Home » » Program Senam Seni

Program Senam Seni

Lagu bukan saja memberi hiburan, tetapi boleh juga digunakan sebagai alat menyatukan masyarakat menerusi senaman. Barangkali ia sesuatu yang masih asing, tetapi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) sudah pun membuktikannya menerusi program Senam Seni 1Malaysia yang diadakan di Padang Awam, Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.

Kalau senaman aerobik biasanya diiringi lagu Inggeris, tetapi Senam Seni pula peserta diperdengarkan lagu Melayu pelbagai rentak seperti balada pop, zapin, joget dan tarian sumazau iaitu tarian tradisi rakyat Sabah. Sambil bersenam peserta boleh mendengar lagu kegemaran mereka.

Program Senam Seni itu dihadiri lebih 1,000 penduduk setempat dan mereka yang tinggal di bandar berhampiran seperti Puchong. Ia dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

Menurut Norliza, seni bukan hanya untuk hiburan tetapi juga boleh menyihatkan badan menerusi rentak tarian dengan gerak langkah yang mudah.

"Bersenam dengan iringan lagu sememangnya amat menarik kerana selain dapat menghiburkan hati ia juga membuatkan tubuh kita berpeluh yang akan membuatkan badan kita sihat dan cergas.

"Dengan gabungan pelbagai rentak lagu membuatkan kita tidak sedar menghayunkan langkah dan ia juga dapat menghilangkan tekanan. Program Senam Seni ini juga melambangkan perpaduan kaum rakyat Malaysia.

"Sambil bersenam juga kita dapat mengenali budaya masyarakat kita dan ia patut menjadi amalan dalam sesebuah komuniti," katanya.

Tambah Norliza, kali pertama Senam Seni dilancarkan pada 2009 ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Lalu JKKN turut memperkenalkan Senam Seni 1Malaysia bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang muhibbah menerusi kesenian.

"Kita mahu hidup dalam negara yang aman damai, tanpa konflik dan pergaduhan. Senam Seni tiada langsung unsur politik bahkan ia diwujudkan untuk kesejahteraan masyarakat. Siapa saja pun boleh bersenam. Bahkan kita akan berasa seronok dan bersemangat jika dapat melakukan aktiviti sihat bersama keluarga dan kawan-kawan.

"Gerak tari dalam Senam Seni diolah mengikut piawaian antarabangsa yang mana aktiviti ini juga adalah anjuran bersama JKKN dan My Sihat yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan.

"Barangkali ramai yang tidak tahu, mana-mana jabatan kerajaan atau swasta dan kawasan kejiranan boleh mohon dengan JKKN untuk mengadakan Senam Seni

di tempat mereka di mana kami bersedia untuk menghantar jurulatih. Perkhidmatan yang kami tawarkan adalah percuma kerana ia bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat Malaysia yang antara negara yang penduduknya mengalami masalah obesiti.

"Setakat ini SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) mengadakan aktiviti Senam Seni setiap minggu di kompleks jabatan itu. Mereka yang mahukan perkhidmatan jurulatih Senam Seni paling minimum mesti ada 20 ahli.

"Kepada yang ingin bersenam sendirian, JKKN sediakan CD (cakera padat) rakaman Senam Seni. Ia tidak lama hanya mengambil masa setengah jam untuk bersenam," katanya.

Selain acara senaman, turut diadakan pertandingan mewarna dan melukis kepada kanak-kanak yang datang bersama keluarga masing-masing. Orang ramai juga dihiburkan dengan nyanyian oleh Badan Kesenian JKKN.



 
Chatroom