Home » » Khasiat kayu manis : Kelebihan kayu manis

Khasiat kayu manis : Kelebihan kayu manis

Khasiat kayu manis
Kayu manis atau CINNAMON mempunyai pelbagai kelebihan untuk merawat kulit secara semula jadi tanpa kesan sampingan berbahaya bahan kimia.

Sejenis rempah yang diambil dari bahagian kulit pokok dalam kalangan keluarga Cinnamomum, kayu manis selalunya digunakan untuk menambah rasa dalam makanan sama ada yang berperisa pedas atau manis.


Berasal dari Sri Lanka, kayu manis sama ada dikisar atau dibentuk menjadi minyak, mempunyai khasiat kepada kulit kerana ia mampu melancarkan peredaran darah serta menyalurkan nutrien ke kulit.

Kayu manis adalah rempah berkualiti yang dihargai semua bangsa sehingga pada satu tahap sekitar kurun pertama, sejarah menunjukkan nilai 350 gram kayu manis bersamaan dengan lima kilogram perak.

Pakar perubatan zaman pertengahan juga menggunakan kayu manis sebagai ubat untuk merawat batuk, serak, sakit tekak, sakit perut, kembung, cirit-birit dan senak perut.

Ia juga mampu bertindak sebagai antiseptik semula jadi yang boleh membunuh kuman. Oleh itu, sekiranya tangan terluka dan tidak sempat mencari ubat, kayu manis boleh digunakan dengan disapu sedikit pada luka untuk mematikan kuman, namun ia agak pedih.

Kayu manis adalah bahan kecantikan semula jadi dan bertindak sebagai ejen yang berkesan mengurangkan parut, menghilangkan jerawat dan melegakan kegatalan kulit kepala.

Campuran minyak kayu manis dan minyak zaitun mampu mengurangkan garis halus pada wajah kerana ia melembapkan kulit, seterusnya membuatkan kulit lebih lembut dan kurang berkedut termasuk di bahagian hujung mata, selain boleh menggantikan pelembap bibir.

Lebih menakjubkan, kayu manis juga mampu bertindak membersihkan dan menyuburkan kulit kepala, dengan cara menyingkirkan kulit mati dan menggalakkan pengaliran darah di bahagian berkenaan.

Ia boleh dilakukan dengan cara mencampurkan sesudu serbuk kayu manis bersama madu dan minyak zaitun, kemudian disapu ke kulit kepala sambil mengurut lembut, dibiarkan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum syampu seperti biasa.

Rempah berkenaan mempunyai beberapa sifat semula jadi yang boleh digunakan dalam rawatan rambut. Bukan saja selamat, kayu manis juga memberi pilihan lebih murah untuk merawat masalah rambut gugur dan bercabang sekiranya digunakan secara konsisten.

Ia juga boleh membantu merawat jerawat namun ia perlu disapu nipis kerana ia agak pedih sekiranya disapu tebal. Lebih baik sekiranya ia dicampur dengan bedak sejuk atau madu sebelum disapu ke kulit.

Selain mujarab pada luaran tubuh, kajian mendapati kayu manis mampu menurunkan kadar kolesterol LDL yang mengakibatkan masalah kardiovaskular, melalui pengambilan setengah sudu rempah itu setiap hari.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa kayu manis mungkin mempunyai kesan kawalan gula dalam darah, menjadikan ia bermanfaat terutama bagi orang yang mengidap diabetes.

Kayu manis juga menunjukkan kebolehan menakjubkan dengan menghentikan jangkitan yis yang gagal dimusnahkan ubatan lain.

Dalam kajian yang diterbitkan penyelidik di Jabatan Pertanian Amerika Syarikat di Maryland, kayu manis didapati mengurangkan percambahan sel kanser leukemia dan limfoma, selain mempunyai kesan antipembekuan darah.

Menerusi satu kajian di Universiti Copenhagen pula, pesakit yang mengidap artritis diberi setengah sudu teh serbuk kayu manis digabungkan dengan satu sudu madu setiap pagi sebelum sarapan pagi.

Selepas seminggu, didapati pesakit dapat merasai perbezaan yang nyata dan boleh berjalan tanpa rasa sakit dalam tempoh satu bulan.

Apabila ditambah pada makanan, kayu manis dapat menyekat pertumbuhan bakteria dan kerosakan makanan, menjadikannya pengawet makanan semula jadi.

Satu kajian mendapati bau kayu manis juga mempunyai manfaat apabila ia mampu meningkatkan fungsi kognitif dan ingatan selain sumber makanan yang kaya mineral, serat, besi dan kalsium.

Bagi setiap 5.2 gram kayu manis atau bersamaan dua sudu teh, ia mengandungi 45.5 peratus mineral, 11 peratus serat dan 5.2 peratus kalsium.

Penyelidik di Universiti Negeri Kansas, pula mendapati kayu manis mampu melawan bakteria E. coli dalam jus yang tidak dipasteur.

Jika dicampur bersama teh hijau, kayu manis juga didapati mempunyai kesan yang mampu mengawal berat badan secara semula jadi.

Rempah berkenaan juga terbukti berkesan untuk mengawal kesakitan senggugut di mana ia mengandungi bahan kimia semula jadi yang dipanggil cinnamaldehyde.

Kajian menunjukkan cinnamaldehyde meningkatkan hormon progesteron dan mengurangkan penghasilan testosteron pada wanita, membantu untuk mengimbangi hormon.

Namun bagi mereka yang mahu mencuba keberkesanan kayu manis, mereka perlu memastikan kesan sampingan sapuan atau pengambilan kayu manis dengan mendapatkan nasihat doktor atau mencubanya sedikit terlebih dulu, bagi mengelak masalah alahan.

Pada masa sama, ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk menikmati keenakan kayu manis selain mendapat seribu satu khasiat daripadanya.

Antaranya adalah dengan menyapu kepingan roti dengan madu dan ditabur serbuk kayu manis untuk dinikmati sebagai sarapan atau merendam kayu manis dalam susu soya suam serta dicampur ke dalam makanan sebagai penambah perisa.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan



Affiliates

 
Chatroom