Home » » Akupunktur tanpa jarum

Akupunktur tanpa jarum

Oleh Hidayah Mohammad

Kaedah diperkenalkan pada 1990-an guna konsep tenaga psikologi bendung emosi

KETIKA dilamun cinta, sudah pasti semuanya indah belaka dan merasakan dunia ini seperti kita yang punya. Malah berpendapat boleh melakukan apa saja, tetapi apabila cinta itu terlerai, ia menjadi titik noktah yang cukup memeritkan. Tenaga yang dilalui ketika dilamun cinta adalah tenaga dalaman yang berjalan dengan lancar, sementara kemurungan yang dirasai ketika mengalami titik hitam pula adalah sama seperti apabila tenaga dalaman tersekat.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai kajian dijalankan terhadap konsep tenaga dan ada yang berpendapat tekanan hidup boleh menghasilkan sifat negatif yang mampu memudaratkan tahap emosi minda, malah boleh melemahkan fizikal. Lama-kelamaan, ia akan mengikis keberkesanan hidup dan melemahkan daya fungsi harian.

Manusia hari ini memerlukan suatu cara untuk meringankan beban berkenaan. Antara cara yang boleh digunakan ialah Emotional Freedom Technique (EFT), proses tenaga psikologi berdasarkan prinsip akupuntur yang bekerjasama dengan sistem tenaga dalaman minda-badan untuk menghilangkan segala yang tidak selesa.

Kaedah yang diperkenalkan di Amerika Syarikat sejak awal tahun 1990-an itu juga dikenali sebagai akupuntur emosi atau akupuntur tanpa penggunaan jarum.

Pengamal EFT di negara ini, Rassa Ramli, berkata beliau percaya EFT adalah prosedur sentuhan lembut yang boleh dilakukan sendiri, namun bimbingan daripada pengamal EFT adalah lebih berkesan kerana mereka dapat memberi pemahaman mendalam atau sudut pandangan yang berbeza ke atas isu dasar yang mungkin dihadapi.

Katanya, pengaliran tenaga dalaman sentiasa berlaku di dalam tubuh setiap manusia. Apabila pengaliran itu mengalir lancar, manusia akan merasa positif bagaikan ‘tiada gunung yang tidak dapat didaki!’

“Jika dihayati semula, aliran tenaga dalaman yang tersekat boleh merangsang sikap negatif, tetapi ia perlu diatasi untuk menjadi positif. Jika tidak, besar kemungkinan ia memberi kesan negatif antaranya menjadi panas baran.

“Selain itu, ada juga yang merasakan semua berlaku tidak betul ataupun sesetengah individu ingin bersendirian serta tidak ada kemahuan untuk membuat apa-apa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengamal ‘new age’ atau perubatan alternatif percaya bahawa emosi seseorang itu boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan seseorang dan ia disebabkan pertalian minda-badan-jiwa (mind- body- spirit).

“Saya percaya apabila kita melalui satu pengalaman negatif, ia akan mencetus emosi yang negatif (pengalaman negatif ini boleh muncul daripada pengalaman silam), sekali gus menyebabkan rintangan berlaku yang menghalang kelancaran tenaga dalaman badan.

“Apabila emosi negatif itu tidak dikendalikan secara efektif, ia akan tersimpan di dalam minda separa sedar (subconscious mind). Kesannya pula berlaku ke atas badan manusia contohnya sakit dan sengal pada badan, sakit kepala dan badan,” katanya.

Rassa berkata, kaedah berkesan untuk EFT ialah dengan cara menepuk atau menggosok perlahan pada bahagian yang sakit atau seluruh badan dan muka dengan jari. Cara gosokan pula mengikut turutan titik akupuntur atau garis meridian badan.

“Kaedah ini akan mengimbangkan tenaga dalaman yang berkait dengan emosi negatif. Pada masa sama, masalah dan isu negatif disuarakan ketika menggosok dan menepuk bahagian badan terbabit. Kombinasi menepuk dan penyuaraan ini, akan membebaskan diri daripada belenggu perasaan negatif.

“Cara ini mampu mengembalikan badan ke tahap yang seimbang. Proses ini amat mudah, tetapi berkesan. Proses ini boleh dilakukan di mana saja, tapi ia lebih berkesan jika dilakukan di tempat yang tenang,” katanya.

Walaupun keberkesanan proses itu tidak dapat dibuktikan, Rassa berkata, mereka yang melakukan proses itu akan dapat merasakan perubahan positif di dalam badan. Mereka rasa lebih tenang, ringan dan ceria. EFT boleh dipraktikkan oleh sesiapa sama ada lelaki, wanita atau kanak-kanak tak kira usia.

Beliau berkata, kehidupan akan lebih tenang sekiranya mengamalkan EFT setiap hari.

FAKTA: Emotional Freedom Technique (EFT)


Diasaskan oleh Gary Craig pada awal 1990-an.


Kebanyakan konsep tunjang EFT berdasarkan hasil latihan Gary dalam bidang Nero Linguistic Programming (NLP) dan Thought Field Therapy (TFT).


Beliau menerima bimbingan daripada Dr Roger Callahan, pengasas TFT. Gary bagaimanapun mempermudahkan proses itu menerusi EFT.


EFT boleh digunakan dalam berbagai keadaan terutama apabila menghadapi dugaan emosi seperti perasaan marah, ketagihan, keinginan yang melampau, pengawalan tekanan diri dan penderaan.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom