Home » » » Farah Nazirah (Nurul Iman Hoore! Hoore!) elak makan nasi utk kurus

Farah Nazirah (Nurul Iman Hoore! Hoore!) elak makan nasi utk kurus

Pelakon Hoore! Hoore!, Farah Nazirah pernah digelar gemuk ketika di sekolah menengah tetapi itu tidak sedikitpun membuatkan Farah Nazirah berasa rendah diri. Malah pengalaman dibuli emosi itu membuatkan Farah lebih menjiwai watak Nurul Iman dalam filem perdananya, Hoore! Hoore! Pertama kali diberi peluang beraksi untuk sebuah projek filem, sesiapa pun pasti gementar, sementelah bagi wanita muda tidak pernah ada pengalaman berlakon selama ini.

Menolak segala rasa rendah diri dengan penuh hati-hati, bagi pemilik nama sebenarnya Nurfarah Nazirah Mohd. Sokri, menerima tawaran itu dengan besar hati. Dia asalnya tergerak hati ke sesi uji bakat yang diadakan atas dasar suka-suka. "Sebenarnya ibu saya yang beri cadangan itu. Kebetulan pula, pihak produksi memang mahukan pelakon baharu yang berfizikal gempal, boleh menyanyi dan menari.

"Masa kali pertama ke lokasi, saya amat gementar sebab itulah kali pertama seumur hidup saya berlakon depan kamera. Babak yang paling payah ialah semasa saya dikehendaki menyanyikan lagu Bercanda di Pasiran Pantai bersama-sama dengan Akim. Saya juga kena bergolek-golek atas pasir konon-kononnya sedang bercanda dengan Akim. Saya malu dengan Akim, begitu juga kru filem, tapi akhirnya babak itu boleh diselesaikan juga," cerita Farah tentang debut lakonannya sebagai heroin filem Hoore! Hoore!


Manis bertudung litup, anak sulung daripada dua beradik itu ada persepsi peribadi terhadap Hoore! Hoore!, sebuah filem penghargaan terhadap Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. "Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyanyikan semula lagu-lagu Allayarham Sudirman. Di sebalik itu juga, filem ini cuba menyelitkan semangat kepada wanita-wanita yang bertubuh gempal supaya dapat keluar dari pada berasa rendah diri," ujar Farah, 22.

Masih menuntut dalam jurusan Ijazah Seni Reka Grafik di Universiti Selangor, Shah Alam, Farah berkata, dia pernah rasa rendah diri apabila dikelilingi oleh rakan-rakan yang punya bentuk badan yang menarik. "Tapi saya juga terfikir, kalau kita pandang apa yang ada pada orang lain, sampai bila pun kita tak belajar untuk sayangkan diri sendiri.

"Jadi, sampai sekarang saya tak biarkan perkataan gemuk atau chubby itu jadi penghalang pada apa yang saya ingin lakukan dalam hidup. Saya juga tidak pernah menangis kerana diejek. Tetapi, dalam hati, saya memang teringin mahu kurus," kata Farah yang tampil jauh berbeza berbanding ketika muncul dalam filem berkenaan. Berketinggian 156 sentimeter, Farah kini selesa dengan berat badannya 53 kilogram (kg). Sewaktu terlibat dengan produksi berkenaan beratnya mencecah 63kg.

"Saya mula berdiet sejak bulan puasa tahun lepas. Sebenarnya, ibu Fauziah Nawi juga nasihatkan saya supaya berdiet. Katanya kalau nak jadi pelakon yang ada variasi watak, saya kena turunkan berat badan. Saya ambil diet yang keras, hanya minum susu dan tiga biji kurma masa bersahur dan hanya makan sedikit martabak masa berbuka. Dua minggu saya buat, bila dah turun saya cuma makan macam biasa tapi masih elak daripada makan nasi," tambah anak kelahiran Kuantan, Pahang itu. Seronok menimba pengalaman berlakon bersama-sama Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Fauziah Nawi serta Akim.

Hoore! Hoore! bercerita tentang gadis gemuk, Nurl Iman yang sanggup berbuat apa sahaja untuk memenangi hati kekasihnya, Akim. "Kalau boleh, saya mahu belajar setinggi yang mampu. Pengalaman berlakon dengan orang lama dalam industri ini buat saya tambah hormat kepada mereka. Sekarang saya faham kenapa mereka bertahan lama dalam bidang ini, sebab mereka bagus.

"Itu memang satu pengalaman yang tak terbeli di mana-mana. Sampai sekarang saya masih ingat pesan mereka. Saya juga dedikasikan filem ini untuk ibu saya, dia yang selalu rendah diri bila orang kata anak daranya makin gemuk," ujarnya yang tidak sabar menunggu reaksi penonton Hoore! Hoore!



Affiliates

 
Chatroom