Home » » Pil Perancang dan Masalah Jerawat

Pil Perancang dan Masalah Jerawat



Masalah jerawat disebabkan oleh pengeluaran sebum daripada kelenjar di kulit muka dan tubuh badan kita. Sebum ini akan menyekat liang roma. Liang roma yang tersumbat amat senang untuk dijangkiti bakteria. Ini menyebabkan proses keradangan dan seterusnya menjadi jerawat.

Pil perancang memang boleh membantu kerana pil ini akan mengurangkan penghasilan sebum. Pada masa sama, para doktor sering menyarankan agar pesakit menjaga kebersihan kulit dan menggunakan krim antijerawat untuk menyembuhkan masalah ini.

Sudah tentu mereka perlu mengambilnya untuk jangka masa lama. Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk merawat masalah jerawat.

Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Pil perancang bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur buat sementara waktu. Di samping itu, pil ini juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya dan menjadi lebih teratur.

Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia).
Pil Perancang dan Masalah Jerawat
Misalnya, pil perancang jenama Diane 35 amat terkenal untuk kesihatan kulit. Pengguna mendapati kulit muka akan kurang berminyak, tidak berjeragat dan jerawat batu di muka juga boleh pudar dan menghilang. Sesetengah individu mendapati pil ini tidak menyebabkan berat badan bertambah, tiada kesan mual, pening atau loya akibat pengambilannya. Pil ini boleh juga diambil oleh wanita yang mengalami hirsutisme (muka bermisai dan berbulu banyak).

Pil perancang jenama Yasmin dan Yaz pula sesuai untuk sesetengah individu kerana dikatakan pengguna pil ini tidak mempunyai masalah berat badan.

Hormon progestin dalam pil ini dikenal sebagai drospirenone. Drospirenone menghalang pertambahan cecair dalam badan dan juga bertindak sebagai antisebum. Oleh itu, pil ini tidak meningkatkan berat badan tetapi boleh merawat masalah kulit. Kedua-dua pil ini adalah contoh pil yang berkombinasi dan mempunyai hormon estrogen dan progesteron yang juga dipanggil COCP. Ada pelbagai jenis COCP lagi di pasaran yang dapat memberi kebaikan yang diperlukan.

Pada hari ini, pil perancang yang berada di pasaran mempunyai kandungan hormon lebih rendah. Jadi pertambahan berat badan tidak perlu dirisaukan. Pil perancang bukanlah juga penyebab seseorang mandul.

Apa pun pilihan pil yang mahu digunakan, haruslah berbincang dengan doktor yang mahir terlebih dahulu.

-  Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)
Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan
Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.



Affiliates

 
Chatroom