui Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Latiffah Abdul Latiff yang sudah menjalankan kajian mengenai khasiat habbatus sauda sejak 2003 membabitkan sistem dalaman badan. Malah dia turut menjadi peserta kajian kerana ingin mengetahui kebaikan habbatus sauda yang turut dinyatakan dalam al-Quran sebagai ubat segala penyakit kecuali mati.

Saya mengambil habbatus sauda selama tiga bulan secara sistematik iaitu selepas menjalani ujian mental, hormon dan darah. Selepas dua minggu saya lebih fokus dalam kerja serta lebih bertenaga dan tidak mengantuk. Malah ujian mental, hormon dan darah menunjukkan lebih positif berbanding sebelumnya, ujarnya.

Kajian terhadap tikus juga menunjukkan kandungan di dalam habbatus sauda mampu mengurangkan lemak dalam badan. Malah Dr Latiffah turut membuat kajian ke atas wanita menopaus di Rawang. Mereka diberikan habbatus sauda selama dua minggu dan dimakan setiap hari pada kuantiti yang sama.

Selepas dua minggu, kesan paling utama kebanyakan responden mengakui mereka kerap membuang angin menyebabkan angin dalam badan mulai berkurang, pembuangan air besar menjadi lebih lancar dan lawas. Bagi wanita menopaus pula akan mengalami gejala kekeringan setiap kali melakukan hubungan kelamin namun selepas mengambilnya ia bertukar kepada lembap dan hubungan seks menjadi lebih baik, jelasnya.

Lebih menakjubkan apabila di dalam habbatus sauda terdapat berjuta-juta sel yang menyerupai darah manusia dan bahan yang terdapat di dalamnya mampu membunuh sel kanser dan mengubati penyakit kronik yang lain.

Hampir 10 tahun menjalankan kajian saintifik pelbagai khasiat habbatus sauda berjaya ditemui. Ia berkesan merawat tubuh secara keseluruhan dan bertindak ke atas punca sebenar penyakit. Habbatus sauda menyelaraskan kembali sistem pertahanan tubuh sama ada ketika terlalu lemah atau keadaannya terlalu kuat.

Malah ia sangat cemerlang dalam merawat penyakit berkaitan masalah hormon dan alahan kronik seperti membantu sistem metabolisme, memperbaiki pencernaan, menurunkan paras kandungan gula, merawat usus, berguna dalam melegakan sakit kerongkong, batuk, asma, selsema, mengatasi radang, memperbaiki dan melancarkan peredaran darah, menambah pengaliran susu badan, membekalkan tenaga segera, menstabilkan sistem tunjang, sesuai untuk wanita menopaus, mencegah nyanyuk serta mengubati penyakit kronik sesuai dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran, ujarnya.

Malah sejak 2,000 tahun dulu, habbatus sauda yang turut dikenali dengan nama jintan hitam, bijian hitam atau nama saintifiknya Nigella sativa digunakan secara meluas oleh masyarakat India dan Timur Tengah untuk mengubati pelbagai penyakit.

Ia juga dikenali sebagai `blessed seed' atau biji yang diberkati kerana dianggap sebagai salah satu jenis tumbuh-tumbuhan berubat terbaik untuk semua zaman dan digunakan untuk mengatasi berbagai masalah kesihatan.

Juruterapi Teraputik dan Senaman Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Redza Abd Rahman, sangat yakin terhadap amalan pemakanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW selepas dia sendiri yang menghidap kanser limfoma Hodgkins semakin pulih selepas mengamalkan makanan sunnah, SihatSunnah berasaskan 10 jenis makanan terbaik Rasulullah. Dia yang diserang kanser sejak Januari lalu mengakui menjalani rawatan kemoterapi namun sakit dialami semakin teruk sehingga menyebabkan wajah membengkak dan merah.

Selepas disyorkan rakan mengenai makanan sunnah saya terus mencuba. Alhamdulillah wajah saya semakin pulih seperti sedia kala dan lama-kelamaan menjadi lebih baik sehingga doktor sendiri terkejut apabila mendapati sel kanser mulai hilang sedikit demi sedikit, katanya yang kini sibuk menyampaikan ceramah kesihatan kepada jabatan kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan.

Jelas Redza, pengalaman berhadapan penyakit kanser banyak menyedarkan dirinya mengenai kebaikan serta khasiat makanan sunnah itu sendiri. Penyakit berpunca daripada apa yang kita makan. Sama seperti yang berlaku kepada Adam dan Hawa bagaimana mereka mendapat kemurkaan Allah hanya kerana memakan buah khuldi. Ini jelas menunjukkan bukan saja penyakit berpunca daripada makanan malah akhlak, peribadi dan tingkah laku juga mendapat kesan daripadanya.

Apa yang menariknya jelas Redza diet Rasulullah tidak membabitkan resipi sebaliknya menjurus kepada teknik dan amalan secara konsisten. Ini berbeza dengan diet Atkins yang secara amnya adalah diet rendah karbohidrat serta tinggi protein bagi membolehkan badan membakar lemak daripada glukosa sebagai sumber tenaga. Namun kebanyakan pakar kesihatan berpendapat diet Atkins mempunyai banyak kelemahan kerana boleh mengundang penyakit jantung serta tulang rapuh.

Diet Atkins biasanya berkesan untuk sesetengah individu malah akan menyebabkan berat badan bertambah sekiranya tidak lagi diamalkan sebaliknya diet Rasulullah sesuai untuk semua golongan dan peringkat usia, katanya.

Apa yang dilakukan Rasulullah adalah mengajar sahabatnya untuk makan makanan tertentu seperti habbatus sauda, kurma, kismis, delima serta mengelak makanan tertentu. Baginda juga menerangkan adabadab ketika makan dan minum seperti tidak boleh berdiri, makan buah sebelum makan, makan dengan duduk di atas kaki kiri dan kaki kanan ditegakkan, mengunyah sehingga 44 kali dan berhenti sebelum kenyang yang mempunyai banyak kebaikan sekiranya diamalkan.

Setiap amalan Rasulullah ini juga diakui dari sudut sains. Minum sambil berdiri misalnya akan menyebabkan cecair jatuh ke dasar perut dengan keras dan akan melanggar lapisan perut. Sekiranya perkara ini kerap berlaku dan berterusan dikhuatiri akan menyebabkan organ perut menjadi longgar sehingga mengakibatkan penghadaman kurang sempurna.

Begitu juga amalan makan dengan duduk di atas kaki kiri dan kaki kanan ditegakkan adalah untuk mengurangkan keupayaan perut memproses makanan terlalu kerap. Apabila kaki kanan ditegakkan dan ditekapkan di perut, organ perut akan sedikit dihimpit dan kawasan di bahagian dalam perut akan mengecil. Ini menyebabkan kawasan perut hanya dapat menerima kuantiti makanan yang sedikit berbanding makan secara duduk, katanya.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Sebaliknya menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk dan tidak mencampurkannya.

Misalnya baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak serta tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Rasulullah juga gemar makanan mengandungi unsur manis semula jadi seperti madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu dicampurkan dengan air sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan, katanya.

10 makanan terbaik Nabi

Bagi Pengarah Pemasaran ZM Network Centre, Hafizah Abdul Latiff, idea menghasilkan produk berasaskan pemakanan Nabi Muhammad SAW, Sihat- Sunnah tercetus selepas menyedari untuk sihat, cergas dan cantik, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dengan memberi penekanan kepada makanan berlandaskan sunah.

Dengan memberi contoh delima, buah ini kini dijadikan produk makanan kesihatan yang sangat terkenal disebabkan khasiatnya, begitu juga habbatus sauda atau lebih dikenali sebagai jintan hitam yang dijadikan campuran dalam makanan kesihatan di Barat.

Di Malaysia walaupun semakin ramai mengetahui kebaikannya, namun ia tidak menyeluruh kerana hanya segelintir saja mengamalkannya.

Dengan menukar gaya hidup kepada pengambilan makanan berasaskan sunah, secara tidak langsung orang ramai beralih kepada diet Rasulullah yang terbukti berkesan untuk semua golongan, katanya.

SihatSunnah mengandungi 10 makanan terbaik Rasulullah seperti air zam zam, habbatus sauda, kurma, kismis, delima, safron, minyak biji anggur, goji, zaitun dan madu yang terbukti baik untuk kesihatan.

Semua bahan ini diakui penasihat produk yang juga Pakar Perunding Pe rubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Latiffah Abdul Latiff yang menjalankan kajian mengenai khasiat habbatus sauda sejak 10 tahun lalu serta mendapat nasihat daripada Juruterapi Teraputik dan Senaman Kementerian Kesihatan Malaysia, Mohd Redza Abd Rahman dari segi kandungan serta cara pembuatannya.

Dengan adanya dua pakar dan penasihat yang arif, sudah semestinya produk ini menjadi lebih baik dan tepat terutama dari segi bahan serta sukatan digunakan, katanya.

Selain makanan tambahan yang dibuat dalam bentuk cecair, ZM Network turut melancarkan jus buah-buahan berasaskan habbatus sauda dan air zam zam, kopi dan produk kecantikan menggunakan delima.

Semua orang biasa mendengar kebaikan habbatus sauda dan ingin mendapatkannya, namun ada mengakui tidak mengamalkannya disebabkan bau dan rasa yang kurang enak. Dengan menyediakan makanan sunah campuran daripada bahan utama dan disediakan dalam bentuk cecair, ia memudahkan orang ramai mengamalkannya, katanya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai makanan sunah boleh melayari laman sesawang www.sihatsunnah.com atau www.facebook/SihatSunnah.

Oleh Siti Zarinah Sahib



 
Chatroom