Home » » Tekanan punca bunuh diri

Tekanan punca bunuh diri

Kejadian bunuh diri boleh disifatkan jenayah yang mungkin kurang popular berbanding samun dan rompak yang didedahkan hampir setiap hari, tetapi realitinya ia sememangnya membimbangkan kerana bilangan kes bunuh diri yang kian meningkat.

Buktinya di Malaysia sendiri, kejadian bunuh diri tidak lagi hanya membabitkan golongan dewasa yang dikaitkan dengan kematangan, tetapi juga anak kecil yang baru berusia 12 tahun!

Malah data yang dipetik sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam usaha membantu menangani kes ini, mendakwa ada sekurang-kurangnya tujuh kes bunuh diri sehari di Malaysia.

Golongan dewasa dihimpit masalah hutang atau perhubungan cinta dan keluarga, golongan remaja pula membunuh diri akibat faktor akademik seperti tekanan kerana gagal meraih 7A atau lebih dalam peperiksaan awam.

Jika sekitar tahun 1990-an dan sebelumnya, kes bunuh diri yang dilaporkan di negara ini membabitkan masyarakat India, sejak akhir-akhir ini bilangan orang Melayu Islam yang mengambil tindakan nekad membunuh diri pula kian meningkat biarpun ia diketahui boleh menyebabkan individu itu terkeluar daripada Islam.
Cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan.

Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari berkata, satu ketika dulu, dalam konteks Malaysia dan negara di Timur Tengah, kes bunuh diri lebih rendah jika dibandingkan dengan negara barat.

"Bagaimanapun, kebelakangan ini bilangan orang Melayu Islam yang bertindak membunuh diri semakin meningkat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jelas Dr Muhsin, walaupun kebanyakan pakar perubatan tidak mengaitkan faktor keimanan dan ketaatan beragama dengan tindakan membunuh diri, secara umum iman bukan faktor keseluruhan kes bunuh diri sebaliknya sebahagian daripada faktor.

"Agama adalah pendinding kepada masalah tekanan begini, sebab dalam Islam sudah menggariskan mereka yang mati dengan membunuh diri tidak akan masuk syurga," katanya.
Komplikasi cubaan bunuh diri adakalanya tidak boleh disembuhkan.

Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lepas, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000, juga mati sebab bunuh diri. Di Korea, negara yang mana statistik bunuh dirinya menjadi antara yang tertinggi di dunia, menyaksikan 15 hingga 44 rakyatnya mati bunuh diri.

Namun katanya, berbanding negara barat, data di Malaysia dan kebanyakan negara Asia mungkin kurang tepat kerana dalam kebanyakan laporan perubatan, tidak mencatatkan bunuh diri sebagai sebab kematian.

Sebaliknya, laporan perubatan menulis punca kematian adalah komplikasi perbuatan bunuh diri, misalnya mati kerana organ utama yang pecah akibat terjun dari bangunan tinggi. Atau mati kerana kehilangan banyak darah kerana tindakan melukakan diri sendiri.

Ada juga laporan perubatan hanya menuliskan punca kematian sebagai 'punca biasa' atau 'kematian biasa'. Justeru, masalah sebenar yang menyelubungi kematian itu tersembunyi menyebabkan data sebenar bunuh diri di Malaysia dan kebanyakan negara Asia tidak diketahui dengan jelas.

Umumnya, kematian disebabkan bunuh diri di negara Asia dilaporkan kepada polis. Bagaimanapun kematian kerana bunuh diri tidak dilaporkan sedemikian dalam laporan perubatan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan ia sebagai tindak balas masyarakat Asia yang dikenali memiliki budaya yang berbeza dengan warga barat. Warga Asia mengutamakan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Justeru kematian disebabkan bunuh diri selalunya disembunyikan bagi mengelak stigma sosio budaya terhadap keluarga yang masih hidup selain rentetan penyiasatan dan tindakan undang-undang berpanjangan.

Kata Dr Muhsin, sebenarnya, jumlah kematian di Malaysia disebabkan bunuh diri lebih banyak jika setiap kematian yang menimbulkan keraguan seperti terjun bangunan atau minum racun rumpai diselidiki secara terperinci.

"Kalau seseorang itu berhadapan dengan penyakit mental seperti skizofrenia, selalu kematiannya dikaitkan dengan penyakit berkenaan dan bukan kerana bunuh diri," katanya.

Berbanding dengan negara lain seperti United Kingdom atau Australia, setiap kematian yang meragukan diselidik melalui inkues keadilan dan disiasat dalam kes jenayah. Malah, ada kala inkues dimohon bertahun-tahun selepas kejadian. Di Malaysia, pula tiada istilah sebegitu dalam kes sebegini.

Jelas Dr Muhsin, data sebegini penting kerana berdasarkan data WHO, usia 15 ke 44 adalah usia kritikal untuk bunuh diri. Dalam masa yang sama juga usia itu disifatkan sebagai umur paling produktif. WHO juga menganggarkan satu juta orang akan membunuh diri untuk tahun-tahun pertama abad ini. Jumlah itu bersamaan dengan satu kematian untuk setiap 40 saat dan satu percubaan bunuh diri setiap tiga saat.

Di Malaysia, dalam kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah mental, 20 peratus adalah kanak-kanak manakala 11 peratus adalah dewasa. Enam peratus responden terfikir untuk bunuh diri manakala 25 peratus terasa hendak bunuh diri.

"Data ini menunjukkan kecenderungan besar membunuh diri di kalangan remaja dan golongan muda selari dengan laporan media massa yang banyak melaporkan kes bunuh diri. Kebanyakan remaja membunuh diri kerana tidak lulus peperiksaan.

"Saya sendiri pernah menangani kes remaja 16 tahun yang rasa kecewa dengan persekitaran di sekolahnya, kerap diejek dan rasa tidak harapan untuk memperbaiki hubungan dengan persekitarannya. Dia rasa terasing dan akhirnya cuba membunuh diri," katanya.

Walaupun ada faktor lain misalnya masalah perhubungan, namun kebanyakan golongan remaja dalam lingkung usia 12 ke 20 tahun, masalah dalam akademik seperti harapan dan tekanan daripada ibu bapa yang tinggi dan sistem persekolahan yang berorientasikan peperiksaan menyebabkan mereka murung dan akhirnya bertindak membunuh diri.

Bagi golongan berusia 40 tahun ke atas pula, faktor ekonomi selain masalah rumah tangga menjadi penyebab.

"Kemelesetan ekonomi memang antara faktor peningkatan bunuh diri. Kemelesetan ekonomi boleh menyebabkan banyak hutang, hilang pekerjaan, bankrap yang akhirnya membuat seseorang itu tertekan dan menyebabkan mereka memilih untuk bunuh diri," katanya.

Secara perbandingan, kematian akibat membunuh diri di kalangan lelaki adalah tiga hingga empat kali berbanding dengan perempuan, walaupun cubaan membunuh diri lebih tinggi di kalangan perempuan. Statistik menunjukkan di sebalik 10 orang yang berjaya membunuh diri, ada 20 orang yang mencuba tetapi gagal. Budaya, persekitaran dan jantina mempengaruhi mekanisme yang dipilih untuk membunuh diri.

"Lelaki kerap memilih untuk menggantung diri atau terjun daripada bangunan tinggi untuk menamatkan riwayat. Manakala wanita lebih cenderung menelan ubat-ubatan seperti paracetamol, ubat tidur malah racun tikus. Ada juga wanita memilih untuk mengelar tangan dan meminum racun rumpai.

"Malangnya, ada sesetengah mekanisme ini tidak tepat. Misalnya dos yang berkurangan dan mangsa akhirnya diselamatkan. Bagaimanapun komplikasi pengambilan bahan-bahan sebegini yang tidak boleh dirawat walaupun mangsa masih hidup," katanya.

Dalam langkah mencegah bunuh diri kata Dr Muhsin, ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat sebenarnya dapat membantu. Ini kerana, seseorang itu tidak akan bertindak membunuh diri secara tiba-tiba.

Selain itu katanya, langkah pencegahan juga perlu dilakukan dengan meletakkan masalah bunuh diri itu sebagai masalah kesihatan dan bukan masalah undang-undang.

Ahli bomba dilengkapi ilmu psikologi

ANTARA kes cubaan membunuh diri yang berjaya diselamatkan berlaku di Kelantan. Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Kelantan mencatatkan tiga kes cubaan bunuh diri secara terjun dari bangunan tinggi, dalam tempoh kurang empat bulan sejak November tahun lalu.

Kajian jabatan itu mendapati tiga mangsa cuba membunuh diri berikutan tekanan perasaan selepas putus cinta, lari dari penguatkuasaan serta gangguan emosi ekoran masalah perniagaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman, berkata kes pertama berlaku pada 4 November tahun lalu membabitkan seorang pelajar kolej berusia 20-an yang bimbang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) selepas disyaki berkhalwat dengan pasangannya di sebuah hotel murah dekat Jalan Pengkalan Chepa.

"Dalam kejadian itu, pemuda terbabit cuba terjun dari tingkat tiga bangunan hotel setinggi kira-kira 36 kaki selepas diserbu anggota penguatkuasa JHEAIK kira-kira jam 10.30 pagi sebelum berjaya diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat Kota Bharu sebelum sempat dia terjun.

"Kes kedua pula membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang juga kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Persekutuan dekat sini, yang cuba terjun dari Tingkat 11 wisma itu dikatakan mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta.

"Cubaan bunuh diri gadis itu berjaya digagalkan oleh beberapa rakan sepejabat yang memujuknya supaya tidak berbuat demikian sebelum anggota bomba membawa turun mangsa dan dirujuk untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII)," katanya.

Azmi berkata, dalam kejadian bulan lalu, seorang pengusaha kedai roti berusia 50an mengancam untuk terjun dari Tingkat 1 rumah kedai dekat Taman Uda Murni di Jalan Pengkalan Chepa.

"Beberapa anggota polis yang tiba awal di lokasi itu berhasil memujuk lelaki terbabit membatalkan niat itu sebelum diselamatkan dan hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai mengalami tekanan ekoran masalah dalam perniagaan," katanya.

"Walaupun Bomba Kelantan tidak mempunyai unit khas untuk memujuk mangsa yang cuba membunuh diri tetapi setiap anggota sudah dilengkapi ilmu psikologi bagi memastikan mereka mampu memujuk dalam usaha menyelamatkan mangsa daripada meneruskan hasrat itu.

"Dalam operasi menyelamat itu, paling penting ialah anggota bomba dapat menghampiri kedudukan mangsa dan bercakap dengan mereka untuk meyakinkan bahawa bunuh diri bukan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi itu. Setakat ini, kita berjaya dan belum ada kes cubaan bunuh diri berakhir dengan kematian,' katanya.

Oleh Hafizah Iszahanid



5 Komen:

Anonymous said...

Ulasan yang sangat baik dan saya bersetuju dengan ape yang berlaku dikalangan penduduk Malaysia.Ia sangat mendukacitakan serta membimbangkan terutama dari segi kerohaniah mereka.

zeyqa said...

terima kasih banyak. ^^
sy gunakan artikel ini utk oral bm sy. ^^

Anonymous said...

saya pown nak guna untuk karangan bm saya jugak lah timekaseh

nazatulsaida said...

Terima kasih untuk perkongsian awak ini. Saya minta nak gunakan dalam assignment statistic research saya :) terima kasih sekali lagi

Anonymous said...

terima kasih untuk artikel ini ... Saya gunakan airtikel ini sebagai sumber rujukan saya untuk tugasan(Assignment).
Terima kasih sekali lagi ^^
daripada Sarjanshane@gmail.com

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom