Tauhid tunjang utama kehidupan umat Islam
TAUHID bermaksud mengakui kewujudan dan keesaan Allah SWT dengan berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis. Pengakuan ini merangkumi kepercayaan dengan hati, ikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan.
Dalam al-Quran ada banyak ayat yang menjelaskan mengenai paradigma tauhid ini. Antaranya ialah seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak, dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya” (Surah al-Ikhlas ayat 1-4).
Firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah al-‘Asr ayat 1-3). Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?” (Surah Yunus ayat 31).
Ayat ini menerangkan mengenai hakikat tauhid. Ia bukan sekadar mengakui kewujudan dan keesaan Allah SWT, tetapi juga beriktikad (kepercayaan dan pegangan) dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT adalah Pencipta, Pemilik, Penguasa, Pentadbir dan Pengurus seluruh alam ini.
Dengan kata lain, hanya Allah SWT yang berkuasa dan mempunyai hak ketuanan ke atas segala sesuatu tanpa sebarang persekutuan dan perkongsian dengan sesiapa pun. Oleh itu, Allah SWT yang Esa (ifrad) saja yang layak disembah, ditaati dan dipatuhi secara mutlak. Ia adalah pengesaan Allah SWT dengan beribadah, tunduk dan taat sepenuhnya.
Semua ini adalah hakikat ketuhanan yang wajib diimani dan diyakini oleh setiap manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Lagipun ia adalah hakikat hubungan antara manusia dengan Allah SWT atau dikenali sebagai hak Allah SWT terhadap hamba-Nya. Segala urusan diserahkan kepada Allah SWT yang mencipta segala sesuatu itu.
Bagi membuktikan tauhid mempunyai kedudukan terpenting dalam kehidupan manusia, al-Quran menjelaskan bahawa penegakan risalah tauhid adalah tugas utama yang dipikul oleh Nabi dan Rasul (Surah al-Anbiya ayat 25 dan Surah al-Mu’minun ayat 32). Misalnya, Nabi Nuh as (Surah al-A‘raf ayat 59), Nabi Hud as (Surah Hud ayat 25-26 & 50), Nabi Salih as (Surah al-Naml ayat 45), Nabi Syuib as (Surah al-‘Ankabut ayat 36), Nabi Isa as (Surah al-Maidah ayat 72), Nabi Yaakub as (Surah al-Baqarah ayat 133), Nabi Ibrahim as (Surah al-Mumtahanah ayat 4) dan Nabi Muhammad SAW (Surah al-Kahfi ayat 110). Risalah tauhid yang dibawa oleh nabi dan rasul ini adalah bagi menetap dan memelihara pegangan iman seseorang hamba daripada perkara-perkara syirik.
Hal ini mempamerkan bahawa tauhid adalah hak Allah SWT terhadap hamba-Nya (al-tawhid haqq Allah ‘ala al-‘ibad). Ia tidak boleh ditinggal dan diabaikan sama sekali. Bagi mengukuhkan lagi perkara ini dibawakan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada Mu‘az bin Jabal ra katanya: Ketika aku ditumpangi oleh Rasulullah SAW dan tidak ada penghalang antara diriku dengan Baginda kecuali pelepah kayu yang diletakkan di belakang unta, Baginda memanggilku: Wahai Muaz! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Setelah itu Baginda teruskan perjalanan dan memanggilku lagi: Wahai Muaz! Lantas aku menjawab: Baik, wahai Rasulullah! Aku memenuhi panggilanmu. Kemudian Baginda bertanya: Apakah hak Allah terhadap hamba-Nya? Aku menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Hak Allah terhadap hamba-Nya adalah supaya mereka beribadah kepada-Nya dengan sebenar-benar dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun” (Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, jelaslah bahawa tauhid adalah paksi atau tunjang bagi segala aspek kehidupan. Dalam usaha meletakkan tauhid sebagai tunjang kehidupan ini, gambaran (worldview) mengenai tauhid itu perlu difahami terlebih dulu. Melalui paradigma tauhid gambaran yang jelas tentang Islam akan dapat difahami.
Ada tiga komponen utama dalam paradigma tauhid iaitu:
Pertama: ‘Ilm (Pengetahuan). Ilmu adalah hak dan milik Allah SWT. Manusia dikurniakan sebahagian saja daripada ilmu Allah SWT itu. Terdapat tiga sumber ilmu iaitu wahyu, akal dan pengalaman. Ketiga-tiga sumber ilmu ini membawa manusia mengenali (makrifah) dan mendekatkan (taqarrub) diri kepada Allah SWT serta mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Dalam erti kata lain, dengan ilmu yang benar akan dapat melahirkan keimanan terhadap Allah SWT. Dengan itu, manusia dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah SWT (pelaku pembangunan) dengan beribadah kepada Allah SWT dan memakmurkan alam berasaskan paradigma tauhid.
Kedua, Iman (Kepercayaan). Iman (akidah) ialah kepercayaan daripada hati dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu dan syak. Ia adalah lahir daripada ilmu yang benar. Iman yang benar memberi kesan kepada hati, pandangan hidup (tasawwur), pemikiran, dan tingkah laku manusia dalam kehidupan seharian. Dengan itu, akan lahirlah keyakinan kepada kewujudan dan keesaan Allah SWT serta komitmen kepada ajaran wahyu yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul-Nya.
Ketiga: Amal (Perlakuan). Amal adalah aplikasi hasil daripada gabungan antara ilmu dan iman yang benar. Kebenaran iman (akidah) seseorang dapat diukur melalui usahanya melaksanakan syariat Islam. Pelaksanaan syariat Islam inilah yang dikatakan amal soleh. Dalam al-Quran kedua-dua perkara ini (iman dan amal soleh) tidak dipisahkan. Al-Quran sering menyebut dengan rangkaian orang yang beriman dan beramal soleh. Banyak ayat yang menyatakan hal ini. Antaranya ialah firman Allah SWT yang bermaksud, “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah al-‘Asr ayat 1-3).
Dengan kata lain, kekuatan ilmu dan iman akan mendorong manusia mengerjakan amal soleh iaitu perbuatan-perbuatan baik dengan matlamat untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Amalan yang sedemikian rupa akan dihitung oleh Allah SWT sebagai ibadah. Selain mendorong manusia melakukan amal soleh, kekuatan ilmu dan iman juga dapat menghindari manusia daripada melakukan al-fasad iaitu perbuatan yang membawa kepada kerosakan.
Oleh Mohd Shukri Hanapi
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...