Home » » Kelebihan kebaikan serat

Kelebihan kebaikan serat

Kelebihan serat
Seringkali apabila mendengar saja perkataan serat secara automatik kita akan berfikir sesuatu yang hambar, berdedak dan makanan yang tidak menaikkan selera.

Mujurlah dengan kemajuan dalam sains dan teknologi makanan, ini tidak lagi menjadi isu. Sekarang kita dibebaskan dari makanan yang baik tetapi rasanya seperti kadbod atau nampak seperti makanan haiwan ternakan.

Apakah serat?

Serat adalah rantaian molekul gula yang diikat bersama di mana ia tidak boleh dihadam. Jadi mengapa makan sesuatu yang anda tidak boleh hadam?

Itulah tujuan sebenarnya, serat akan melalui saluran penghadaman dan dihadam keluar. Oleh kerana serat tidak boleh dihadam, maka ia bebas kalori.

Ada dua jenis serat dan bagi faedah yang optimum, anda perlu mendapatkan keduaduanya dengan cukup dalam diet anda.

Serat yang pertama, serat boleh larut dalam air dan ia dikaitkan dengan penurunan tahap kolesterol jahat. Serat tidak larut iaitu serat kedua pula berfungsi membersihkan usus anda dan dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit kardiovaskular.

Pelbagai faedah

Pengambilan pemakanan yang tinggi serat memberi banyak faedah kesihatan.

Selain penting untuk sistem pencernaan, serat lebih terkenal di dalam membantu mengurangkan kolesterol serta mencegah penyakit berkaitan dengan kolesterol tinggi.

Ia adalah fungsi yang hebat untuk nutrisi yang bebas kalori. Ada juga tandatanda bahawa diet yang tinggi serat boleh memperbaiki toleransi terhadap glukosa.

Serat juga bermanfaat untuk menurunkan berat badan. Struktur molekul bersaiz besar meningkatkan rasa kekenyangan tanpa menambah kalori.

Ia juga dapat memperlahankan pengosongan perut anda, justeru, memanjangkan rasa kekenyangan supaya anda tidak akan makan dengan begitu kerap dan banyak.

Cadangan pengambilan

Cadangan pengambilan serat untuk setiap hari adalah seperti berikut:

* Kanak-kanak berumur sembilan hingga 13 tahun - 31 gram bagi lelaki dan

26 gram untuk perempuan.

* Lelaki berumur 14 hingga 50 tahun - 38 gram.

* Perempuan berumur 14 hingga 18 tahun - 26 gram.

* Wanita berumur 19 hingga 50 tahun - 25 gram.

* Umur 50 atau lebih - 30 gram bagi lelaki dan 21 gram untuk wanita.

Menyatukan makanan tinggi serat

Apabila anda meningkatkan pengambilan serat, adalah penting untuk memulakannya secara perlahan-lahan. Ia boleh memeranjatkan saluran penghadaman anda serta boleh menyebabkan sembelit, loya dan ketidakselesaan usus yang lain.

Maka mulakan peningkatan pengambilan serat anda dengan beberapa gram sehari sehingga tahap yang disyorkan. Serat juga menyerap air, jadi apabila anda meningkatkan pengambilan serat anda, adalah penting untuk meningkatkan pengambilan air anda juga secara tidak langsung.

Ada banyak bijirin yang diperkuatkan dengan serat seperti yogurt dan biskut.

Antara makanan semula jadi yang kaya dengan serat adalah termasuk bijirin, kekacang, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Berikut adalah beberapa perkara mudah yang boleh anda lakukan untuk mendapat lebih banyak serat ke dalam diet anda:

* Mulakan hari anda dengan semangkuk oatmeal yang menjadi satu sumber terbaik serat larut. Tambahkan buah-buah kering dan kekacang untuk menambah tekstur dan serat tambahan.

* Tukar produk bijian yang diproses kepada produk berasaskan gandum.

* Pastikan barangan runcit anda adalah berasaskan gandum 100 peratus dan mempunyai sekurangkurangnya tiga gram serat untuk setiap hidangan.

* Campurkan beras perang bersama-sama beras putih bagi memudahkan peralihan daripada beras putih kepada beras perang.

Tip berguna

* Kawal kolesterol anda untuk kekal di tahap optimum.

* Bakar, kukus, atau panggang daripada menggoreng.

* Tukar kepada teh hijau daripada teh biasa.

* Elak minuman berkarbonat kerana ia menghakis kalsium tulang anda.

* Makan oat dan barli kerana ia merangsang sistem imuniti badan anda.

Oleh Mohd Hoesni Rahmat



 
Chatroom