Home » » Perangi Sihir Pak Engku, ‘Tangkap, Pancung, Bunuh’ Astro Oasis

Perangi Sihir Pak Engku, ‘Tangkap, Pancung, Bunuh’ Astro Oasis

Perangi Sihir kongsi ilmu perangi gangguan jin dan syaitan di Astro Oasis

Amalan sihir yang mempunyai kaitan dengan jin dan syaitan dilarang dalam agama kerana boleh merosakan akidah.

Lebih malang apabila amalan tersebut mendatangkan kesengsaraan kepada mangsa dan tidak dapat disembuhkan dengan kaedah rawatan moden.

Menyedari hal itu, saluran gaya hidup Islam, Astro Oasis terpanggil untuk berkongsi penyelesaian permasalahan ini menggunakan kaedah alternatif mengikut hukum syarak melalui program terbarunya, Perangi Sihir.

Bersiaran setiap Isnin, jam 7.30 malam sejak 7 Mei lalu, Perangi Sihir dikendalikan pakar khidmat runding dan nasihat spiritual terkenal, Datuk Engku Ansaruddin Agus atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Engku.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, pihaknya mengambil inisiatif menerbitkan program ini untuk berkongsi ilmu dengan penonton cara menghindarkan diri daripada sihir.

“Perangi Sihir merupakan kesinambungan daripada program Rawatan Alternatif yang mendapat sambutan hebat penonton terutamanya topik berkaitan sihir.

“Maka kita tampil dengan program ini memandangkan masih ramai tidak tahu mengenai keburukan sihir dan kesannya kepada masyarakat,” katanya kepada Zass.

Jelasnya lagi, Perangi Sihir bukan saja membolehkan penonton berkongsi masalah mereka, malah Pak Engku sendiri akan mencadangkan penyelesaian terbaik mengikut al-Quran dan sunnah.

“Pemilihan Pak Engku berdasarkan pengalamannya dalam bidang perubatan alternatif Islam selama 42 tahun.

“Setakat ini, kita telah menerima lebih 600 panggilan sebelum program bermula lagi dan ini jelas menunjukkan bahawa masalah ini sememangnya wujud dalam masyarakat kita,” katanya.

Selain berinteraksi dengan penonton menerusi panggilan telefon, Perangi Sihir juga akan mengundang tetamu ke studio untuk berkongsi pengalaman penyakit sihir yang dialami mereka.

Kongsi pengalaman dengan penonton

Sementara itu, Pak Engku mengakui bukan mudah untuk seseorang pengamal perubatan alternatif sepertinya untuk tampil dengan program sedemikian.

“Ramai di antara teman seangkatan saya tidak setuju dengan cara saya ‘melancarkan’ perang secara terbuka terhadap amalan sihir.

Perangi Sihir

“Bagaimanapun, saya tidak gentar dan terima pelawaan Astro Oasis kerana saya bebas untuk membincangkan mengenai topik sihir yang membelenggu masyarakat,” katanya.

Menurut Pak Engku, satu kerugian sekiranya ilmu dan pengalaman dimilikinya tidak dikongsi dengan penonton.

“Sebagai umat Islam, kita tidak sepatutnya gerun dengan ilmu sihir.

“Apa yang penting, kepercayaan kukuh terhadap kekuasaan Sang Pencipta yang melebihi segala-galanya,” katanya.

Menggunakan tagline ‘Tangkap, Pancung, Bunuh’, Pak Engku turut berkongsi cabarannya menjayakan program ini.

Menurutnya, dia sendiri mengalami gangguan jin sebaik menerima tawaran untuk mengendalikan Perangi Sihir.

“Saya mendapat tawaran ini tiga bulan lalu, namun sehari sebelum rancangan disiarkan barulah saya dapat menyiapkan skrip.

“Malah, anak murid saya juga pernah ‘dimasuki’ jin yang memberi amaran dan akan melakukan sesuatu yang buruk sekiranya saya meneruskan program ini,” katanya.



 
Chatroom